ISMA Ireland tanam kesedaran berkaitan Islam dan makna jahiliyyah
DUBLIN – “Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa Jahiliyyah, terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham”. Hadis sahih riwayat Imam Bukhari ini menjadi pembuka kata program Sayonara Jahiliyyah yang julung kali diadakan oleh ISMA Ireland.
Bertempat di Royal College of Surgeon Ireland (RCSI), majlis yang membawa tema ‘3E’ iaitu ‘Explore, Endeavour & Exterminate’ ini menerima penyertaan seramai 20 pelajar dari seluruh Ireland termasuklah dari Cork dan Galway yang sanggup bermusafir bagi mengisi secangkir hati dengan kalam kesedaran berkaitan Islam dan makna jahiliyyah.
Penyampai, saudara Khair Razlan Othman, daripada Biro Pembangunan Modal Insan ISMA Eropah yang juga penuntut Oxford University membuka tirai program dengan penerangan tentang graf ketamadunan Islam dari zaman Rasulullah hingga sekarang, bertepatan dengan tema ‘explore’. Ekoran itu, peserta sebulat suara bersetuju menyatakan bahawa era moden kini tidak salah untuk disamakan dengan zaman awal kenabian di Mekah berdasarkan kepada beberapa hujah yang dibincangkan bersama.
Melalui gaya penggarapan yang jelas, bertenaga dan interaktif oleh penyampai, para peserta kelihatan begitu fokus dan bersemangat mendengar intipati yang disampaikan. Ini dapat diperhatikan daripada respon aktif mereka kepada hampir setiap soalan yang diajukan oleh saudara Khair Razlan, menjadikan perbincangan lebih jelas.
Apa yang lebih menarik, suasana bertambah hangat di pertengahan program apabila persoalan berkaitan Dakwah dan Belajar dilontarkan. Oleh yang demikian, ramailah peserta yang bangkit mempertahankan hujah masing-masing mengenai perkara mana yang dianggap lebih penting. Namun, setelah beberapa ketika berdiskusi, semua peserta akhirnya mengangkat dakwah sebagai yang utama, tanpa menafikan hak kecemerlangan dalam pelajaran.
“Apabila dakwah diutamakan, maka ia akan memacu kita untuk turut cemerlang dalam hal dan bidang lain”, ujar saudara Khair Razlan.
Selepas itu, peserta turut diuji daya kreativiti apabila diminta untuk melukis pelan tertentu menurut pandangan Islam. Contohnya, sekolah muslim, rumah muslim, taman rekreasi yang bertemakan Islam dan lain-lain. Aktiviti ini secara tidak langsung membantu para peserta menyedari hakikat tentang Jahiliyyah moden yang perlu dihapuskan dan kesyumulan Islam yang sepatutnya diterapkan.
Program Sayonara Jahiliyyah akhirnya melabuhkan tirai dengan satu analogi kicap dan air, di mana penyampai menggambarkan bahawa kicap itu ibarat maksiat yang dilakukan, manakala hati diibaratkan seperti air jernih di dalam gelas. Dengan bertambahnya kicap, maka semakin hitamlah air itu, sama seperti bila mana meningkatnya maksiat, maka bertambah gelaplah hati kita.
Sumber: Laman Web ISMA Eropah


