|

Wanita Islam perlu fahami Islam yang syumul dalam mempertahankan hak

SHAH ALAM, 14 Disember – Mengetahui sejarah sebenar kedudukan wanita dalam Islam adalah perlu bagi setiap wanita muslim supaya tidak mudah dipengaruhi oleh budaya dan slogan barat. Begitulah harapan dan seruan daripada Ustazah Norsaleha Mohd Salleh, Ketua Wanita ISMA, ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk ‘Hak-Hak Wanita Islam di Zaman Rasulullah SAW’ dalam Seminar Islam dan Hak-Hak Wanita anjuran Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Kerajaan Negeri Selangor bersama Persatuan Ulama’ Malaysia di sini.

Beliau juga mengingatkan kepada seluruh kaum wanita Islam supaya bangkit dan kembali kepada Islam serta mempunyai kefahaman Islam yang syumul dalam menghadapi cabaran dan ancaman pada masa kini. Antaranya ialah fahaman humanisme, iaitu gagasan yang menolak agama dan  berpaling daripada Tuhan yang mencipta serta menggalakkan sifat pentingkan diri sendiri. Ini akan menyebabkan umat Islam terpisah daripada intima’ bangsanya dengan meletakkan kehendak manusia sebagai matlamat tanpa melihat kepada tuntutan agama.

Menurut beliau lagi, satu fenomena yang memperjuangkan kebebasan manusia daripada sebarang keterikatan dengan ideologi dan agama juga merupakan ancaman bagi wanita pada zaman ini. Fenomena ini dinamakan ‘Pasca Moden’ yang mana akan melahirkan kaum minoriti, golongan songsang dan terpinggir seperti golongan gay yang berani menuntut kesamarataan hak.

Selain itu, cabaran globalisasi juga merupakan satu bentuk ancaman yang mencabul kedaulatan sesebuah negara atau bangsa samada dari segi bahasa, budaya, tanah air, undang-undang dan agama yang mana mengakibatkan masyarakat Islam hanyut  di dalam kehendak diri sendiri tanpa batasan agama dan akhlak. Inilah yang dialami oleh masyarakat Melayu kita sekarang yang mana hilangnya identiti kemelayuan dan ketimuran yang menyebabkan bangsa kita menjadi bangsa pengikut dan tunduk kepada agenda pihak lain.

Jika kita selusuri sejarah di zaman Rasulullah SAW, wanita diberi peluang untuk bersuara dalam segala hal. Ini jelas menunjukkan bahawa wanita mempunyai hak untuk bersuara tetapi mestilah mengikut syariat yang telah ditetapkan Allah SWT. Walaubagaimanapun, wanita Islam kini tidak berani untuk bersuara dalam mempertahankan hak mereka, malahan berlapang dada dengan perkara yang bertentangan dengan syariat Islam tanpa membuat penilaian yang sepatutnya.

Oleh itu, sebagai seorang wanita yang sedar akan tanggungjawab besar ini dalam menegakkan hak wanita Islam, kita semua wajib memahami Islam yang sebenarnya supaya dapat mempertahankan apa yang telah digariskan dalam Islam.

Oleh: Noor Kamaliah Shahariah
Wartawan Media ISMA