|

ISMA Sarawak anjur DASAR 4

KUCHING, 12 Februari – Kira-kira 103 orang peserta dari seluruh negeri Sarawak telah menghadiri Daurah Sarawak (DASAR) edisi ke-4  anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kuching yang bertempat di Dewan Utama Masjid Solehuddin Al-Ayubi, Kem Penrissen.

Menurut Dr. Mohd Khairol bin Jambli, selaku Naib YDP ISMA Sarawak, daurah bertemakan “Membina Generasi Harapan” ini diadakan sebagai salah satu program pentarbiyahan ahli-ahli ISMA Sarawak di samping bertujuan untuk mengukuhkan ukhuwwah di kalangan  peserta.

DASAR kali ini  telah menampilkan penceramah jemputan khas iaitu YBhg. Ustaz Shahruzzaman bin Bistamam yang merupakan Ketua Biro HRD ISMA Perak dan juga Ahli Majlis Ulama ISMA.

Sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan iaitu “Serangan Pemikiran: Analisa Kemunduran Ummat” oleh Saudara Muhammad Abdul Mun’aim Mohd Idrus, Pengerusi Biro Belia ISMA Sarawak; “Bekal Seorang Mahasiswa Muslim” dan “Menilai Realiti Ummat” oleh Ustaz Shahruzzaman bin Bistamam; dan “Aku Seorang Muslim” oleh Dr. Mohd Khairol bin Jambli.

Satu aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) telah diadakan dengan dikelolakan oleh jemputan khas daripada ahli ISMA Australia iaitu Saudara Afiq Shazwan yang merupakan anak jati negeri Sarawak.

Selain itu, satu sesi forum bertajuk “Jatuh Bangun Sebuah Ummah: Antara Semalam dan Hari Ini ” turut diadakan dengan ahli-ahli panel terdiri daripada Ustaz Shahruzzaman bin Bistamam; YBhg. Ustaz Mejar Munthaha bin Soleh, Pengerusi Biro Dakwah ISMA Sarawak dan Saudari Zatil Iliyani, Ahli Biro Pembangunan Sumber Manusia ISMA Sarawak.

Dr. Khairol yang telah merasmikan Majlis Penutup DASAR-4 melahirkan rasa syukur atas komitmen dan kesungguhan ahli-ahli ISMA Sarawak  yang hadir untuk menjayakan program ini serta berharap agar prestasi ini dapat ditingkatkan lagi pada DASAR ke-5 akan datang.

Sumber: Laman Web ISMA Sarawak