|

Jalinan Ukhuwah 2011 satukan para pelajar luar negara

BENTONG – Program Jalinan Ukhuwah 2011 telah berlangsung dengan jayanya di Dusun Eco Resort baru-baru ini yang telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 100 orang pelajar dan bekas pelajar di Australia dan New Zealand.

Program tahunan anjuran Sekretariat Perhubungan Antarabangsa (SEKTAR) ISMA ini bertambah menarik apabila menerima kehadiran beberapa orang pelajar dari Korea Selatan, Mesir dan India.

Dengan bertemakan “The Reunion”, program ini bermatlamat untuk mengumpulkan para pelajar dan bekas pelajar yang pernah belajar di negara-negara tersebut dan pada masa yang sama mengeratkan hubungan silaturrahim yang telah sedia terbina.

Program bermula dengan slot pengisian oleh Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah, Naib Presiden I Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Beliau telah membicarakan tentang satu isu penting bagi umat Islam iaitu “Jendela Dunia dan Ghuzwatul Fikr (Serangan Pemikiran)”.

Satu forum yang bertajuk “Peranan Mahasiswa/wi Luar Negara Dalam Menghadapi Cabaran dan Realiti Tanah Air” telah diadakan yang menampilkan tiga orang panel yang berpengalaman iaitu Dr. Kamsani (Ketua Setiausaha SEKTAR), Dr. Norsyarifah Hashim (i-Medik) dan En. Umar Hakim (Ketua PEMBINA Kuala Lumpur) untuk mengupas isu tersebut dengan lebih mendalam.

Selain itu, pelbagai aktiviti luar turut diadakan seperti ‘rafting’ dan laluan berhalangan yang berjaya membina semangat kerjasama dan ukhuwah di kalangan para peserta.

Sesi memperkenalkan i-Medik, iaitu sebuah badan di bawah kelolaan ISMA dengan visinya iaitu untuk membangunkan tamadun perubatan Islam di Malaysia juga diadakan. Pelbagai isu telah dibincangkan, antaranya ialah tentang bantuan misi kemanusiaan, prospek kerjaya dan pengalaman dari doktor-doktor yang berpengalaman. Pembentangnya adalah Prof. Dr. Azmi M. Nor (Presiden i-Medik), Dr. Mohd Sundari (Timbalan Presiden i-Medik) dan Dr. Zainurrashid (Naib Presiden i-Medik).

Pada hari terakhir program, para peserta berkesempatan untuk mendengar pengalaman dan nasihat berguna dalam sesi “Care to Share” bersama YB Aminuddin Yahaya (Setiausaha Agung ISMA) bagi peserta lelaki dan Ustazah Junainah Samad (Ketua Wanita ISMA Gombak) bagi peserta perempuan.

Sesi terakhir yang disampaikan oleh YB Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, Presiden ISMA, merupakan acara kemuncak bagi Jalinan Ukhuwah 2011. Beliau telah membicarakan topik yang bertajuk “Melayu Sepakat, Islam Berdaulat”. Penerangan yang disampaikan oleh beliau telah berjaya membantu para peserta untuk lebih memahami isu tersebut. Program selama 3 hari 2 malam tersebut diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada para peserta dan tayangan video penutup.

Sumber: Laman ISMA Australia