|

Kembara ISMA Australia & New Zealand dekati tokoh-tokoh ISMA

BANDAR BARU BANGI – Seramai 40 orang aktivis ISMA di Australia, New Zealand dan Korea Selatan telah menyertai Program Kembara Musim Panas ISMA Australia & New Zealand yang bermatlamat untuk menziarahi tokoh-tokoh pimpinan ISMA di Malaysia.

Kembara ini bermula di Seremban di mana para peserta menziarahi Naib Presiden I ISMA, Ustaz Abdul Halim Abdullah yang telah menyampaikan satu perkongsian berkisar tentang realiti umat Islam di tanah air dan peranan generasi muda dalam mengubah agenda kehidupan masyarakat agar kembali kepada matlamat Islam yang sebenar. Para peserta perempuan juga berkesempatan untuk menghadiri sesi perkongsian dengan Ustazah Norlida Kamaruddin, Naib Ketua Wanita ISMA Pusat.

Tatkala peserta perempuan mengambil peluang menziarahi Iman Care Centre, tadika kepunyaan Ustaz Abdul Halim dan isteri beliau di Seremban, para peserta lelaki meneruskan kembara ke International Education College (INTEC) di Shah Alam sebagai memenuhi jemputan program “Ausmat Homecoming & Summer Fling 2011″ anjuran INTEC. Program ini memberi peluang pelajar-pelajar INTEC yang akan ke Australia dan New Zealand kelak berkongsi pengalaman dan tips memilih universiti dan jurusan dengan senior-senior yang ada.

Selesai program di INTEC, peserta kembara menuju ke Bandar Baru Bangi untuk acara riadah futsal bersama aktivis-aktivis ISMA di sini. Pada sebelah malamnya pula, para peserta mengambil peluang ke Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menghadiri Forum Inspirasi Bersamamu Gaza yang menampilkan Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Zainuddin, Naib YDP ISMA Seremban merangkap Perunding Aman Palestin sebagai salah seorang panelis.

Pejabat Aman Palestin di Seksyen 3 menjadi destinasi terakhir  kembara di mana satu sesi perkongsian diadakan dengan Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, Presiden ISMA yang juga Pengerusi Eksekutif Aman Palestin Berhad. Selain menceritakan mengenai perkembangan semasa Aman Palestin sebagai wadah membantu Palestin, Ustaz Abdullah Zaik juga memberi penerangan mengenai peranan, visi dan perkembangan semasa ISMA sebagai salah satu NGO utama di Malaysia. Melalui penerangan beliau, peserta-peserta kembara yang merupakan aktivis ISMA di luar negara beroleh kefahaman yang lebih jelas mengenai matlamat amal kemasyarakatan di dalam dan luar negara.

Diharapkan agar pengalaman dan kenangan kembara musim panas di Malaysia ini memberi banyak dorongan dan semangat untuk para aktivis ISMA di Australia dan New Zealand untuk terus bergiat aktif dalam amal dakwah dan kemasyarakatan, di samping menjadi tokoh dan cemerlang dalam akademik yang diceburi.

Sumber: Laman ISMA Australia