|

Mubarak turun, Majlis Tertinggi Tentera ambil alih

Umar Sulaiman mengumumkan negara ditadbir oleh Majlis Tentera.

Akhirnya Mubarak melepaskan jawatan Presiden Mesir dan mewakilkan Majlis Tertinggi Tentera untuk mentadbir negara. Pengumuman ini dibuat oleh Naib Presiden yanag baru 2 minggu dilantik, Umar Sulaiman di stesen televisyen resmi negara. Kata beliau, “Dalam suasana getir yang dilalui oleh negara pada ketika ini, Presiden Husni Mubarak mengambil keputusan melepaskan jawatan Presiden. Beliau telah memberi mandat kepada Majlis Tentera untuk mentadbir negara”.

Mubarak melepaskan kuasa pada hari Jumaat (11 Feb) yang ketiga selepas meletusnya Revolusi pada Jumaat (25 Jan) yang pertama. Peristiwa ini benar-benar sebagai pengajaran bahawa apabila Allah swt mentakdirkan jatuh bangun kuasa sesebuah kerajaan, di antara penyebab utamanya ialah Rakyat adalah penentu masa depan mereka sendiri.

Kesungguhan dan pengorbanan mereka tidak sia-sia. Rakyat Mesir hari ini telah membuktikan kepada dunia bahawa mereka boleh memaksa kehendak dan agenda mereka mengatasi kehendak dan agenda Kuasa-kuasa Besar Dunia, terutama Amerika.

Walaupun jalan ke arah mewujudkan masyarakat Islam dan negara Islam yang kita cita-citakan masih banyak yang perlu mereka lakukan, namun di fasa kejayaan ini, kita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada rakyat Mesir. Sesungguhnya usaha mencapai kemerdekaan dan kebebasan yang mereka tanam dan bajai, disirami dengan darah para Syuhadak dan mereka yang tercedera, telah pun menampakkan buahnya pada hari-hari ini. Kita juga mengucapkan tahniah kepada para Syuhadak di tempat persemadian mereka. Sesungguhnya pengorbanan mereka tidak sia-sia di Akhirat, bahkan mendatangkan hasilnya di dunia lagi.

Perginya Mubarak dengan kesudahannya seperti ini adalah suatu kegembiraan yang tidak terperi kepada rakyat Mesir khususnya kepada mereka yang telah berjuang demi keagungan Islam, Mesir dan umatnya sejak dahulu hingga kini. Apatah lagi mereka telah berjaya mengusir Mubarak di kala seluruh kekuatan di dalam dan luar negara Mesir mendokong beliau dan cuba memastikan kekuasaannya berterusan dalam menekan rakyatnya. Umat Mesir benar-benar telah menunjukkan kepada dunia bahawa mereka adalah umat yang memang layak mempunyai tamaddun dan sejarahnya yang tersendiri dan gemilang.

Mantan Mursyid Am Ikhwan Muslimin, Ustaz Mahdi Akef mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir atas kejayaan mereka menjatuhkan regim Mubarak yang sekian lama menekan rakyatnya dan menghisap kekayaan negara.

Cabaran di hadapan pula ialah memastikan kemenangan dan kejayaan ini dilengkapi dengan satu bentuk pemerintahan rakyat, demokrasi, adil dan mengurniakan kebebasan kepada rakyatnya. Ini adalah faktor-faktir penting dalam menentukan halatuju kebangkitan umat dan negara Mesir di fasa dan zaman di hadapan. Apa yang dihajati oleh Rakyat sebelum ini ialah Mubarak dan semua regimnya meletak jawatan, Dewan Rakyat dan Dewan Syura (Negara) dibubarkan, demokrasi dan pilihanraya dijalankan dengan penuh telus dan adil. Kenyataan Ikhwan Muslimin melalui jurucakapnya, Dr Mohd Mursi seminggu yang lalu ialah sebaik semua tuntutan-tuntutan Rakyat dilaksanakan, negara Mesir akan dipimpin secara sementara oleh Ketua Hakim Negara sehingga selepas pilihanraya yang adil dan telus dilaksanakan di bawah seliaan sepenuh dan sesempurnanya oleh Badan Kehakiman Mesir.

Pergi kabus, terbit matahari. Puluhan tahun Ikhwan Muslimin diburu, dipenjara dan ada yang dibunuh. Namun semua penzalim ada kesudahannya. (Foto: Pimpinan Ikhwan Muslimin ditangkap suatu masa dahulu oleh pihak Kerajaan dan dibicara di Mahkamah Tentera, bukan mahkamah awam/sivil seperti yang sepatutnya).

Naib Mursyid Am, Dr Mahmud Izzat, ketika dalam tahanan dan perbicaraan dua tahun lalu.

Persoalannya juga adakah Rakyat akan menamatkan Intifadhah 25 Januari 2011 ini hanya selepas sekadar mendengar Mubarak meletakkan jawatan, atau mereka terus teguh meneruskan Intifadhah ini sehingga terjamin dan pasti Pilihanraya Umum telah dijalankan dengan sebaik, sesempurna dan secepatnya? Yang paling selamat dan berjaya ialah mereka menuntut Pilihanraya dilakukan sesegera yang boleh, hingga terlantik dan terbentuk kesemua Dewan Rakyat (Majlis Asy-Sya’ab), Dewan Syura (Negara) dan Kerajaan Mesir. Jika ini berlaku, maka peralihan dari kerajaan di bawah Majlis Tentera kepada kerajaan di bawah pilihan Rakyat akan benar-benar berlaku dan mencipta sejarah yang gemilang kepada Mesir dan rakyatnya.

Sesungguhnya objektif Ikhwan Muslimin disimpulkan kepada dua perkara, pertama umat dan negara kembali kepada sistem masyarakat Islam, dan kedua membebaskan diri sepenuhnya dari sebarang kuasa asing. Adapun cara Ikhwan ialah meyakinkan masyarakat dan menyebarkan dakwah melalui setiap teknik dan cara sehingga pandangan umum (public opinion) masyarakat memahami dakwah mereka dan menolong memenangkan dakwah mereka ini dengan asas aqidah dan iman. Ikhwan kemudian mendidik individu-individu yang baik agar mereka menjadi tunggak yang teguh bagi perjuangan ideologi ini. Kemudian Ikhwan bertarung dalam arena perlembagaan sehingga suara dakwah ini berkumandang di pentas-pentas rasmi yang menyebabkan kerajaan mendokong dan menjayakannya. [Imam Hasan Al-Banna, Januari 1941]

Jika pilihanraya akan dilaksanakan, adakah Ikhwan Muslimin akan dibenarkan oleh Majlis Tentera untuk terlibat sama? Jika Majlis Tentera masih akur dengan dominasi atau pengaruh Amerika, Presiden Obama adalah orang yang terang-terang sebelum ini menentang penglibatan Hamas dalam pilihanraya di Palestin yang akhirnya dimenangi oleh Hamas. Pada beliau, badan atau kumpulan yang disenaraihitamkan oleh pentadbiran Amerika sebagai “pengganas” mesti dihalang penglibatannya di dalam sebarang pilihanraya umum atau sivil. Atau adakah Majlis Tentera akan mengambil keputusan mengadakan pilihanraya sesegera yang boleh lalu menyerahkan mandat kepada Rakyat untuk menentukan pimpinan dan masa depan negara, atau mereka akan berpegang kepada kalendar asal negara iaitu pilihanraya Presiden pada bulan September, sedang berbagai-bagai perkara boleh berlaku dalam masa enam bulan ini?

Ulamak Al-Azhar turut bersama di dalam perjuangan Rakyat dan merai kemenangan mereka.

“Katakanlah (kepada mereka wahai Muhammad) Allahlah yang memiliki kerajaan. Dia memberikan kerajaan kepada siapa yang Dia kehendaki. Dia mencabut kerajaan dari siapa yang Dia kehendaki. Dia memuliakan siapa yang Dia kehendaki. Dia menghinakan siapa yang Dia kehendaki. Pada sisiNya lah kebaikan. Sesungguhnya Engkau (wahai Tuhan) berkuasa atas tiap sesuatu …” (Al-Quran).

Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Naib Presiden I,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku