|

KERIS himpunkan golongan remaja Pulau Pinang

TELUK KUMBAR – Seramai 65 remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun telah menyertai Kem Eksplorasi Remaja Islam (KERIS) pada musim cuti sekolah yang lalu berjaya mengumpulkan golongan remaja daripada pelbagai sekolah sekitar Pulau Pinang. Majoriti daripada peserta pertama kali menyertai program anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Kepala Batas, Pulau Pinang.

Pelbagai aktiviti menarik telah mengisi keseluruhan program perkhemahan ini. Aktiviti seperti Kenali Sahabat Anda, Jalan-jalan Cari Iman, Xplorace dan Misi Dakwah Masyarakat banyak menguji kesabaran peserta yang menjalani semua aktiviti secara berkumpulan.

Para peserta juga diperdengarkan dengan siri kuliah Maghrib dan kuliah Subuh oleh ahli-ahli  AJK KRIM dan ISMA iaitu Mohd Redza Khazale, Mohd Izwan Ishak dan Ustazah Normah Mohammad.

Kemuncak kepada program ini ialah ceramah oleh Pengarah KRIM Kepala Batas, Budiyanto bin Unggun yang memberikan ceramah bertajuk ‘Menelusuri Sejarah’. Ceramah ini menjadi intipati penting dalam KERIS kerana ia menggariskan proses kebangkitan Islam yang perlu dimulakan oleh para remaja.

“Terdapat banyak pengajaran yang perlu kita ambil daripada setiap aktiviti yang dijalankan di sini. Contohnya aktiviti Jalan-jalan Cari Iman, biarpun penat ia sebenarnya menguji nilai persahabatan yang baru kita bina dalam KERIS, ” kata Wafa bt Sarip ketika diminta memberikan pandangannya.

Sementara Muhammad b Abdul Wahab berpendapat, “Inilah kem terbaik yang pernah saya hadiri.”

Tidak ketinggalan dalam memberikan pandangan ialah Mohd Izamuddin, “Saya dan rakan-rakan lain mencadangkan agar masa perkhemahan ini dipanjangkan.”

Setiausaha ISMA Kepala Batas, En Mohd Rozaini b Othman dalam ucapan penutupnya amat mengharapkan agar para remaja ini dapat mengubah kehidupan diri masing-masing ke arah yang lebih baik. Beliau juga menyarankan kepada peserta supaya terus bersama menyertai program-program KRIM pada masa hadapan.

Sumber: Blog KRIM Pulau Pinang