Adakah revolusi akan berlaku di Malaysia?
Angin perubahan sedang bertiup kencang di seluruh dunia Islam. Semua pihak sedar bahawa masyarakat mahukan perubahan. Apa arah perubahan itu tidaklah siapa dapat pastikan secara tepat, tetapi semua orang dapat lihat kocakan di sana sini.
Setelah menyaksikan kejayaan demonstrasi di Tunis, rakyat Mesir bangkit. Oleh kerana kedegilan Murabarak untuk tunduk kepada tuntutan, demonstrasi beretukar menjadi revolusi. Kini seluruh rantau Arab bergolak menuntut perubahan yang sama.
Persoalan timbul adakah di Malaysia pun boleh dicuba cara yang sama? Ada pihak yang sedang intai-intai peluang dan pihak yang satu lagi pula berasa sangat gusar dan bimbang. Ada yang beri pandangan ia mungkin berlaku.
Isu ini barangkali tidaklah penting sangat, tetapi ada sensasi untuk diperkatakan. Saya pun bukan penganalisis politik, cuma sekadar berkongsi ilmu dan pengalaman dari pembacaan dan pemerhatian sahaja.
Pada pandangan saya untuk masa ini revolusi tidak mungkin berlaku di Malaysia kerana dua sebab:
1. Mengikut ahli sejarah Itali, Machiavelli mengatakan bahawa revolusi akan berlaku apabila pemerintah mencampuri hal peribadi dan keluarga individu masyarakat seperti merogol ahli keluarga, culik anggota keluarga, mengganggu sumber rezeki, pembunuhan ke atas individu masyarakat oleh anggota keselamatan dan sebagainya.
Apabila keadaan seperti itu berlaku maka potensi revolusi akan berlaku adalah besar. Kalau diperhatikan insiden yang berlaku dalam sejarah kita di zaman moden ini kita dapati ada kebenarannya apa yang diberitahu oleh Machiavelli itu. Lihat apa yang berlaku kepada Shah Iran di Iran, Suharto di Indonesia dan kepada Mubarak di Mesir sekarang.
2. Kebanyakan pemerintah tersebut merupakan pemerintah kuku besi yang memerintah menggunakan tentera, perisikan dan agen keselamatan selain merupakan boneka yang lemah dan tiada agenda. Mereka mengumpulkan kekayaan di kalangan kerabat dan elit mereka dan mengabaikan pembangunan masyarakat kebanyakan.
Dua perkara ini tidak ketara wujud di Malaysia. Walaupun isu-isu berkaitan ditimbulkan oleh pihak-pihak berkaitan tetapi realiti hidup masyarakat umum belum sampai ke tahap apa yang berlaku di negara-negara Arab yang dipimpin oleh rejim diktator. Parti pemerintah pula dilihat ada agenda pembangunan dan kehidupan individu rakyat kebanyakan tidak digangu oleh agen pemerintah.
Pada saya keberkesanan demonstrasi yang sedang berlaku sekarang di negara-negara Arab lain yang terbabit amat bergantung kepada sejauh mana kezaliman pemerintah negara tersebut dirasai oleh umum di peringkat akar umbi masyarakat. Jika itu berlaku dan melata, potensi untuk berlaku revolusi adalah besar.
Walau bagaimanapun apa yang berlaku itu sepatutnya menjadi teladan kepada semua pemerintah yang sering saya sifatkan sudah tamat tempoh sah lakunya, sebab seakan-akan telah menjadi hakikat bahawa generasi baru inginkan perubahan.
Apa-apa sahaja perubahan… tidak kisah asalkan perubahan. Jadi bagaimana nak jadikan diri anda terus relevan?

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Perjalananku

