|

Kempen Kesihatan dan Derma Darah kelolaan I-Medik Sabah dapat sambutan baik

KOTA KINABALU – I-Medik Sabah telah mengadakan Kempen Kesihatan dan Derma Darah bertemakan “Tubuh Badan Sihat, Amal Mantap” sempena Hari Konvokesyen Hadanah Center di Dewan Saadah, Wisma MUIS di sini.

Kempen Kesihatan ini telah diketuai oleh Dr. Mohamed Hatta Tarmizi, Pakar Perunding  Obstetrics dan Ginekologi  dan dibantu oleh seramai 6 orang sukarelawan  yang terdiri daripada pelajar Perubatan dan pelajar Sains Pemakanan Universiti Malaysia Sabah. Kempen derma darah pula telah diadakan dengan kerjasama Blood Bank Unit Hospital Queen Elizabeth.

Majlis konvokesyen ini telah dirasmikan oleh YB Datin Lenny Natasha, Penaung Hadanah Center Sdn Bhd, yang ditemani oleh suami beliau, YB Datuk Hj. Ariffin. Kaunter I-Medik Sabah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para pengunjung majlis tersebut yang kebanyakannya terdiri daripada golongan ibu bapa pelajar Hadanah Center.

Antara perkhidmatan yang telah disediakan adalah pemeriksaan Indeks Jisim Badan ( ]Body Mass Index), Tekanan Darah serta khidmat nasihat amalan kesihatan yang sihat. Kempen ini telah memberikan peluang kepada pelajar perubatan mempraktik serta menyumbang ilmu mereka demi membina masyarakat yang sihat.

Program ini juga menjadi wadah untuk memperkenalkan I-Medik Sabah kepada masyarakat di negeri ini. Diharapkan I-Medik Sabah akan menjadi sebuah badan medikal yang professional dalam  melaksanakan program kesihatan yang Islamik dengan lebih baik dan mantap, bagi mengajak masyarakat untuk mengingati Allah swt serta pemberianNya yang tidak terhingga terutamanya KESIHATAN YANG BAIK.