|

Melayu Sepakat Islam Berdaulat

Tiada siapa akan menyangkal dan menidakkan perjuangan untuk menegakkan deen Islam ini, kecuali mereka yang fanatik dan taksub sehingga tidak betah melihat orang lain berbuat pekerjaan yang sama. Maka, untuk perjuangan ini memerlukan pula orang untuk bekerja menegakkannya. Mustahil deen ini akan tertegak dengan sendirinya tanpa ada pendiri, kerana Islam ini Allah turunkan dengan hujjah bukannya keajaiban dan mukjizat semata-mata.

Di Malaysia, secara umumnya deen ini ditegakkan oleh orang Melayu, atau lebih benar, sewajibnya ditegakkan oleh orang Melayu. Kerana sejarah awalnya dan perkaitan Melayu dengan Islam yang sangat rapat. Apabila ISMA mengambil langkah ke hadapan membawa isu Melayu dan kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka, ada yang mempertikaikan kenapa Melayu, sedangkan Islam itu adalah yang tertinggi dan tiada yang lebih tinggi daripada itu. Tidak kurang ada yang bertanya bagaimana pula dengan mereka yang bukan Melayu tetapi Islam?

Mudah jawabnya, ISMA tidak pernah menafikan peranan bangsa selain Melayu dalam menegakkan Islam di Malaysia. Namun kita lupa berapa porsi Muslim Melayu dan bukan Melayu. Secara statistiknya Muslim selain Melayu tidak sampai pun sejuta orang di Malaysia, sedangkan Melayu Muslim ialah seramai 16 juta orang. Mungkin kita lupa, 300 000 orang di Gaza mengikut tarbiyyah HAMAS barulah boleh mempengaruhi baki rakyat Gaza yang membentuk 1.5 juta orang. Secara kira-kira, amat mencabar untuk porsi Muslim selain Melayu yang berjumlah 700 000 orang banyaknya untuk mempengaruhi baki rakyat Malaysia yang membentuk 27 juta orang. Kerana ini ISMA mahu Melayu dikuatkan agar mereka dapat menguatkan Islam. Realiti!

Masalah sosial remaja masakini yang mencurah-curah membanjiri tanahair sudah jelas bahawa kitalah juaranya, Melayu. Bohsia, bohjan, pelacur, penagih dadah, perbuatan lucah, sumbang mahram, homoseksual, buang bayi, berpeleseran, sebutlah apapun semuanya ada pada bangsa yang kita sayangi ini. Secara logiknya, kenapa ISMA perlu membazir masa untuk selamatkan ummat yang sedang nazak ini? Sudah tentu kerana ISMA tidak melihat bahawa ianya merupakan suatu pembaziran, bahkan suatu pelaburan. Saya secara peribadi, tidak mengatakan bahawa Muslim selain bangsa Melayu tidak terjebak dengan masalah sosial, tetapi kalau kita menghitung nisbah Melayu dan bukan Melayu Muslim yang terlibat dalam masalah sosial, subhanAllah, besar jurangnya. Kalau dahulu bangsa ini dimuliakan dengan Islam, kenapa tidak ianya kembali dimuliakan hari ini? Kalau dahulu bangsa ini kuat dengan Islam, mengapa tidak ianya kembali dikuatkan dengan Islam? ISMA tidak pernah mencela atau mengutuk mana-mana organisasi yang bekerja untuk membantu Cina Muslim mahupun India Muslim, tetapi Melayu kelihatan dipinggirkan, atau mungkin Melayu berasa selesa bahawa mereka ada perlembagaan yang melindungi kedudukan mereka. Maka ISMA mengambil langkah untuk memperkasakan semula bangsa Melayu supaya jatidiri Islam mereka kembali bertakhta. Adakah berbeza apa yang ISMA cuba lakukan dengan apa yang organisasi lain lakukan, tidak! Bahkan, ianya saling tidak berbeza, melainkan kita memfokuskan kepada bangsa yang sudahpun Islam tetapi tidak dimulakan dengannya. Sekali lagi, realiti!

Hakikat yang terakhir, berapa kali kedaulatan Islam selepas PRU 12 cuba untuk digegarkan dan dicabutkan oleh orang kuffar? Kenapa parti-parti politik Melayu dan Islam beriya-iya ingin merebut undi bukan Melayu sedangkan proporsi Melayu masih memenangi majoriti? Di mana kuasa tawar-menawar (bargain power) orang Melayu sedang tanah ini dimiliki oleh orang Melayu? Kerana bahana kelemahan dan kepelikan Melayulah situasi ini menimpa agama Islam yang kita cintai ini. Bukan sekali orang-orang kuffar cuba untuk menempelak rang undang-undang dan perlembagaan yang berkaitan dengan Islam. Kesepakatan Melayu amat signifikan untuk memastikan Islam berdaulat, bukan dari aspek politik semata-mata atau ketuanan Melayu, tetapi ketuanan Islam! Hanya apabila semua Muslim bersatu dan bersepakat baharulah kalian boleh berbicara tentang menegakkan undang-undang Islam. Realiti sekali lagi!

Kepada mereka yang masih mempersoalkan pendirian ISMA dengan pendekatan Melayu Sepakat Islam Berdaulat, selepas entri ini saya amat berharap agar kalian dicerahkan dengan kefahaman yang jelas. ISMA ialah sebuah NGO, bukan parti politik, ISMA mengajak dan menyeru kepada penyatuan Melayu Muslim, dan ianya tiada kaitan dengan politik. Lihatlah perkara-perkara ini dengan jelas dan adil tanpa dipengaruhi dengan ideologi yang telah sedia terpahat di dalam minda kalian. Di akhirnya yang kita ingin tegakkan ialah Islam. Namun, tanpa pendirinya, Islam ini tidak mampu ditegakkan. Keadaan orang Melayu yang parah sekarang akan menyumbang kepada kegagalan aspirasi semua pihak yang memperjuangkan Islam.

Memang bukan Melayu yang datang dahulu, tetapi Islam. Tetapi tanpa bangsa yang kuat menegakkannya, maka Islam ini siapa lagi yang mahu menegakkannya? Kalau mengembalikan Melayu kepada kemuliaannya dengan Islam ialah prasyarat untuk mengembalikan kedaulatan Islam, maka itulah yang akan kami lakukan.

Orang yang melihat dari luar dan hanya mendengar bisikan-bisikan tidak mungkin akan memahami apa yang berlaku di dalam. Berkata benar atau diamlah kata Rasulullah SAW. Sekadar menerka dan berprasangka tidak akan menjadikan anda orang yang benar.

Melayu Sepakat Islam Berdaulat.

Oleh: Mohd Azmir bin Mohd Razli,
Aktivis ISMA
Blog: Kalam Yang Berbicara

13 Komen untuk entri “Melayu Sepakat Islam Berdaulat”

  1. AbuZar says:

    hakikatnya Kedaulatan Islam sudah tercabar 500 tahun dahulu lagi. bukan pasca PRU 13, sejak kemerdekaan lagi Islam sudah diletak bukan pada tempatnya,

    Apa-apa undang2 yang bercanggah dengan undang2 perlembagaan, secara otomatik ianya terbatal.

    hakikatnya, Islam tidak pernah berdaulat di Malaysia. Ini Realiti!.

    Jangan lihat kedaulatan Islam yang dicabar oleh kafir (hakikat mereka tidak mengerti dan bukan ISlam ). malulah kita, orang Islam sendiri + melayu yang menjatuhkan kedaulatannya.

    mari lihat beberapa contoh,

    (Kenyataan Mahathir kepada wartawan pada 3hb Mac 1994 di Nilam Puri, Kelantan Darul Naim): Hukum rejam kepada penzina adalah primitif

    (Kenyataan Najib Razak pada 20hb April 1983 kepada para wartawan): Negara akan huru-hara sekiranya undang2 Islam dilaksanakan -

    (Kenyataan Mahathir pada 14 Julai 1992 kepada wartawan). Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan. Ini sangat memalukan umat Islam kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja.

    Ini bukan kenyataan kafir kuffar… ini kenyataan melayu Islam.

  2. AbuZar says:

    Mungkin ISMA boleh menunjukkan contoh dengan bersepakat dengan mana-mana parti Melayu ( UMNO, cntoh sahaja) atau NGO melayu ( perkasa, pekida ).

    sebab mungkin ramai yg masih ragu-ragu, tp InsyaAllah, kalau ISMA dapat buktikan, bila melayu sepakat Islam akan berdaulat, saya yakin, tidak ada sorang pun yng berani menyangkal nya lagi. konfem!.

  3. pendekar says:

    saya secara peribadi melihat perjuangn isma ni sama shja seolah olah senada dgn umno. asyik2 ingin perjuangkan bangsa. saya rasa, isma lah yg patut mencari kefahaman yg sebenarnya. igt lagi kta2 tok guru nik aziz bhawa klu umno lksanakan islam yg allah dan rasulnya suruh, saya x teragak2 utk bubarkan PAS. yg jd masalhnya skrang ni, ya mmg melayu kena sepakat n bersatu memandangkan melayu majoriti di malaysia. ttp kena igt, bersatu atas dasar ISLAM. bknnya melayu!. ada apa dgn bangsa? kita tgk kat malaysia, melayu jd lemah, teruk, terlibat dgn gejala sosial krana org melayu sendiri yg x letakkan islam di tempat tinggi. klulah islam diletakkan ditempat yg tinggi, konfem bangsa melayu jd hebat, malah bangsa2 lain pon terbela. kita kena igt, sesuatu bangsa k, org k, dia jd mulia kerana islam. bkn kerana melayu. wlupon melayu sepakat mcm mana sekalipun, ttpi spakat atas dasar melayu, ttp x akan membawa kemana-mana. mestilah bertunjangkan atas dasar islam yg allah dan rasulnya perintahkan. bkn islam sekular yg dicelup oleh acuan barat. harap aktivis2 ISMA perlu mencarii kefahaman yg sempurna. cek blik, sapa yg x fhm sebenarnya?

  4. bismilllahi walhamdulillah,

    Abu Zar,

    mungkin frasa yang saya gunakan tidak betul. saya tidak menafikan bahawa adanya kenyataan-kenyataan seperti yang disebut. namun, cubaan-cubaan untuk menggugat Islam lebih rancak tampaknya selepas PRU 12, ini tidak boleh dinafikan. bahkan. sudah banyak sebenarnya cubaan-cubaan yang sama cuba dibuat sebelum PRU12 seperti IFC, dan kita sedia maklum bagaimana perdana menteri ketika itu, tun abdullah ahmad badawi diasak.

    kalau cubaan yang dibuat oleh golongan kuffar adalah dahsyat, maka yang dibuat oleh orang Islam tentu lebih dahsyat.

    namun, artikel ini ditulis bukan untuk merujuk kepada isu tersebut semata-mata, ada lagi beberapa perkara yang kita perlu lihat seperti yang telah disebut dalam artikel di atas. ISMA melihat bahawa tidak semestinya dengan berkuasa baharulah perubahan boleh dibuat, dan ISMA juga dalam aspirasi memperbaiki keadaan ummat tidak teragak-agak untuk berganding bahu dengan mana-mana organisasi yang benar-benar memberi pulangan semula kepada ummat Islam, bukannya mana-mana agenda politik.

    pendekar,

    senada dengan UMNO atau senada dengan Ikhwanul Muslimin? mungkin saudara boleh menyelak semula tulisan-tulisan as-Syahid Hassan al-Banna dalam majmu’ah rasail tentang bangsa. dan mungkin saudara pendekar juga mahu teliti semula artikel yang telah ditulis di atas, bukan dibaca sepintas lalu atau komentar melalui tajuk semata-mata, mungkin.

    sekiranya saudara pendekar tidak menjumpai tulisan tersebut, bolehlah klik pautan di bawah ini untuk sedikit tentang nasionalisme;

    http://www.facebook.com/home.php?sk=lf#!/notes/mohd-sahrularifin-ab-manan/pandangan-ikhwanul-muslimin-tentang-nasionalisme-cinta-bangsa/149317808459943

    bahkan, saya rasa kalau saudara pendekar benar-benar menelah dan uliti tulisan di atas, saudara akan dapati, apa yang saya tulis bukan semata-mata tentang bangsa, bahkan ianya akan mengembalikan bangsa ini kepada kemuliaan Islam. soalan saya, apakah salah kalau ISMA ingin bekerja untuk mengembalikan kemuliaan Islam kepada orang Melayu? apakah kami sedang bercakap tentang bangsa atau saudara sebenarnya yang salah faham? bukankah itu juga perjuangan mana-mana organisasi Islam, mengembalikan kemuliaan Islam kepada ummah? cumanya kami menfokuskan kepada orang Melayu, kerana Melayu ialah bangsa majoriti. sekali lagi, di mana sebenarnya yang kami perjuangkan bangsa? kalau saudara mengatakan dengan melebihkan Melayu di atas bangsa lain, saya minta sila baca semula artikel di atas.

    kenyataan saudara;

    “melayu jd lemah, teruk, terlibat dgn gejala sosial krana org melayu sendiri yg x letakkan islam di tempat tinggi.”

    sebenarnya, itulah yang saya tulis dalam artikel di atas, bahkan saudara menulis sedemikian sebenarnya menyetujui bahawa kita perlu kembalikan kemuliaan Islam kepada orang Melayu, atau kalau saudara suka, mengembalikan orang Melayu kepada kemuliaan Islam.

    saya berharap saudara tidak bersikap serkap jarang, kalau sudah jelas, kapan lagi akan sertai kami?

  5. abu surur says:

    Dari pembacaan saya terhadap tulisan-tulisan dan komen pengunjung dalam isu kita ni sebenar nya tak ada pertentangan sangat.semuanya menjurus pada perjuangan islam.Yg bezanya hanya pendekatan , beberapa srategi ,wasilah yg di guna pakai oleh individu dan jamaah.coz berhujjah lah dgn ilmiah,guna dalil.inya akan menguntungkan penulis,pengomen dan pembaca.berlumba membuat khairaat.

  6. AbuZar says:

    Alhamdulillah, tegur menegur ini memang diperlukan, lebih lagi sesama jemaah Islam. Perlu ditegur, walaupun ada yang terasa hati dan kecik hati, namun itulah jadam yg harus ditelan oleh semua yang mengaku gerakan Islam, sama ada NGO ke, atau yang terlibat langsung dengan politik semasa tanah air.

    Oleh kerana nama nya tegur menegur, yang menegur akan berharap teguran nya diterima. Seharusnya yang menegur itu, apabila ditegur, harus lah juga menerima. (faham ke x?, berbelit2)

    ISMA menjawab (dengan memberi hujah dgn dalil dan nas), bila ada yang tidak bersetuju dgn pendirian ISMA untuk menegakkan bangsa. kenapa bangsa orang bertnya?,

    dan ISMA pun membuat program2, dan menulis artikel dan disiarkan di ISMAWEB, seperti saudara tulis diatas, untuk menjawab persoalan2 yg bermain. ISMA mempertahankan sehabis2nya prinsip dan jalan dakwah yng diambil oleh ISMA. tanpa ragu2 lagi.

    jadi,oleh kerana bila ada yang menegur ISMA, dan ISMA pun merasa ISMA yng betul, lalu, xpelah teruskanlah dengan perjuangan itu. dan ISMA meminta masyarakat daie untuk memahami prinsip ISMA

    ok, ISMA pula menegur gerakan Islam(PAS, JIM, ABIM, dll, cth gerakan islam) yang, lain, dan mereka juga mengeluarkan hujah (nas dan dalil) sebagaiamana ISMA lakukan untuk menjawab persoalan2 yng ditimbulkan oleh orng yg xfaham, lalu sepatutnya ISMA juga menghormati prinsip mereka.

    Jadi, persoalan disini ialah, bila ada yang mempertahankan prinsip2 gerakan Islam lain, selalu dikaitkan dengan taksub, tp bila ISMA mempertahankan prinsipnya, bagaimana pula?…

    kedua ialah, oleh kerana sama-sama ada pegangan dan prinsip, marilah kita teruskan gerak kerja masing2.. hentikan lah sebarang tulisan yang memukul anak, menghina menantu (bukan merujuk artikel diatas, contoh sahaja).

    kalau salah tolong betulkan, kalau rebah tolong bangunkan, kalau terjatuh, harap bersedia angkatkan..

  7. pendekar says:

    kdp emir abu khalil

    kembalikan islam kpd org melayu? kenyataan anda seolah2 islam itu hnya utk melayu shj. bknkah islam itu utk semua manusia? waqi di malaysia, dgn cara demokrasilah cara utk kembalikan daulah islam. so, klu isma hanya menjdi NGO, x akan kemana-mana. saya cdgkan kpd pimpinan isma, sekiranya mahu islam itu didaulatkan, serta mengembalikan kemuliaan bangsa, pintalah kpd pimpinan malaysia supaya ambil islam sbgia cra hdup yg betul. bknnya sekular. agak2 blh tlg x smpaikan kpd pimpinan2 kita malaysia dgn tanpa join politik? saya rasa, ttp x blh. cuba tgk nabi kita dulu, bila dpt kuasai madinah, islam dpt dilaksanakan dgn syumul serta sepenuhnya.

    lagi satu, anda pelawa saya utk join ISMA? terima kasih sahaja. Saya ttp dgn gerakan islam iaitu PAS. ISMA just NGO ttpi bknnya gerakan islam. cek balik jemaah kita, apakah benar2 jemaah kita ni bercirikan hizbullah seperti yg disebut oleh syeikh said hawa didalam kitabnya jundullah? secara peribadi, hasil dr tarbiah yg saya terima, PAS lah gerakan islam yg bertepatan dgn ciri2 hizbullah. jemaah2 yg lain mcm mna? saya x mau nak buat analisis, shbt2 dr jemaah lain tu hrp buat kajian sendiri supaya mendapat kfahaman yg sempurna

  8. strategis says:

    salam…

    Artikel yang mantap…

    Tugas membawa Islam adalah tugas yg besar, dan bebanannye perlu dikongsi bersama, Anggaplah kita semua bekerja dibawah matlamat yang sama, dan dibahagikan kpd jabatan2/organisasi yang ada, mungkin tugas2 sesuatu jabatan tidak dapat digalas oleh jabatan yang lain (atas sebab kekangan dll), dan masing2 memahami dan membantu, dgn penuh harmoni… Pendekatan yang berbeza dalam setiap organisasi adalah keunikan masing2 dan saling melengkapi. Medan kita adalah medan yg sangat besar…

    Teruskan membawa Islam dan membina generasi harapan dalam apa jua jabatan/organisasi anda! Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing…

  9. Iqbal Hakim Abdul Razak says:

    SubhanAllah. Abg pendekar sesuai dengan namanya, garang.

    Bila kita menafsirkan ‘kembalikan islam kepada melayu’ sebagai ‘islam milik Melayu’ maka itulah yang kita dapat. Apa yang saya faham saudara Azmir kata nak kembalikan nilai-nilai Islam ke dalam jiwa-jiwa orang Melayu yang semakin pudar, semakin rapuh pegangan kepada nilai-nilai tersebut. Bukanlah maknanya milik eksklusif orang Melayu. Nilai Islam ini milik orang Muslim, malahan, secara lebih meluas wajib dimiliki setiap jiwa di muka bumi ni.

    Mungkin hanya penafsiran saya. Bila kata ‘kapan sertai kami’ bukanlah bermaksud sertai ISMA tapi sertai bekerja untuk kembalikan ‘izzah Islam dalam jiwa orang Melayu.

    Adat permainan, menang dan kalah. Namun dalam isu perjuangan macam ni, x sepatutnya begitu. Selayaknya kita saling melengkapi, bekerja dengan cara berbeza tapi menuju ke arah yang sama. Macam hadith nabi, kal bunyan. Ibarat bangunan, saling mengukuh antara satu sama lain. Kalau bercakaran saja, susah ni. Sangat setuju dengan AbuZar, tegur menegur, bantu membantu. Jangan pula kita terperangkap dalam emosi bila nak berbincang.

    Juga, tiba masanya kita pecahkan cara fikiran kita daripada kerangka berfikir politik. Kalau kamu bukan merah, kamu hijau! Kalau kamu bukan bulan purnama, kamu keris! Apa yang kita dapat bila nampak macam ni, bila berfikiran macam ni? kuman di seberang lautan sahaja…

    Peduli tandanya sayang. X peduli tandanya benci. Betul begitu?

  10. panglima.zamrud says:

    alhamdulillah artikel ini amat menarik dan bagus kerana dapat mencuit dan mengetuk akal untuk berfikir. ada yang amat asertif dan ada yang tak, tak ketinggalan juga yang agresif dalam menglahirkan pendapat. masing-masing punya fikrah. apa yang amat pasti menegakkan syiar ALLAH… saya berharap kita semua dapat melengkapi antara satu sama lain… tahniah kepada semua aktivis-aktivis yang menggunakan kepelbagaian metodologi dalam menyampikan risalah, ada yang guna hizbullah dan ada guna cara sheikh hassan al banna… dalam kepelbagaian metodologi ini saya harap tidak ada percakaran yang menunjukan siapa yang lebih baik kerana kita masing-masing bekerja untuk ALLAH. ada baiknya saya ingin memperingati diri ini dan semua balik baca dan teguhkan asas-asas islam, kalau yang dah habis dah, ulang dan ulang agar kita faham tentang erti perjuangan ini. wallahu…

  11. yubi says:

    assalamualaikum wbt.

    sebelum ini isma menggunakan slogan “memartabatkan kesetiaan bangsa” dan sekarang diganti dengan “melayu sepakat Islam berdaulat”. adakah slogan sebelum ini adalah suatu kesilapan dan tidak relevan sehingga terpaksa diganti dengan slogan yang baru?

  12. pejuang Islam hakiki says:

    sekadar beberapa soalan ringkas..

    1-apakah tindakan ISMA selama ini dalam menentang kezaliman?

    2-apakah dakwah Islam itu hanya kepada Melayu? kalau begitu, siapa yang akan berdakwah pada bukan melayu?

    3-cintakan bangsa dalam majmu’ rasa’il mmg menyebut tentang bangsa, tetapi kalau kita ikut waqi’ di Malaysia, adakah sama dengan waqi di Mesir? (dari segi bangsa)

    4-matlamat dan mekanisme ISMA dalam menegakkan Islam masih samar..ianya lebih membawa perpecahan yang melambatkan kemenangan. walaupun ada yang mengatakan, “kami dari jabatan lain, tapi masih di bawah matlamat yang satu”, siapakah yang memegang keseluruhan jemaah? (sebagai penyelaras) kalau tiada penyelaran dibuat, maka kerosakan yang akan dilihat pada hasilnya..
    (tuhan mesti satu shj, xboleh ada 2..kalau ada 2, maka hancurlah alam ini..)
    -konsep yang sama bukan?

    harap ada pejuang ISMA yang boleh jelaskan dengan ringkas dan tepat
    syukran

  13. mengaku Islam says:

    Nabi SAW tidak suka membeza-bezakan bangsa. Tak kira apa bangsa, kita satu umat. Umat Nabi Muhammad SAW!! Kita kena ada fikir dan risaukan umat ini!