Majlis Sambutan Aidil Adha 1431 ISMA-Mesir meriah
MADINAH NASR, 16 November - Majlis Sambutan Aidil Adha ISMA-Mesir yang bertemakan, “Tadhiyyah Tahqiq Taqwa” berjalan dengan jayanya di Hayy Asyir, Madinah Nasr.
Majlis yang bermula dengan aktiviti sembelihan dan melapah pada sekitar jam 8.00 pagi telah disempurnakan hasil gotong-royong mahasiswa-mahasiswa yang hadir pada pagi tersebut. Sebanyak tiga ekor lembu dan tujuh ekor kharuf berjaya ditumbangkan. Aktiviti ini berlangsung di perkarangan Rumah Sarawak.
Selain aktiviti sembelihan dan melapah, turut diadakan jamuan makan yang berlangsung sekitar jam 2.00 petang yang dihadiri oleh mahasiswa-mahasiswi Malaysia dari pelbagai kuliah. Majlis berlangsung di dua tempat iaitu di Griya Jawa Tengah bagi mahasiswa dan Griya Jawa Barat bagi mahasiswi.
“Taqwa adalah asas bagi seorang mukmin untuk melalui kehidupan di atas muka bumi ini. Kita mungkin jemu kerana sering diingatkan oleh khatib tentang taqwa. Tetapi persoalannya sekarang ini adalah bagaimana kita berusaha secara praktikal untuk kita melaksanakan taqwa pada diri kita. Apa langkah yang telah kita lakukan? Apa strategi yang telah kita gariskan? Sebagaimana kita rancang untuk belajar, peperiksaan, persediaan pulang ke Malaysia dan sebagainya. Bagaimana pula perancangan kita untuk mencapai sebenar-benar taqwa sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Kita lihat bagaimana taqwa Rasulullah SAW dalam sirah baginda, bagaimana taqwa para sahabat dan bagaimana taqwa para salafuna as-soleh? Kerana persoalan taqwa akan menyelamatkan kita dari azab api neraka.
Jadi, persoalannya, bagaimanakah kita merealisasikan taqwa? Sesuai dengan tema kita – Tadhiyyah Tahqiq Taqwa.” Demikian bicara Ustaz Shuhaib Ar-rumy, Pengerusi ISMA-Mesir dalam ucapan alu-aluan beliau ketika jamuan berlangsung.
Selain jamuan, hadirin turut dihidangkan dengan tayangan filem pendek berjudul “Korban” arahan Saudara Hazim Azhar dan persembahan nasyid kumpulan FETYA.
Sumber: Laman Web ISMA Mesir


