ISMA US-Canada erat kerjasama dengan MASA
NEW JERSEY, 24 November – Satu detik bersejarah telah dilakarkan buat ISMA United States & Canada menerusi pertemuan antara pihak ISMA dan Malaysian Students Association (MASA) yang telah berlangsung di Stevens Institute of Technology ini
ISMA diwakili oleh Prof Dr Badrulhisham bin Abdul Aziz, AJK ISMA Pahang merangkap Anggota Majlis Syura ISMA. Beliau juga merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademi dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Pahang. Turut bersamanya ialah beberapa orang ahli ISMA US-Canada. MASA pula diwakili oleh Pengerusi dan beberapa ahli tertingginya.
Pertemuan yang berlangsung banyak membuka mata kedua-dua pihak mengenai isu-isu yang diperbincangkan. Antaranya isu kepentingan memartabatkan jatidiri terutamanya bangsa Melayu, peranan pemuda dalam mengembalikan kegemilangan Islam dan kepentingan penyatuan umat melayu Islam itu sendiri bagi mengembalikan kekuatan Islam di Malaysia. Sepanjang sesi ini, banyak soaljawab telah berlangsung antara kedua pihak dalam menyuarakan pendapat dan harapan masing-masing.
Di akhir pertemuan, Prof Dr Badrulhisham menyatakan hasrat beliau untuk mengadakan pertemuan seperti ini lagi di lain masa. Mudah-mudahan pertemuan peringkat pertama ini tidak terhenti di sini sahaja, sebaliknya menjadi pencetus kepada perkembangan dakwah Islamiyyah di Amerika Syarikat dan Kanada secara khusus kepada komuniti Melayu Muslim di sini.


