|

ISMA tidak tolak demokrasi

Adakah ISMA menolak demokrasi atau anti kepada penglibatan dalam pilihanraya? Kadang-kadang sesetengah tulisan saya atau juga sesetengah pimpinan ISMA yang lain ditanggapi secara salah seakan-akan ISMA menolak penglibatan dalam pilihanraya.

Saya ingin berterus terang kepada semua kerana saya tidak mahu isu ini mengelirukan sesiapa termasuk ahli ISMA sendiri.

ISMA tidak menolak elemen-elemen positif yang wujud dalam demokrasi pilihanraya. ISMA menerima:

  1. pertukaran kuasa secara aman
  2. hak rakyat untuk muhasabah pemerintah
  3. hak rakyat untuk sama-sama menentukan masa depan negara

ISMA menganggap demokrasi pilihanraya adalah hasil penemuan manusia. Islam tidak melarang umatnya mengambil faedah dari pengalaman manusia, seperti sabda Rasulullah s.a.w  “kebijaksanaan itu adalah barang yang hilang dari orang yang beriman… di mana ia menjumpainya, ia lebih berhak terhadapnya”.

Namun ISMA menolak falsafah demokrasi Barat yang menolak peranan Tuhan dalam pemerintahan dan peranan agama dalam kehidupan, yang menyamaratakan antara orang yang beriman dan tidak beriman, yang menganggap semua agama sama menyeru kepada perkara yang betul. Falsafah liberal yang bolos dari setiap ikatan akhlak dan hukum hakam serta  meletakkan kebebasan individu sebagai nilai tertinggi atau rakyat sebagai Tuhan.

Islam ialah yang pertengahan. Yang mahu kita tegakkan ialah kekuasaan Islam. Oleh itu kita bertegas untuk menjadikan Islam sebagai seruan dan penyelesaian.

Kita tidak harus terperangkap dalam seruan demokrasi Barat yang sebenarnya mengingkari agama dan kewujudan Tuhan. Menjadikan agama suatu yang spiritual yang tidak boleh dipertanggungjawabkan. Itu adalah pengalaman Barat yang tidak ada kena mengena dengan masalah masyarakat Islam di Timur.

Sepanjang pemerhatian saya, menyelesaikan masalah dalaman (sesama) umat Islam dengan mengimport formula dan penyelesaian dari luar khususnya Barat tidak pernah membawa keuntungan kepada umat dan negara Islam. Justeru saya menyeru semua pihak agar lebih berhati-hati dalam membuat seruan. Marilah kita selesaikan masalah sesama kita dengan cara kita. Kita ada al-Kitab, kita ada al-Sunnah dan kaya dengan pengalaman yang boleh merawat masalah kita dengan cara kita sendiri.

Kita boleh ambil faedah dari pengalaman Barat tentang demokrasi, kebebasan dan hak rakyat tetapi hendaklah ditegakkan atas asas nilai kita yang tersendiri (nilai tempatan).

Tanah Melayu atau Malaysia sekarang adalah negara umat Islam. Merekalah – atas kehendak agama-  seharusnya memiliki al-siyadah atau ketuanan ke atas tanah warisan ini. Merekalah yang berhak menentukan rupa bentuk dan halatuju masa depan negara seperti yang dituntut oleh agama terhadap mereka. Orang bukan Islam harus menerima hakikat ini kalau mereka ingin menjadi warganegara Malaysia.

Menyerahkan hak atau berkongsi milik, hak menentu dan mewarna rupa bentuk negara dengan orang lain yang tidak seagama atas nama demokrasi dan hak kesamarataan adalah satu pengkhianatan terhadap maruah bangsa dan kemerdekaan negara.

Ketuanan Melayu Islam di Malaysia adalah satu nilai tetap (thawabit) yang harus dihormati oleh semua dalam menjalankan proses demokrasi di negara ini. Mereka harus menghormati kedudukan agama Islam, kedudukan raja-raja Melayu, Bahasa Melayu dan budaya Melayu sebagai budaya kebangsaan serta apa-apa yang termaktub dalam perlembagaan sebagai hak orang Melayu Islam.

Orang bukan Islam boleh terlibat dalam politik dan demokrasi, memperjuangkan hak, menyuarakan pandangan tetapi mereka tidak boleh diberi hak menentu atau dibiarkan memiliki kuasa membuat ketentuan atau mempengaruhi keputusan dalam membuat ketentuan. Kedudukan yang dikatakan istimewa selama ini bukanlah satu benteng yang kukuh, jika dibayangkan segalanya  itu runtuh dan tertegak asas kenegaraan baru atas asas liberal demokrasi Barat.

Menunggang demokrasi Barat seperti seadanya dalam menyelesaikan krisis antara kita adalah satu perjudian terhadap nasib bangsa dan masa depan negara. Justeru ISMA tidak menolak demokrasi yang disejajarkan dengan nilai tempatan, tetapi yang ditolak oleh ISMA ialah demokrasi yang diimport seperti dalam falsafah dan pengalaman Barat.

“MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT”

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Perjalananku

9 Komen untuk entri “ISMA tidak tolak demokrasi”

  1. saha says:

    slogan ‘melayu sepakat islam berdaulat’ amat mengelirukan sekali. slogan anda berbau nasionalis yg tangan mereka ‘jahat’ terhadap gerakan islam.bangsa apa sekalipun tabiat ini sama sahaja. nasionalis hjika bercakap islam sebenarnya hanya perangkap semata. sejarah dunia islam moden adalah saksi semua itu. lihatlah di tunisia,aljeria,indonesia contohnya. adalah malang jamaah yg berfikrah ikhwan berfikiran sedemikian atau sebenarnya kamu saja nak ambil hati pihak tertentu supaya senang kamu bergerak tanpa halangan. namun ingatlah halangan,sekatan dan berbagai masalah adalah tabiat jalan dakwah!

  2. Ramadhan says:

    Perlu ke menyebut ketuanan melayu silam, sedangkan dalam perlembagaan telag termaktub bahawasanya untuk degelar melayu, dia mestilah beragama islam.

  3. omar says:

    Perpecahan umat Islam Malaysia dan kecenderungan mereka untuk meraih sokongan bukan Islam mengakibatkan kedudukan/kedaulatan Islam dan umat Islam Malaysia (yang majoritinya melayu) semakin kabur. Buktinya isu2 Islam seperti penggunaan nama Allah, halangan jualan arak, judi bola dsb akhirnya tidak memihak kpd kepentingan Islam dan umatnya kerana tiada kesepakatan antara umat (tak berniat nak letak kesalahan kpd sapa2 tetapi ini adalah t/jwb bersama seluruh umat Islam Malaysia)

    Suatu usaha perpaduan perlu disegerakan. Setelah idea kesatuan melalui Kerajaan Perpaduan tenggelam dan tidak lagi diperhatikan, gerakan Islam perlu merintis jalan bagaimana menyatukan kembali atau sekurang2nya mencapai kata sepakat dalam perkara2 tertentu khususnya soal kepentingan Islam dan umat.

    Titik persamaan perlu diperhangatkan, titik perbezaan perlu dikesampingkan demi kepentingan Islam dan umat. Umat Islam yang majoriti melayu perlu diberi perhatian lbh khusus (lantaran mrk mempunyai nilai berat (weight) dlm mendaulatkan Islam di Malaysia dari segi perhitungan sebab musabbab manusia. Dari segi ilmu dan iradat Allah itu, hanya Allah yg mengetahui). Di sinilah lahirnya “Melayu sepakat, Islam berdaulat”

    Di dalam fikrah Ikhwan Muslimin sendiri, isu nasionalis mempunyai tempatnya yang tertentu. Gerakan Islam perlu adil (meletakkan sesuatu pada tempatnya yang wajar)

    Jadi tak timbul nak ambik hati atau bodek mana2 pihak.

    Harapnya selepas ini tiada kecenderungan prasangka yg meretakkan hbgan sesama umat yg merugikan Islam

    Melayu sepakat, Islam berdaulat

  4. omar says:

    Yang saya faham ISMA memperkatakan tentang kesepakatan Melayu & kedaulatan Islam (setelah mengambil kira & menimbang pandangan pelbagai pihak). Tiada lagi isu tentang ketuanan Melayu.

    Jika ada juga menyentuh tentang ketuanan Melayu, ia dibicarakan dgn erti ketuanan Islam, atas kefahaman melayu dalam perlembagaan Malaysia mesti beragama Islam.

    Harapnya ini dapat memberi kejelasan

  5. “Melayu Sepakat, Islam Berdaulat”, mana yang kelirunya ye? Kadang-kadang kita yang memeningkan kepala sendiri. Slogan yang ringkas, logik, dan mudah. Kalau slogan macam ni baru la pelik dan keliru: “Melayu Berpecah, Islam Berdaulat”. Kan?

  6. Abu Hasya says:

    Salam

    Allah berfirman, “Yang paling mulia di sisi Allah di kalangan kamu adalah yang paling tinggi nilai taqwanya”. Tidak kira Islam itu melayu,cina, iban atau kadazan sekali pun. Jika seruan ini untuk melayu sahaja, maka rugilah bangsa cina, india,melanau dan lain-lain kerana mereka lahir dalam bangsa masing-masing. maka mereka tidak layak untuk turut serta dalam seruan mendaulatkan islam ini, kerana seruan ini disempitkan untuk melayu sahaja.

    Bukankah Islam untuk semua? Jika tidak, masakan nabi memeterai piagam madinah dengan penduduk madinah yang bukan beragama Islam? Dalam perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai oleh pemimpin-pemimpin Quraysh di Mekah untuk mempertahankan sesiapa yang dizalimi di Mekah atau dirampas haknya, Nabi berkata; “Jika aku diajak untuk turut sama menyertai persepakatan serupa, nescaya aku akan menyertainya. Ia lebih aku suka dari unta merah” (al-Ahkam al-Sultaniyah, Imam al-Mawardi). Perhatikan, bagaimana Rasulullah berhasrat menyertai persepakatan yang baginda sendiri tahu bahawa mereka yang terlibat semuanya bukan Islam. Namun oleh kerana isi persepakatan itu sama dengan apa yang dituntut oleh Islam iaitulah keadilan untuk manusia, maka baginda menyokongnya.

    Kerjasama yang diharamkan adalah kerjasama yang merugikan umat Islam dan kaum muslimin, seperti menegakkan sistem sekular, nasionalis,memerangi umat islam sendiri (seperti pemimpin arab bersekongkol dengan Amerika untuk menyerang Iraq), menolak Syariat Allah atau mengambil pendekatan yang bercanggah dengan Syariat, menafikan hak kaum muslimin kerana lebih mengutamakan persepakatan dengan orang bukan Islam dan sebagainya lagi yang merugikan Islam dan umat Islam.

    Di Madinah, Rasulullah diberi wahyu oleh Allah, siapa yang mukmin, siapa yang munafiq. Jika mahu, baginda boleh sahaja mengusir orang-orang munafiq dan Yahudi dari tanah Madinah. tetapi baginda membiarkan mereka hidup bersama muslimin yang lain kerena baginda mahu menyampaikan mesej, itu adalah realiti kehidupan. mereka bukan hidup di alam idealistik yang mana tarbiyah hanya boleh diberi kepada orang-orang tertentu sahaja. Islam untuk semua UMAT MANUSIA. “Tidak Kami utuskan engkau melainkan sebagai pembawa rahmat sekalian alam”.

    Siapakah Abu Jahal dan Abu Lahab? Bukankah mereka sebangsa dan sebahasa dengan nabi? Bahkan merekalah pemimpin yang disegani ketika itu. Mengapa Rasulullah tidak bersatu dengan mereka untuk menegakkan Islam di kota mekah? Siapa pula Bilal Bin Rabah dan Salman Al Farisi? Mengapa pula Rasulullah bersatu dengan mereka?Tidakkah kita mengambil ibrah dari sejarah?

    Yang menentukan kesatuan kita adalah Islam. Jika bapa kita sekali pun menentang Islam, maka kita tidak boleh bersekongkol dengannya.

    Dalam konteks Malaysia, belajarlah daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam mendaulatkan Islam menurut neraca negara kita yang tercinta ini. sejarah telah membuktikan betapa penyatuan dengan orang-orang yang tidak cintakan Islam, sekali pun mereka sebangsa dan sewarna dengan kita, telah menyebabkan musibah yang besar kepada perjuangan mendaulatkan Islam itu sendiri.

    Apakah kita masih mahu mengulangi sejarah yang sama?

    Tepuk dada, tanya IMAN.

    “MUSLIM SEPAKAT ISLAM BERDAULAT”

  7. Omar says:

    Abu Hasya,
    Dakwah di Malaysia turut memerlukan “Abu Tolib”-”Abu Tolib” melayu selain daripada “Abu Bakar & Khadijah” melayu.

    Tak ramai “Abu Jahal” & “Abu Lahab” di Malaysia krn mrk akan terkeluar drp arus perdana.

    Golongan2 yg terang2 mencabar Islam atau imejnya dianggap mencabar Islam tdk mndpt tmpt khususnya kalangan majoriti umat Islam Malaysia. Lihatlah kpd gerakan anti hadis, SIS, Astora Jabat dll..

    (Pohon maaf, mungkin boleh buat post mortem apakah kesan pakatan gerakan Islam, PAS dgn parti sosialis DAP kpd sokongan undi melayu muslim kpd PAS yg dilihat semakin merosot akhir2 ini & kesan kpd imej PAS kalangan umat islam awam di Malaysia).

    Yg mungkin ramai ialah “Abdullah bin Ubai” melayu (yg pandai bermuka2). Maka gerakan Islam Malaysia perlu bijaksana sbgmana bijaksananya Rasulullah berurusan dgn Abdullah bin Ubai & konconya di Madinah.

    Yg mungkin ramai juga ialah “Yahudi” Malaysia (yg menaruh hasrat & menunggu2 peluang menguasai negara ini & melemahkan kedudukan Islam & umatnya di Malaysia). Maka gerakan Islam juga perlu bijaksana sbgmana bijaksana Rasulullah berurusan dgn Yahudi Madinah.

    Mudah2an kita dpt mengambil pengajaran drp keprihatinan umat Malaysia (bahkan dunia) kpd isu Palestin khususnya setlh kejadian Mavi Marmara (mrk bersepakat tanpa melihat agama, aliran & ideologi mrk). Tdkkah umat Islam Palestin mendpt manfaat drp kesepakatan majoriti umat Islam bahkan dunia ini?

    Apakah pula yg menghalang kesepakatan majoriti melayu muslim utk sedkt sebyk membantu mendaulatkan Islam?
    Wallahua’lam

  8. ammar says:

    omar: minta maaf, tapi saya rasa kenyataan anda agak kelakar

    “Tak ramai “Abu Jahal” & “Abu Lahab” di Malaysia krn mrk akan terkeluar drp arus perdana.
    Golongan2 yg terang2 mencabar Islam atau imejnya dianggap mencabar Islam tdk mndpt tmpt khususnya kalangan majoriti umat Islam Malaysia. Lihatlah kpd gerakan anti hadis, SIS, Astora Jabat dll..”

    jadi,apakah pandangan anda tentang MELAYU ISLAM yang terang-terangan mengatakan dunia lebih aman dengan kematian Osama bin Laden, secara terang-terangan menyatakan hasrat menjadikan Malaysia hab hiburan, dan menyatakan pendirian tentang ketidak setujuan mereka dengan orang2 yang berdemonstrasi untuk menjatuhkan Hosni Mubarak dan pemimpin2 negara arab lain yg zalim??adakah pendapat anda golongan2 yg terang-terangan menentang Islam adalah golongan2 yang anda nyatakan tadi itu shj?bukankah abu jahal dan abu lahab itu arab juga sebagaimana Rasulullah s.a.w?

  9. Ummu Umar says:

    bismillah…

    kita semua sedang berusaha ke arah penyatuan ummat Islam. makruf melayu disinonimkan dengan Islam.kalau tak bermula dengan melayu siapa lagi yg nk kita mulakan? kaum cina,india, kadazan…dan lain2 tu kalau kita lihat ramai yang bersungguh2 dalam Islam.siapa kata megetepikan mereka?hanya satu skop shjkah anda mengenal ISMA?
    melayu yg dah sememangnya dilahirkan Islam, ramai yg tak tentu arah. sampaikan daie melayu bila nk keluar bdakwah kepada org bkn melayu,ada segelintir orang bukan melayu kata “tgk melayu semua pun teruk macam mana saya mau ikut..itu orang islamkah?”. maka kembalikanlah jati diri. itu yg rasulullah buat..

    kesepakatan dengan orang bkn Islam memanglah tidak ditegah. tetapi jangan sampai apa yg kita perjuangkan sekian lama akhirnya diketepikan dengan mudah oleh orang bkn Islam hanya kerana mahukan kesepakatan dengan mereka. nk mencapai sesuatu xperlu isti’jal. perbaiki ikut tahap bukankah itu sunnatullah.. kita ada prinsip sendiri.ptahankan jgn dileburkan.

    biarlah Allah yang melihat apa yang kita semua dah buat untuk Islam dan setakat mana usaha kita.bukan sibuk mempersendakan atau memperkatakan tentang ijtihad orang lain…sudahkah dikaji dan minta bantuan ALLAH(qiam,solat hajat dan sbgainya) untuk menolaknya?kalau blm..hati2lah dalam berbicara.jangan biarkan kalam kita bercampur dengan nafsu durjana dan ketidakpuasan hati maka kita menolak ijtihad orang lain.

    wallahu a’lam.