|

Perkembangan terkini pelajar-pelajar Malaysia di Mesir (3 Februari, 8.30 pagi)

Laporan terkini berkenaan situasi rakyat dan pelajar Malaysia di Mesir memberitahu bahawa mereka sudah mula dipindahkan ke Jeddah secara berperingkat. Perpindahan dilaksanakan melalui dua cara, iaitu udara dan laut. Maklumat tentang waktu perpindahan rakyat Malaysia dari Mesir boleh dilihat di laman web rasmi Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) (http://jpmk.info).

Petugas di bilik gerakan ISMA Mesir pada pukul 8.30 pagi (waktu Malaysia) tadi turut melaporkan bahawa talian internet sudah pulih, tetapi kemungkinan besar untuk tempoh yang terhad.

Sementara itu, demontrasi yang dilancarkan oleh pihak yang menuntut supaya Presiden Mubarak melepaskan kuasa masih berterusan dan semakin meruncing akibat kekacauan yang ditimbulkan oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab. Justeru itu, para pelajar yang belum dipindahkan diarah untuk berkurung 24 jam kecuali setelah mendapat arahan baru.

Sama-sama kita berdoa agar perjalanan ahli-ahli ISMA Mesir dan pelajar-pelajar lain ke lapangan terbang dan pelabuhan selamat dan dimudahkan Allah. Syabas juga diucapkan kepada pihak Kedutaan Malaysia di Mesir dan kerajaan Malaysia yang telah mengambil langkah pantas, efektif dan berkesan dalam mengangani krisis ini.

Satu pengajaran yang dapat dilihat di saat genting seperti ini juga di mana umat Islam khasnya Melayu boleh sepakat dalam satu keputusan demi maslahat semua pihak.

1 Komen untuk entri “Perkembangan terkini pelajar-pelajar Malaysia di Mesir (3 Februari, 8.30 pagi)”

  1. abu surur says:

    dalam keadaan susah beginilah terujinya iman.akhlak mukmin.banyakkan doa,istighfar,pergantungan pada allah.