ISMA mahu lahirkan golongan kreatif untuk sampaikan ‘Melayu Sepakat, Islam Berdaulat’
GOMBAK, 20 Mac – “ISMA mempunyai sasaran untuk melahirkan golongan yang mahir dalam bidang seni kreatif seperti karyawan, penulis lirik, penyajak dan sebagainya supaya dapat menyampaikan isi fikrah ISMA dengan lebih baik kepada masyarakat”, menurut saudara Mohd Zuraidi Zakaria, Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Gombak.
“Penganjuran pertandingan pidato seperti ini bukan bermakna kita telah lari dari fokus kerja-kerja dakwah kepada masyarakat, tetapi ini adalah salah satu cara untuk mencungkil bakat ahli-ahli ISMA supaya kita dapat melahirkan individu-individu yang kreatif dan boleh menyampaikan kefahaman ‘Melayu sepakat, Islam Berdaulat’ dalam pelbagai pendekatan kepada masyarakat umum”, kata beliau lagi.
Menurut Saudara Zuraidi, terdapat kesamaran dan ‘garisan yang halus’ di antara perjuangan nasionalisme dan perjuangan bangsa untuk mendaulatkan Islam. Sekiranya tidak difahami dengan betul, akan timbul kekeliruan dan salah faham tentang agenda sebenar yang ingin dibawa oleh ISMA.
“Pada zaman Rasulullah s.a.w. ada bangsa yang menjadi tunjang yang memperjuangkan Islam. Kita berharap agar bangsa Melayu akan menjadi tunjang untuk mendaulatkan agama Islam di Malaysia”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan penutup dalam Majlis Pertandingan Pidato peringkat ISMA Gombak yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak.
Pertandingan pidato ini diadakan untuk memilih pemidato yang akan mewakili ISMA cawangan Gombak untuk ke pertandingan pidato peringkat kebangsaan bersempena dengan Mesyuarat Agung tahunan ISMA yang akan diadakan tidak lama lagi.
Dalam pertandingan tersebut, saudari Zahidah Abdul Samad, 20 telah memenangi tempat pertama dengan pidato yang bertajuk ‘Melayu Sepakat, Islam Berdaulat’ diikuti oleh saudara Mohd Alifh Abu Hassan, 21 di tempat kedua dengan pidatonya yang bertajuk ‘Patriotisma di kalangan Remaja’ manakala tempat ketiga dimenangi oleh saudara Mohd Eqwan Mohd Roslan, 22 dengan tajuk pidatonya ‘Melayu Sepakat, Islam Berdaulat’.
Ketiga-tiga pemenang telah dipilih untuk mewakili ISMA Gombak dalam pertandingan pidato di peringkat seterusnya.
Sumber: Laman Web ISMA Gombak


Saya amat bersetuju dengan pandangan Tuan YDP. Alhamdulillah baru-baru ini saya dipertemukan dengan seorang “orang seni” yang berjiwa kreatif dan sedia menyumbang untuk dakwah. Ada rezeki, saya nak perkenalkan dia kepada Media ISMA semasa AGM…