Tazkirah di Mina – satu perkongsian
Labbaikkallahumma labbaik… Labbaikalasyarikala kalabbaik… Innalhamda wanni’mata lakawalmulk lasyarikalak…
“HambaMu datang menyahut panggilanMu, Ya Allah, hambaMu datang menyahut panggilanMu. Tuhan yang tidak ada sekutu bagiMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan perintah adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu.”
Musim haji telah bermula. Melihat rakan dan saudara mara membuat persiapan untuk menjadi tetamu Allah s.w.t, segala memori lama kembali menjelma. Hati dibalut kerinduan yang teramat. Terasa seolah-olah baru semalam pulang menunaikan haji walaupun setahun telah berlalu.
Segala kenangan ketika berada di bumi Makkah Al Mukarramah dan Madinah Al Munauwarah tergambar jelas dalam ingatan. Sesekali hati terasa menusuk mengingatkan jejak-jejak Rasulullah yang pernah dilawati. Air mata keinsafan mengalir mengenangkan kegigihan baginda s.a.w dan para sahabat berdakwah menyampaikan risalahNya kepada umat manusia. Terasa kagum dan besarnya jasa baginda s.a.w dan para sahabat terhadap diri ini.
Semasa berada di Mina, keindahan cinta makhluk kepada PenciptaNya terpampang di depan mata. Berduyun-duyun manusia tidak kira muda atau tua, sakit atau bertenaga sama-sama berusaha mencari keredhaan Allah s.w.t. Terngiang-ngiang suara talbiah di telinga ketika berjalan kaki dari Maktab 86 melalui terowong Muassem dan seterusnya laluan untuk ke ruang jamrah. Suasana awal pagi (lebih kurang jam 3.30pagi) menambah kesyahduan di hati berselang-seli suara talbiah… hambaMu datang ya Allah…. Bagi yang biasa berkereta semasa di Malaysia, tentunya laluan ini menjadi cabaran. Hati menjadi bersemangat ketika melihat orang tua yang memakai tongkat begitu bersahaja menapak dengan gigih.
Sambil bertalbiah, hati teringat tazkirah yang diberikan oleh Ustaz Abdul Halim, pembimbing haji kami. “Di Mina, Nabi gigih berdakwah. Nabi masuk dari satu khemah ke satu khemah menyeru pada Islam. Semua tidak menerima seruannya. Mereka tidak menerima kerana setelah Nabi keluar dari khemah tersebut, masuklah Abu Jahal dan Abu Lahab mengatakan jangan percaya cakap Muhammad. Abu Lahab dan Abu Jahal adalah pembesar Quraiysh. Oleh itu cakapnya lebih dipercayai.”
Tergambar bagaimana penatnya nabi masuk khemah menyampaikan seruan bermula masuk Mina sehingga ke sempadan Mina. Bagi yang pernah mengerjakan haji tentu dapat membayangkan begitu jauhnya laluan yang ditempuhi Nabi. Segala penat lelah nabi tidak berhasil kerana diikuti usaha Abu Lahab dan Abu Jahal. Bagi kita dalam dakwah fardhi, apabila mad’u kita tidak menyahut seruan kita, terasa sedih di hati. Terasa seolah-olah kita tidak layak dan mampu melaksanakan tugas daie. Kisah ini cukup menjadi pengajaran untuk menjadi seorang yang gigih.
Pada tahun haji berikutnya, mereka datang 12 orang wakil menceritakan perkembangan penerimaan Islam di Madinah. Sifat orang Arab, dapat sesuatu yang baik, apabila balik ke tempat mereka, mereka sebarkan pada masyarakat. Pengajarannya, adakah kita dapat sesuatu yang baik, kita sebarkan pada ahli keluarga dan masyarakat kita? Kalau masing-masing berperanan menegur, keburukan yang berlaku akan berkurang dan akhirnya tidak berlaku. Jika dalam bas nampak couple duduk, tanya adakah mereka adik-beradik atau suami isteri? Kalau bukan, tukarkan tempat duduk mereka. Jika ini berlaku di mana-mana maka lama-kelamaan tidak ada orang yang bukan mahram berdua-duan.
Peranan ini sama seperti golongan Ansar di Mina (6 orang di Aqabah). Proaktif. Asas negara ialah ilmu dan iman. Rasulullah hantar Mus’ab bin Umair ke Madinah untuk mengajar tentang Islam. Peranan yang dimainkan oleh Mus’ab bin Umair diumpamakan sebagai mewujudkan kementerian pelajaran dalam daulah yang akan dibina oleh Rasulullah di Madinah. Mus’ab telah menyampaikan dakwah Islam di Madinah dengan gigih sehingga dakwahnya sampai ke semua rumah di Madinah.
Pada tahun haji yang ketiga, 75 wakil dari Madinah datang ke Mina. Rasulullah s.a.w membuat pertemuan sulit dengan mereka di Aqabah pada dinihari semasa semua orang sedang tidur. Satu perjanjian untuk melindungi Rasulullah s.a.w dan orang Islam dimeterai. Janji setia golongan Ansar untuk melindungi Rasulullah s.a.w boleh diumpamakan sebagai mewujudkan kementerian pertahanan bagi daulah yang bakal dibentuk. Pada masa peristiwa ini sedang berlangsung, syaitan bertempik di salah satu bukit di Mina untuk memberitahu perjanjian tersebut. Dengan izin Allah, tiada siapa pun mendengar tempikan tersebut. Menurut pendapat ulama, syaitan muncul ketika usaha Rasulullah mula menuju ke arah pembinaan dan pembentukan negara. Syaitan tidak kisah kalau usaha tersebut setakat nak beramal biasa seperti solat, puasa dan sebagainya. Tetapi apabila usaha nak bentuk negara Islam, maka syaitan muncul sendiri untuk menghalang.
Dalam sejarah nabi, syaitan muncul dalam 3 peristiwa iaitu:
- Mesyuarat kaum Quraisy untuk menghalang usaha dakwah Nabi di Mekah. Syaitan muncul sebagai Syeikh dari Najd memberi pendapat untuk membunuh Nabi s.a.w dan pendapat ini diterima.
- Ketika perjanjian Aqabah, syaitan muncul lalu bertempik di salah satu bukit di Mina untuk memberitahu orang Quraisy.
- Semasa Perang Badar, syaitan muncul sebagai Suraqah bin Malek menghasut untuk berperang.
Ketika melakukan ibadah melontar terasa seolah-olah membaling batu ke arah syaitan walaupun tak nampak syaitan. Perasaan kebencian terasa meluap-luap. Ibadah melontar sebagai simbolik mengingkari syaitan dan godaannya. Dua jenis syaitan iaitu di kalangan jin dan manusia (orang munafiq dan orang yang tidak beriman). Kerjanya membisik-bisik kejahatan dan penuh dengan tipu helah serta kelicikannya.
Kata Ustaz Abdul Halim lagi, “Syaitan menjadikan manusia jahil agama. Tidak memahami Al-Quran dan Hadis. Agama tidak boleh diwarisi secara turun temurun seperti harta dan keturunan. Agama adalah ilmu. Jika ayah pakar agama, dia tidak boleh turunkan pada anak jika anak tidak belajar. Ramai yang menghabiskan masa dengan membaca majalah dan buku yang tiada kaitan dengan agama. Dalam setahun berapa hadis yang kita baca? Kita boleh baca majalah wanita 6 keluaran yang tebalnya sama dengan Al Qur’an. Manusia disibukkan dengan perkara yang tidak menjurus kepada mencari iman dan ilmu. Kejahilan masyarakat terutama dalam sejarah Nabi s.a.w. Perlu faham sejarah Islam sebelum sejarah lain. Semua orang perlu memahami Al Qur’an dan Hadis tetapi yang perlu mendalaminya hanyalah sebahagian.”
Selepas melontar, terasa satu kepuasan. Mudah-mudahan dapat melontar segala sifat-sifat buruk dalam diri. Ya Allah bantulah diri ini. Sepanjang perjalanan pulang dari melontar, suara takbir bergema. Terasa satu kemenangan dalam perjuangan memperbaiki diri dan dalam memahami deen ini. Moga kemenangan ini berpanjangan sehingga pulang ke tanah air dan hingga ke akhir hayat. Allahu akbar Allahu Akbar Allahu Akbar, Allahu Akbar walillahilhamd.
-ummuhasan-
Sumber: Blog ISMA Kedah



taqabbal minna duaana ya Allah..