ISMA Australia raikan para graduan di Majlis Apresiasi 2010
CLAYTON, 8 Disember – “Berbekalkan Ijazah, Menjunjung Risalah”, itulah tema Majlis Apresiasi Graduan 2010 yang julung-julung kalinya diadakan oleh ISMA-Australia cawangan Victoria (ISMA-Vic). Majlis makan malam ini dianjurkan bagi meraikan kejayaan para graduan yang berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2010, meraikan sumbangan para ibu bapa di atas kejayaan para graduan dan juga untuk menyatakan penghargaan kepada semua ahli ISMA-Vic yang bersama ISMA-Vic untuk membawa dan menjayakan misi dan visi ISMA-Australia.
“Kami ingin menuntun dan memimpin para pelajar di luar negara ini untuk menghadapi cabaran pelajar luar negara dengan baik. Dengan cara apa? Dengan membina kembali keperibadian muslim yang sejati. We summarise these as the 10 golden rules of a highly effective muslim”, kata Pengerusi ISMA-Vic, Dr Mohd Ihsanuddin Abas dalam ucapan beliau.
“Untuk menjadi manusia yang hebat, tidak memadai seseorang itu mempunyai IQ (intelligence quotient), EQ (emotional quotient) dan SQ (spiritual quotient) yang baik, tetapi dia juga memerlukan QQ (Quranic quotient). Buktinya dapat kita lihat dalam sirah di mana Baginda Nabi Muhammad SAW berjaya memimpin masyarakat muslim pada masa itu sehingga mereka berjaya menyebarkan Islam ke seluruh dunia”, ujar beliau lagi.
“Bersama ISMA saya juga saya dapat belajar bagaimana saya dapat berbakti kepada tanah air, bangsa dan juga agama”, kata saudara Mohd Farhan Abd Latep dalam ucapan beliau sebagai wakil siswa. Majlis turut menampilkan saudari Sharifah Lina Mastura Syed Hamdan sebagai wakil siswi untuk menyampaikan ucapan.
Majlis tersebut meraikan 30 graduan bersama keluarga mereka menjadikan jumlah para tetamu mencapai 150 orang. Majlis berlangsung dari jam 6 petang dan berakhir pada jam 8.30 malam. Majlis bermula dengan perarakan dan penyampaian penghargaan kepada para graduan, diikuti dengan ucapan Pengerusi ISMA-Vic dan wakil siswa dan siswi, makan malam dan diakhiri dengan sesi fotografi.
Sumber: Laman Web ISMA Australia



Tahniah Isma Victoria, selamat datang ke Medan Perjuangan, semoga tabah