Kem Pemantapan Sahsiah beri pelajar SMK Seksyen 27 inspirasi baru
SHAH ALAM, 10 November – Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Shah Alam & Klang mengorak langkah ke SMK Seksyen 27, Shah Alam bekerjasama dengan pihak sekolah mengendalikan Kem Pemantapan Sahsiah 2010.
Program yang julung-julung kali diadakan ini memenuhi aspirasi usaha KRIM dalam merealisasikan agenda melahirkan remaja yang bermotivasi dan beriltizam dalam membina jati diri remaja yang hebat.
Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Puan Rozilah bt Damiri, kaunselor di Unit Kaunseling dan Kerjaya Sekolah serta ucapan dan pengenalan ringkas KRIM oleh Pemangku Pengarah KRIM Shah Alam & Klang, Ustaz Rizal b Sabran.
Pelbagai aktiviti yang dikendalikan oleh barisan fasilitator daripada ahli penggerak aktif KRIM bersama-sama dengan peserta seperti aktiviti suai kenal, latihan dalam kumpulan (LDK), pembentangan ilmiah dan bermacam lagi.
Slot kemuncak bagi program kali ini dikendalikan oleh Pengarah KRIM Pusat, Cikgu Asmadi Samad melalui slot ‘Selamat Tinggal Jahiliyyah’.
Menurut Cikgu Asmadi, “Slot ini sebenarnya telah menyemarakkan lagi semangat para peserta unutk mengetahui lebih lanjut lagi anasir-anasir jahiliyyah yang membelenggu remaja kini.
Selain itu, ia seterusnya membuka ruang pemikiran para pelajar dan memberi anjakan paradigma yang baru kepada iltizam mereka yang sebelum ini goyah dan kurang diberi perhatian”, ujar beliau lagi.
Kem Pemantapan Sahsiah 2010 kali ini ditutup secara rasmi oleh Tuan Haji Baharudin b. Hassan selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar SMK Seksyen 27.
Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada KRIM yang sudi bekerjasama melaksanakan program seumpama ini di samping mendedahkan kepada para pelajar peri pentingnya sahsiah peribadi muslim dan perlu diamalkan oleh setiap mereka.
Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil dan cenderahati kepada pihak penganjur dan para peserta.
Sumber: Laman Web ISMA Shah Alam & Klang


