|

ISMA ajak masyarakat Islam amal cara hidup unggul

BUKAN SEMUA ORANG SANGGUP MENGORBANKAN KARIER DEMI MEMIMPIN SEBUAH PERSATUAN BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO). TANGGUNGJAWAB YANG TERPIKUL DI BAHU BEGITU BERAT DAN SEGALA AMANAH SERTA VISI PERSATUAN HARUS DILAKSANAKAN SEBAIK MUNGKIN.

Perkara ini diakui oleh Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Abd Rahman. Bagi Abdullah, 45 tahun, seorang presiden yang menjadi tunggak persatuan harus jelas dengan misi yang mahu dicapai dan sentiasa berusaha gigih bersama ahli merealisasikan segala yang dirancang.

Bakat kepimpinan anak kelahiran Besut, Terengganu ini terserlah sejak di bangku sekolah lagi. Dia gemar melibatkan diri dengan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan. Lantaran, tidak hairanlah graduan jurusan Syariah Islamiah Universiti Al Azhar, Mesir ini diangkat menjadi pemimpin.

“Saya tidak nafikan amanah ini sangat besar dan saya berusaha yang terbaik untuk semua pihak. Saya bersyukur dan terharu dengan kepercayaan ahli terhadap idealogi dan kepimpinan saya memacu ISMA,” ujar Abdullah.

Mencorak Pemikiran

Menyentuh mengenai sejarah persatuan ini, Abdullah mengatakan ISMA dahulunya dikenali sebagai Ikatan Siswa Muslim Malaysia. Persatuan ini ditubuhkan 1997, kemudian ia ditukar nama kepada Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) pada tahun 2006. Sehingga kini ISMA mempunyai 5,000 ahli di dalam dan luar negara. Persatuan ini berkembang pesat sehingga mempunyai 27 cawangan di seluruh negara, tidak termasuk di luar negara seperti Australia, Mesir, UK, Ireland, New Zealand, India, Jordan dan Arab Saudi.

“Pada awalnya tujuan persatuan ini adalah untuk menyatukan siswa muslimin dan berjuang memartabatkan agama Islam dan bangsa Melayu. Ketika itu, peranan kami adalah membentuk peribadi dan pemikiran Islamik para siswa agar mereka dapat memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Namun sejajar dengan perkembangan, kami kemudiannya mengambil keputusan menukar nama persatuan kepada (ISMA) bagi memberi peluang kepada pelbagai lapisan umat Islam menjadi ahli.

“Tidak seperti persatuan lain, kami bukan sekadar memberi perkhidmatan sebaliknya tumpuan lebih kepada mencorak ideologi dan pemikiran ahli agar bersatu hati dan jiwa membina kekuatan keperibadian yang berpaksikan Islam serta penguasaan budaya ilmu, kehidupan sihat, perancangan dan teknologi.

“ISMA mengajak masyarakat mengamalkan Islam sebagai cara hidup yang unggul dan sempurna. Dengan cara ini, ia akan dapat melahirkan generasi yang cemerlang dan gemilang,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Amal Palestin.

Program Untuk Segenap Lapisan Masyarakat Abdullah mengatakan ISMA giat menganjurkan pelbagai aktiviti untuk segenap lapisan masyarakat. Persatuan ini berusaha mengajak masyarakat kepada keharmonian dan keutuhan keluarga sebagai aset kekuatan dalam pembentukan masyarakat selain mahu mencorak bangsa ke arah maju, berdaya saing dan mampu menjadi sebuah entiti yang mewarnai kepimpinan masa depan.

“Kami bukan sahaja memfokus kepada golongan dewasa sebaliknya program turut diterapkan kepada kanak-kanak serta remaja. ISMA memfokus kepada pembangunan minda kanak-kanak menerusi Nadi Asybal wa Zahrawat Malaysia (NAZIM) yang diambil daripada Bahasa Arab. Terjemahannya adalah Kelab Anak-Anak Singa & Kuntuman-Kuntuman Bunga.

“Aktiviti Nazim merangkumi dalaman dan luaran, antaranya pengucapan awam, tilawah, hafazan, bercerita, kem bestari solat dan pelbagai program riadah serta motivasi lain. Manakala untuk remaja pula mereka boleh menjadi ahli Kelab Remaja ISMA (KRIM).

“Dari semasa ke semasa kami giat menganjurkan program ilmu seperti Konvensyen Wanita Islam Nasional, Zaman Kejatuhan 500 Tahun dan pelbagai program kemasyarakatan seperti Semaian Kasih di hospital dan perkampungan orang Asli, Selangkah ke Bumi Anbiya’ dan Ekspedisi Kembara,” ujarnya.

Beri Kebebasan

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Abdullah mengatakan ISMA bakal menganjurkan Konvensyen Wanita pada 9 Julai 2011 di sekitar Kuala Lumpur. Program-program lain juga bakal menyusul dalam waktu terdekat. Bagi mengetahui mengenai ISMA dan aktiviti yang dianjurkan orang ramai boleh melayari laman web www.ismaweb.net.

Dalam kesibukan menguruskan dua persatuan, Abdullah tidak pernah mengabaikan keluarga. Isteri dan anak-anak menjadi harta berharga dalam hidup Abdullah. Dia bersyukur kerana isterinya, Norsaleha Mohd Salleh amat memahami dirinya dan sama-sama berjuang dalam ISMA.

“Isteri saya merupakan Ketua Wanita ISMA, kami sepakat melaksana tanggungjawab kepada ahli dan masyarakat dengan sebaik mungkin. Di masa lapang, saya gemar beriadah dengan isteri dan anak-anak.

“Saya amat menitik beratkan pendidikan agama. Asas agama akan menjadi benteng kepada mereka menempuhi dugaan apabila meningkat dewasa. Saya tidak memaksa anak sebaliknya memberi kebebasan kepada mereka untuk mempelajari dan memilih bidang yang diminati,” ujar bapa kepada Muslim, 20, Uthman, 19, Aishah, 17, Ahmad Omar, 16, Sarah, 15, Ibrahim, 13, Maryam Amerah, 10, Fatimah Farhah, 8 dan Kauthar Sofia Atirah, 6.

Sumber: Mingguan Wanita