|

AKAL ajak mahasiswi fahami sejarah jatuh bangun ummah

HAYYU ASYIR Biro Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Mesir telah menganjurkan program bertemakan sejarah yang diberi nama Adakah Kau Lupa? (AKAL) yang mengajak peserta mengimbau kembali sejarah umat terdahulu dan mengambil iktibar daripadanya. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memberi kesedaran akan pentingnya tarbiyyah sebagai satu jalan untuk mengembalikan kegemilangan ummah ini.

Seramai 106 orang peserta telah hadir rata-ratanya datang dari pelbagai bidang di beberapa buah universiti di Mesir, antaranya ialah mahasiswi dari Universiti Tanta, Universiti Al-Azhar, Universiti Ain Shams dan juga Universiti Kaherah.

Sepanjang program, sebanyak empat slot telah dibentangkan. Slot pertama yang dibentangkan oleh Saudari Khairah Abdul Halim adalah mengenai hakikat kehidupan manusia juga mendedahkan realiti umat masa kini.

Slot yang kedua mengenai sejarah jatuh bangun tamadun Islam, juga tokoh-tokoh yang telah mengukir nama mereka di persada sejarah Islam telah dibentangkan oleh saudari Nur Khadijah Mohd Jamil. Program diteruskan dengan slot ketiga selepas para peserta berehat untuk menunaikan solat dan makan.

Slot ketiga membongkar sejarah kegemilangan Melayu ketika mereka berpegang kuat dengan Islam dan juga beberapa penipuan yang telah dilakukan oleh penjajah dalam sejarah Melayu. Antara persoalan menarik dalam slot ketiga yang disampaikan oleh saudari Zetty Sofea Mohd Zanib ialah “Mengapa Melayu dalam Perjuangan Islam?”

Resolusi dibuat dalam slot yang keempat. Semua peserta bersedia untuk sentiasa melazimi perkara-perkara yang telah disepakati bersama. Seorang peserta, mahasiswi dari Universiti Ain Shams berpendapat, AKAL telah menjelaskan lagi apa tindakan yang perlu kita lakukan sekarang serta kita menginsafi umat Islam berada di tahap mana dalam perjuangan menegakkan Islam. “Isu Ketuanan Melayu lebih jelas dalam usaha untuk mengembalikan Islam,” tambah beliau.

Sumber: Laman Web ISMA Mesir