|

ISMA Melaka sumbang 2 ekor lembu kepada penduduk Taman Angkasa Nuri dan Kolej Matrikulasi

MELAKA, 20 November – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka buat pertama kalinya berjaya melaksanakan Program Ibadah Qurban di dua lokasi yang berlainan iaitu Kolej Matrikulasi Melaka, Londang dan Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal.

Program korban pertama ini telah diadakan pada 18 November 2010 bersamaan 11 Zulhijjah 1431 di Kolej Matrikulasi Melaka. Ahli-ahli ISMA Melaka menyumbangkan seeker lembu bagi menjayakan majlis tersebut. Majlis bermula dengan penyembelihan lembu korban pada sebelah siang dan diikuti dengan ceramah bertajuk “pengorbanan” pada malamnya yang disampaikan oleh Mejar Ustaz Sukri Bin Yahya, ahli ISMA Melaka. Seramai hampir 2000 pelajar dan staf hadir bagi meraikan majlis. Turut hadir ialah YDP ISMA Melaka, Ustaz Ahmad Zainal Abidin dan Ustaz Hishamuddin b Soleh, pensyarah kolej matrikulasi.

Majlis korban yang kedua pula telah diadakan di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal pada 20 November 2010. ISMA Melaka turut menyumbangkan seekor lagi lembu untuk majlis ini. Majlis telah  bermula kira-kira pukul 8 pagi dan berakhir selepas Zuhur. Kira-kira 50 orang petugas yang terdiri daripada Ahli ISMA Melaka, Ahli PEMBINA Melaka serta penduduk taman bertugas bagi menjayakan majlis korban ini. Para petugas telah  bergotong-royong dan bekerjasama bermula dari proses penyembelihan, melapah, memotong dan menimbang daging lembu untuk agihan.

Menurut YDP ISMA Melaka, Ustaz Ahmad Bin Zainal Abidin, program seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dengan bilangan lembu korban akan ditingkatkan lagi. Menurutnya lagi, masyarakat amat menghargai sumbangan yang telah dibuat oleh ISMA Melaka dan mengharapkan semua ahli ISMA Melaka bersedia untuk memberi sumbangan dan berkhidmat kepada masyarakat. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua ahli yang telah menjayakan program ini.