|

Melihara keseimbangan rahsia kehebatan seorang murabbi

Dalam dakwah, unsur tarbiah dan pengurusan sama penting. Sebagaimana tarbiah dianggap thawabit (perkara tetap) begitu juga berpegang kepada peraturan juga adalah thawabit.

Menjaga keseimbangan antara dua unsur ini merupakan ujian kematangan kepimpinan (nuqabak dan masulin) dalam organisasi dakwah. Berlebihan atau kecuaian dalam salah satu akan menyebabkan kecacatan dalam perjalanan dakwah keseluruhan.

Tentunya ia tugas yang amat rumit.

Sebagai contoh, tarbiah tabiatnya memupuk, memujuk, mendidik dan memahamkan. Melalui pendekatan tarbiah perlaksanaan sesuatu amal sangat bergantung kepada kehendak dalaman seseorang. Bila kehendak kuat, amal kuat dan bila kehendak lemah, amal menjadi lemah.

Dalam keadaan itu murabbi yang berlebihan sifat tarbawinya akan gagal dalam aspek produktiviti dan efisiensi (keberkesanan) amal, bahkan murabbi boleh jadi terjerumus dalam majlis “lepak tarbawi” yang melalai dan membuang masa.

Kononnya atas dasar tarbawi, murabbi bersembang semalaman di kedai makan. Malam demi malam berlalu mebincangkan hal-hal tarbiah dan permasalahan ahli, walhal banyak masa terbuang dan sudah banyak kerja yang terbengkalai.

Melalui pendekatan tarbawi sering berlaku tidak ada masa tertentu untuk selesaikan kerja, isu boleh jadi meleret-leret menunggu Tuhan menurunkan penyelesaian.

Sebaliknya pegurusan tabiatnya jelas , “straight” dan cekap dalam perlaksanaan. Ia sering disifatkan sebagai kering. Seseorang yang gagal melaksanakan tugas seperti yang dijadualkan mengikut waktu dan sifat yang ditetapkan perlu dimuhasabah dengan tegas, kerana ia telah mensia-siakan peluang dan menggagalkan perlaksanaan strategik.

Dalam keadaan penekanan berlebihan terhadap ketegasan, pengurusan boleh menyebabkan hubungan renggang, tensi0n, tegang dan bila-bila masa boleh meletuskan konfrontasi.

Murabbi yang mahir mampu mengimbangi antara kedua-dua ciri positif ini; pendekatan tarbawi dan pengurusan secara seimbang sepanjang masa. Apa yang kita mahu hubungan terus terpelihara, semangat sentiasa berkobar-kobar dan perlaksanaan amal berkesan.

Memahami hakikat ini, seorang yang berada di level murabbi dan kepimpinan tidak boleh ikut dia punya feel semata-mata. Kalau dia jenis orang yang menekankan natijah amal hendaklah sentiasa peka tentang menjaga hubungan ukhawi dan manusiawi. Dan jika ia seorang yang sifatnya tarbawi ia sentiasa kena ingat bahawa tanggungjawab mesti disiapkan pada waktu yang ditetapkan dalam bentuk yang dikehendaki.

Kesimbangan antara dua unsur ini merupakan rahsia kehebatan seorang pemimpin.

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Perjalananku