|

ISMA NZ adakan jualan amal untuk bantu rakan-rakan di Christchurch

DUNEDIN, 27 Februari – ISMA New Zealand-Dunedin baru-baru ini telah mengadakan satu jualan amal “Cupcakes: Care 4 Christchurch demi membantu meringankan bebanan sahabat-sahabat di Christchurch yang dalam kesusahan dan kesukaran kerana bencana gempa bumi yang berlaku. Jualan amal ini telah dijalankan serentak dengan program Seniors Garage Sale anjuran badan ekonomi ISMA NZ-Dunedin sempena program orientasi pelajar baru Malaysia di University of  Otago.

Hasil jualan amal ini telah disalurkan ke wakil ISMA NZ di Christchrcuh, saudara Khairil Afif untuk kegunaan para pelajar Malaysia di Christchurch yang memerlukan bantuan dan juga ke tabung amal sempena gempa bumi Christchurch anjuran Otago Malaysian Student Council (OTAGO MSC) untuk dibawa pulang oleh wakil pelajar Christchurch yang berada di Dunedin.

Walaupun hasil jualan yang diperoleh tidak mampu menanggung semua kerugian yang dihadapi oleh sahabat-sahabat di Christchurch, namun ia sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada warga Dunedin akan keperluan dan kepentingan untuk membantu mereka yang dalam kesukaran.

Selaras dengan slogan “Memanifestasikan Ukhuwwah Melalui Tindakan”, ISMA NZ-Dunedin menyeru supaya semua pihak, persatuan dan juga individu, untuk sama-sama bertindak dan membantu mereka yang terlibat dengan gempa bumi di Christchurch, khususnya warga Malaysia di sana, dalam apa jua cara.

Sumber: Laman Web ISMA New Zealand

1 Komen untuk entri “ISMA NZ adakan jualan amal untuk bantu rakan-rakan di Christchurch”