|

“Sirih Pulang ke Gagang” bantu peserta hadapi realiti kehidupan di tanah air

BANGI,  19 Februari – Sekretariat Antarabangsa ISMA (SEKTAR) telah mengadakan sesi perkongsian “Sirih Pulang ke Gagang” bersama hampir 50 orang ahli ISMA luar negara yang telah tamat belajar pada tahun lepas.

Perkongsian berbentuk semi forum itu menampilkan Timbalan Presiden ISMA, Encik Abdul Rahman Md Dali, Setiausaha SEKTAR, Encik Mohd Khoushaini Mohd Naim,  dan ahli ISMA Cawangan Gombak, Dr. Hasmah Baharom.

Dalam sesi tersebut, ahli-ahli panel telah berkongsi pengalaman bagaimana untuk meningkatkan komitmen diri dalam menghadapi cabaran kehidupan selepas bergelar siswazah.

Para ahli panel yang terdiri daripada golongan professional telah berkongsi pandangan dan tips-tips dalam aspek pengurusan pekerjaan, kewangan, keluarga, kemasyarakatan dan juga kesihatan.

Sesi forum ditamatkan dengan sesi soal jawab yang telah membincangkan penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi oleh sebahagian para peserta.

Ucapan penutup telah disampaikan oleh Encik Abd. Rahman yang telah menekankan bahawa para peserta mempunyai kapasiti dan nilai yang tinggi di kalangan masyarakat di mana harapan tersebut seharusnya tidak  menghanyutkan seseorang bahkan memperkasakan kebolehan individu agar mampu membawa masyarakat ke arah kecemerlangan di dunia dan akhirat.

Rata-rata peserta menyatakan penghargaan kepada ISMA di atas penganjuran program seperti ini kerana maklumat yang diberikan bermanfaat buat para peserta sebagai persediaan menghadapi realiti kehidupan di tanah air.