Kebangkitan Tunis jatuhkan Presiden Zainal Abidin
Kebebasan umat diperjuangkan oleh sesebuah umat itu sendiri untuk mendapatkannya, bukan dihadiahkan oleh sesiapa.
Jumaat 14 Januari 2011, setelah 24 tahun ditindas, kebangkitan rakyat Tunis akhirnya melucutkan kuasa Presiden Zainal Abidin b. Ali yang cabut lari bersama ahli keluarganya meninggalkan negara. Setelah Perancis enggan menerima kedatangan beliau, kini beliau dalam buangan di Saudi Arabia. Begitu hina, demikian Allah mempergilirkan manusia. Di satu ketika seseorang dilihat mulia, namun di ketika yang lain, seseorang itu dihambat hina, merempat di mana-mana.
Kita mengajak semua kekuatan di dalam negara Arab dan Islam agar berada di barisan bersama-sama rakyat Tunis dalam berjuang mendapat kembali hak mereka sepenuhnya sebagai umat dan penduduk yang mulia dan bermaruah, setelah sekian lama selama hidup ditekan di bawah pemerintahan kuku besi. Dalam masa yang sama kita berasa kagum dan gembira dengan kemenangan yang diraih rakyat Tunis dalam pusingan pertama mereka berjuang mencapai kebebasan dan kemuliaan setelah sekian lama hidup di bawah pemerintahan yang zalim.
Menjatuhkan diktator mungkin telah sempurna, tetapi membangunkan umat dan negara masih baru bermula.
Sungguh rakyat Tunis berjaya menunjukkan kemampuan mereka dalam mengukir sejarah apabila mereka teguh dan terus menerus bangkit yang akhirnya menyebabkan Zainal Abidin lari meninggalkan negara dengan dia sendiri dibiarkan sebegitu tanpa pertolongan oleh sekutu-sekutunya di dalam mahupun di luar negara. Kini, inilah masanya untuk dunia khususnya negara-negara umat Islam mendengar suara rakyat Tunis yang sebenar yang rata-rata mereka menuntut kebebasan dan demokrasi yang menjamin kestabilan hakiki, pertumbuhan ekonomi yang adil, keamanan yang melata di bawah sistem Islam yang sejati.
Setelah berjayanya kebangkitan ini, hendaklah kita dan khususnya pemimpin negara-negara umat Islam mendengar pandangan dan pendirian dari golongan rakyat Tunis yang ikhlas dan berkelayakan, ini termasuk cendikiawan dan pimpinan gerakan Islam di Tunis seperti Asy-Syeikh Abdul Rashid Ghannushy dan mereka yang seangkatan dengannya. Dunia Islam tidak sepatutnya memberi ruang kepada golongan orang-orang munafik yang ramai kedapatan di bawah naungan sistem lama sebelumnya mahupun yang terkemudian yang cuba memaparkan dengan cantik akan amalan mereka yang jelek. Janganlah pula dunia mendokong golongan sedemikian dalam memusuhi dan menzalimi sekali lagi rakyat Tunis. D isamping itu hendaklah disuburkan budaya perbincangan dan kebebasan, bukan berinteraksi dengan orang lain atau rakyat sendiri dengan kediktatoran yang tidak akan membawa ke mana-mana selain kacau bilau dan huru hara.
Rakyat Perancis (Presiden Sharkozy di kiri) dapat hidup dalam sebuah negara bebas dan demokrasi, namun ia mengajar dan mengarahkan boneka-bonekanya mencengkam rakyat dan menjalankan sistem kuku besi dan diktator (Presiden Zainal Abidin di kanan). Walaupun negara Tunis telah diisytihar “merdeka” beberapa dekad yang lalu, Perancis masih menjajah Tunis secara halus menerusi boneka-bonekanya mencengkam aspek ekonomi, budaya, ketenteraan dan pendidikan. Setelah Zainal Abidin b. Ali jatuh, Tunis akan jatuh ke riba siapa pula? Dapatkah sistem Islam mengisi kekosongan atau pihak lain yang akan merebut peluang?
Kita menyeru rakyat Tunis agar terus menyempurnakan fasa-fasa kebangkitan mereka yang bersejarah ini. Pastikan pimpinan baru mereka nanti terdiri dari golongan yang sangat bertanggungjawab. Pastikan keamanan terus dikecapi dalam negara dan kepentingan penduduk terpelihara. Pastikan juga kemenangan ini tidak diambil kesempatan oleh musuh-musuh Islam dengan meletakkan calon-calon mereka yang bakal memerintah negara selepas kemenangan dari kebangkitan ini. Memang fasa negara yang lalu penuh dengan haru biru dan kejelekan apa yang didakwa Presiden sebagai kononnya “undang-undang” dan “keselamatan”. Oleh itu kita mengharapkan fasa perubahan dan peralihan ini berjalan dengan licin dengan fasa lalu digantikan dengan fasa baru, stabil di bawah naungan perlembagaan yang baik yang menjamin kebebasan, demokrasi, keadilan sosial, kehakiman yang bebas lagi bersih, agar pilihanraya yang bebas daan bersih supaya sebuah parlimen yang bebas dapat dibentuk dan presiden baru dapat dipilih dengan penuh kebebasan.
Kebangkitan seumpama ini menuntut penglibatan dari semua dan segenap pihak dalam masyarakat.
“Katakanlah Allahlah yang memiliki kerajaan. Dia memberi kerajaan kepada siapa yang dikehendakiNya. Dia mencabut kerajaan dari siapa yang dikehendakiNya. Dia memuliakan siapa yang dikehendakiNya. Dia menghina siapa yang dikehendakiNya. DisisiNya kebaikan. Sesungguh Engkau Maha Berkuasa atas tiap sesuatu…” (Al-Quran).
5 tahun saya tinggal di Australia, salah sebuah negara Barat, tidak pernah nampak foto kekal ketua negara di jalan raya. Begitu juga apa yang saya lihat di negara-negara Barat yang lain. Sebaik dipilih rakyat, mereka berfikir untuk berkhidmat sebaik mungkin untuk diserahkan hasil-hasilnya kepada pimpinan berikutnya yang akan dipilih rakyat dalam pilihanraya bebas akan datang. Oleh itu kita lihat di Barat, pimpinan mereka silih berganti dan negara semakin maju. Kekadang boleh dibuat kesimpulan, negara yang meletakkan foto-foto ketua negara di jalanan menunjukkan mereka mahu terus memegang kuasa. Untuk itu mereka menguasai media serta kebebasan berfikir dan memilih rakyatnya. Membantutkan fikiran rakyat akan membantutkan negara dan menguntungkan Kuasa-kuasa Besar Dunia dan musuh-musuh Islam.
Moga Allah SWT menyedarkan umat-umat Islam yang masih lena dan leka, ke arah membebaskan diri mereka dan pemimpin mereka dari kuasa dan pengaruh asing yang lumrahnya memusuhi Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw. Moga Allah memilih kita sebagai pendokong dan pejuang agamaNya demi menyelamatkan umat Islam dan manusia sejagat di dunia, lebih-lebih lagi di Akhirat. Ameen.

Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Naib Presiden I,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku






