|

ISMA Mesir meriahkan Majlis Sambutan Tahun Baru anjuran Ikatan Alumni Al-Azhar Sedunia

KAHERAH “Ilmu mendahului setiap perkara” begitulah nasihat Dr Abdullah Husaini, Presiden Universiti Al-Azhar, dalam satu ucapannya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Tahun Baru 1432H  baru-baru ini. Majlis anjuran Ikatan Alumni Al-Azhar Sedunia itu telah dihadiri oleh beberapa tokoh ulama’ terkemuka di Mesir seperti Syeikh Usamah Al-Azhari, Dr Jamil Faruq, Dr Ibrahim Kattani, dan Dr. Abdullah Omar Kamil. Turut memeriahkan majlis, kehadiran dekan-dekan bagi setiap fakulti di Universiti Al-Azhar serta delegasi kedutaan Malaysia dan Indonesia.

Majlis yang berlangsung di Dewan Al-Azhar Conference Center (ACC) telah dihadiri lebih 2000 orang hadirin dari pelbagai negara termasuk Malaysia dan Indonesia. Antara lain tujuan sambutan ini dianjurkan adalah untuk meraikan pelajar-pelajar luar negara yang menuntut di Universiti Al-Azhar. Pastinya mereka tidak terlepas mahu mengutip mutiara-mutiara nasihat dan semangat menuntut ilmu yang disampaikan oleh tokoh-tokoh ulama’ dalam ucapan-ucapan mereka.

Turut berucap, Dr Abdullah Husaini, Presiden Universiti Al-Azhar dalam kenyataannya beliau menyifatkan bahawa ‘manhaj wasatiyah’ yang digunapakai oleh universiti tertua itu merupakan sistem terbaik bagi subjek-subjek pengajian Islam dan pengkhususannya.

Sebagai tanda hormat, pihak penganjur menyediakan ruang bagi para pelajar mengetengahkan bakatnya justeru menunjukkan kebolehan mereka di hadapan tokoh-tokoh Ulama’ Al-Azhar.  Ikatan Muslimin Malaysia(ISMA-Mesir) turut mendapat jemputan khas bagi menghadiri dan mengadakan persembahan pada malam tersebut. Delegasi ISMA-Mesir terdiri daripada Ustaz Salman Al-Farisi bin Selamat, Ustaz Qamarul Naim Mohd Faizal, Ustaz Izzuddin bin Selamat dan kumpulan nasyid rasmi ISMA-Mesir, Fetya. Kumpulan Fetya terdiri daripada 8 orang ahli diketuai oleh Saudara Muawwidz Al-Ansori. Turut membuat persembahan pada malam itu ialah kumpulan dari Bangladesh, Indonesia dan kumpulan nasyid dari Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Al-Wadi.

Pihak penganjur memuji penyertaan ISMA-Mesir dalam majlis ini terutama persembahan nasyid oleh kumpulan Fetya dan berhasrat untuk meneruskan kerjasama dalam menjayakan program-program seumpama ini pada masa akan datang.

Sumber: Laman Web ISMA Mesir