|

Generasi kini perlu fahami dan kembalikan sejarah kegemilangan bangsa

MELAKA - “Kesedaran generasi masa kini harus diperbaiki untuk mendaulatkan kembali bangsa Melayu dan agama Islam di tanahair kita sendiri,” tegas YBhg. Prof Emeritus Datuk Dr Yusuf bin Hashim, Naib Cancelor Kolej Universiti Islam Melaka.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk “Kegemilangan Empayar Kesultanan Melayu Melaka” bersempena dengan Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini baru-baru ini.

Menurut Datuk Dr Yusuf, kita perlu menyedari bahawa kita sebenarnya mempunyai asal-usul yang hebat suatu masa dahulu  dan pernah menggegarkan dunia. Justeru itu, bangsa Melayu tidak perlu malu dan memalukan diri sendiri kerana sejarah telah membuktikan kegemilangan bangsa ini.

Dalam pembentangan beliau, Datuk Dr Yusuf telah menyingkap sejarah kegemilangan Melaka yang telah diiktiraf seantero dunia, meliputi semua aspek antaranya politik dan ekonomi.

Dalam bidang politik misalnya, Kesultanan Melayu Melaka memiliki sistem pentadbiran yang teratur dan sistematik, sebagai contoh wujudnya jawatan Sultan, Bendahara dan Laksamana. Pentadbiran Melaka juga adalah berlandaskan ajaran Islam, maka tidak hairanlah Sultannya terkenal dengan kewarakan mereka. Sebut sahaja nama Sultan Mansur Shah dan Sultan Alauddin Riayat Shah, kedua-duanya memang terkenal mengamalkan Islam dengan sepenuhnya.

Menyingkap kemajuan ekonomi Melaka pula, menurut Datuk Dr Yusuf, seorang sejarawan Barat bernama Tom Pires pernah mengatakan bahawa “Barangsiapa yang memegang Melaka, maka ia telah memegang Venice secara keseluruhannya”.

Perdagangannya melibatkan seluruh pelusuk dunia dari Timur Tengah ke China dan dikatakan sebanyak 84 bahasa dituturkan di Melaka. Apa yang dibanggakan ‘lingua franca’ di Melaka adalah Bahasa Melayu.

Di akhir pembentangan beliau, Datuk Dr Yusuf menyeru para hadirin supaya memahami sejarah kegemilangan bangsa kita dan berusaha untuk mengembalikan semula kegemilangan tersebut.

Konvensyen anjuran ISMA dengan kerjasama Persatuan Islam Nasional (PEMBINA) ini telah dihadiri oleh kira-kira 3600 peserta yang datang dari seluruh negara.

Majlis penutup konvensyen ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Yaakub bin Mohd. Amin, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Melaka.

Huda,
Wartawan Media ISMA