KRIM Kedah perturun budaya hidup positif kepada perintis SMS Kubang Pasu
KUBANG PASU, 18 Februari - KRIM Kedah telah menganjurkan ceramah ‘Budaya Hidup di Sekolah Berasrama Penuh (SBP)’ di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu yang telah dihadiri oleh semua pelajar Tingkatan Lima sekolah tersebut.
Ceramah hampir 3 jam itu telah disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Khalil bin Hashim yang juga Pengarah KRIM Kedah dan juga Saudara Muhamad Nabil Fikri, ahli jawatankuasa KRIM Kedah.
Ceramah ini bertujuan memenuhi hasrat sekolah untuk menerapkan budaya positif di kalangan pelajar terutamanya kepada pelajar di tingkatan lima pada tahun ini yang merupakan antara generasi terawal sekolah yang baharu sahaja ditubuhkan pada tahun 2009.
Kedua-dua penceramah yang juga bekas pelajar SBP ini telah berkongsi pengalaman lima tahun bersekolah di SBP dengan menerangkan kepada para pelajar akan budaya-budaya yang wujud di SBP dengan menjadikan beberapa SBP lain sebagai contoh.
Selain itu, penceramah telah menerangkan kepada para peserta Konsep MLM dalam penerapan budaya positif.
Melalui konsep ini, para pelajar ‘senior’ digalakkan menerapkan seberapa banyak nilai-nilai positif kepada pelajar-pelajar ‘junior’ kerana pahala bagi kesinambungan kebaikan tersebut akan mendapat balasan selagimana ia dipraktikkan oleh generasi seterusnya.
Ceramah yang turut dihadiri oleh kaunselor dan guru penasihat tingkatan lima ini turut menekankan kepada para peserta akan rasa bangga kerana terpilih menjadi warga SBP yang menjadi harapan oleh ramai pelajar cemerlang di Malaysia.
Sumber: Laman Web ISMA Kedah



