Berkarya dalam kehidupan
Apakah yang dimaksudkan dengan berperanan dalam kehidupan? Iaitu kamu mempunyai kedudukan di alam ini, sehingga kamu adalah sebuah angka yang mempunyai nilai, bukan setakat sifar yang terletak pada sebelah kiri angka. lni bermakna bahawa kamu mesti turut serta dan berperanan di dalam usaha memakmurkan bumi dan membangunkan kehidupan umat serta ikut mempersembahkan sebuah karya dan jasa yang sesuai dengan kemampuan kamu dan bukan sebaliknya, iaitu hanya menjadi beban bagi umat. Sesungguhnya lebah yang mati akan dicampakkan ke luar sarang, kerana ia sudah tidak berharga dan tidak boleh lagi menghasilkan madu. Pokok yang kering akan dicabut dan dicampakkan ke luar kebun, kerana ia sudah tidak dapat memberi manfaat.
Oleh itu, apakah balasan yang sepadan bagi orang yang mendengar dan melihat tetapi dia tidak bekerja, tidak berkarya dan tidak mempunyai peranan langsung dalam usaha membangunkan kehidupan umat. Seorang pelajar yang tidak pergi ke sekolah dengan alasan yang tidak dibenarkan, malah dia duduk bersama ibunya di rumah, maka hukuman yang layak baginya tidak lain adalah rotan yang dipukulkan dengan keras kepadanya agar dia mahu berdiri dan berlari secepatnya ke sekolah. Seorang pekerja yang malas dan kerap tidur pada saat bekerja, maka hukuman baginya tidak lain adalah teguran yang keras dan tidak dibayar upah agar dia serik dan sedar terhadap kemalasannya tersebut. Seorang alim yang hanya mementingkan diri sendiri dan tidak mahu memberikan manfaat kepada orang lain, maka dia patut dihapuskan dari kamus orang-orang yang memiliki nama harum dan dikenang oleh ramai orang. Ini kerana dia tidak mahu berkorban dan tidak mahu memberikan contoh yang baik kepada orang lain.
Wahai orang yang menginginkan kebaikan bagi diri sendiri dan umat, janganlah kamu menjadi orang yang tidak memiliki nilai langsung sehingga kamu dilupakan, janganlah kamu menjadi umpama barang yang tidak berharga.
Makhluk yang paling rendah dan hina di alam ini adalah manusia yang hidup sehariannya hanya makan, minum dan tidur. Sumber manfaat dalam dirinya sudah tidak mengeluarkan air lagi, lembah kebaikannya telah kering. Oleh itu kewujudannya berhak untuk tidak dianggap kerana dia telah menghapuskan namanya dari daftar kehidupan, menghapuskan nombornya dari papan pencatat karya dan pengorbanan. Dia umpama berada di alam kematian, perbezaannya bahawa dia masih makan dan minum. Dia pun telah berada di alam kubur, perbezaannya dia masih tertawa dan tidur. Orang-orang seperti ini mempunyai peranan yang besar dalam kenaikan harga keperluan utama, kerana banyaknya makanan yang dia santap. Dia juga memiliki peranan yang besar dalam mengakibatkan terjadinya kekeringan, kerana banyaknya air yang dia minum. Tetapi langsung tidak menghasilkan produktiviti.
Orang lain sentiasa membina, berkarya dan berjalan ke hadapan, manakala dirinya mundur ke belakang kerana melawan arus perkembangan dan pembangunan, melawan usaha dalam memberikan manfaat dan mempersembahkan karya, serta musuh kejayaan dan prestasi. Kafilah kehidupan tidak akan mahu untuk menunggu orang-orang yang malas dan lambat, kerana kafilah ini hanya diperuntukkan bagi orang-orang yang aktif berkarya. Seluruh tempat yang ada telah dipesan dan waktu tidak akan menunggu sesiapa pun. Maka bangkitlah dan berkaryalah agar kita mampu menjadi golongan yang mencipta sejarah bukan sekadar berada di dalam lipatan sejarah sebagai orang yang gagal.
Sumber: Laman Web ISMA Shah Alam


