|

ISMA India lakukan kunjungan rasmi ke Consulate General of Malaysia, Chennai

Delegasi ISMA diketuai Ustaz Halim bersama En. Khairuddin dari pihak konsulat Malaysia di India.

CHENNAI, 4 Februari – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) melakar satu lagi lembaran sejarah yang penting apabila satu delegasi ISMA India telah mengadakan kunjungan hormat ke Consulate General of Malaysia di sini.

Delegasi ISMA diketuai oleh Naib Presiden I, Ustaz Abdul Halim Abdullah dan disertai oleh tiga orang wakil dari ISMA India, iaitu Muhammad Fatah Bin Md Radzi, Mohammad Rafi’uddin Bin Hamidon, dan Tuan Muhammad Amirul Hasbi Bin Tuan Pail di mana ketiga-tiga mereka merupakan pelajar tahun 2 perubatan di Bangalore.

Pertemuan tersebut pada awalnya dirancang melibatkan En. Anuar Kasman selaku Consul General tetapi akibat komitmen tertentu yang perlu dipenuhi, beliau mewakilkan En. Khairuddin Abdullah (Consul Education & Training) untuk menggantikan beliau. En Khairuddin menyatakan kekesalan En. Anuar dan memohon maaf kerana tidak dapat berjumpa sendiri dengan delegasi ISMA.

Dalam pertemuan ini, Ustaz Abdul Halim telah memperkenalkan ISMA kepada pihak konsulat. Beliau turut menjelaskan tujuan kunjungan hormat tersebut adalah untuk membina silaturrahim dan hubungan baik antara Consulate General of Malaysia, Chennai dan ISMA India.

Ustaz Abdul Halim telah membentangkan visi dan misi ISMA di samping aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan di India kepada En. Khairuddin. Beliau turut menegaskan bahawa pelbagai faedah diperolehi oleh para mahasiswa melalui penglibatan mereka dalam pelbagai aktiviti anjuran ISMA India seperti Medicine Coffee Shop, Summer Camp, Winter Camp, Aman Palestin, Pengajian Ulum Quran & Al-Hadith, Paintball Match, serta lain-lain lagi.

Pembentukan sahsiah dan jati diri pelajar serta pendedahan kepada bidang profesion kedoktoran juga telah menarik perhatian pihak konsulat terhadap ISMA India. Komitmen dan usaha keras pihak ISMA dalam membentuk profesionalism adalah seiring dengan matlamat Konsulat Pendidikan Malaysia yang menginginkan para pelajar jelas dengan tujuan kedatangan mereka ke India iaitu untuk menimba ilmu serta mendedahkan diri mereka kepada professional kedoktoran.

Di akhir pertemuan ini, pihak Consulate General of Malaysia, Chennai dilihat amat positif dengan hasrat ISMA untuk mengembangkan sayapnya ke bumi Indus ini. Beliau juga mahu agar ISMA India komited dengan misi dan visi yang telah ditentukan dan berharap agar dapat bekerjasama dengan persatuan-persatuan yang lain untuk mengurangkan jurang yang timbul.

Pertemuan ini diakhiri dengan sesi bersalam-salaman antara kedua-dua pihak dan Ustaz Abdul Halim  turut menyatakan keinginannya untuk mengadakan pertemuan seperti ini lagi di lain masa. Semoga pertemuan sebegini dapat diteruskan dan menjadi pencetus kepada kerjasama yang lebih erat antara kedua pihak dan pembakar semangat kepada ahli-ahli ISMA dalam terus melakar sejarah dalam perkembangan dakwah Islam di India khususnya kepada para pelajar Melayu Muslim di sini.

Oleh: Muhammad Fatah Bin Md Radzi
ISMA India