|

Membersihkan dakwah daripada kehodohan akhlak

Memerhati keadaan sekeliling pada erti mendalam isi hati manusia adalah satu perkara mudah. Andai bergerak berinteraksi dengan mana-mana individu dalam usaha menyeru ke arah satu matlamat, bukan lagi perkara yang boleh dianggap mudah. Di lisan mungkin ya tetapi pada medan sebenar, hanya yang berusaha mendekati manusia saja yang tahu.

Selalu kita dengar mengenai Sirah Rasulullah S.A.W dalam usaha berdakwah, baginda sangat teliti dan dengan kemuliaan akhlak yang tinggi memudahkan dakwahnya sampai meresap pada hati-hati yang dicampakkan ALLAH hidayah dalamnya.

Di samping mempersiapkan diri dengan  pengetahuan tentang jalan ini, kita masih tidak boleh lari daripada memahami ‘bahasa manusia’ kerana dakwah kita bukan pada makhluk yang tak punyai perasaan. Ya, kita meletakkan mardotillah sebagai matlamat hidup dan perjuangan kita, tetapi dalam usaha kita pada sebuah masyarakat tidakkah kita mendalami sabda junjungan besar Rasulullah S.A.W:

Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak /budi pekerti.” (Riwayat Tibroni)

Mahukah kita menjadi fitnah kepada ISLAM itu sendiri kerana buruknya akhlak yang mewakili umat ini dan membelakangi sunnah dalam tingkah laku kita? Dan adakah Nabi S.A.W mengakui jalan dakwah baginda mengetepikan akhlak mulia dan kasih sayang?

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu ma’afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (QS. Ali Imran: 159)

Nabi S.A.W menggariskan hala tuju dakwahnya dengan budi pekerti. Asasnya itu adalah sebagai tuntutan hak kepada setiap makhluk yang perlu kita tunaikan. Hak kepada rakan, jiran, pengguna jalan raya, ibu bapa, pemimpin dan sesama muslim. Semua ini punyai hak daripada kita yang perlu ditunaikan.

Selaku umat yang diperintahkan di dalam Al-Quran dengan seruan menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran, kita perlu peka dan sedar akan peranan besar yang akan kita tunaikan ini. Kita mahu sebuah generasi yang mampu mewarisi kemuliaan dakwah dan kedaulatan ISLAM subur dengan nilai INSAN RABBANI yang jelas dengan matlamatnya dan tak terbawa-bawa dengan keadaan sekeliling yang mempengaruhinya.

Selepas kita memahami betapa indahnya budi pekerti yang mulia, kita akan sedari bahawa dalam menyebar dan memahamkan masyarakat dengan sebuah fikrah yang subur dengan ketaqwaan ini memerlukan ikatan KASIH SAYANG antara jiwa-jiwa manusia itu sendiri. Masakan sebuah negara ISLAM hatta khilafah ISLAM itu berdiri tetapi umat di bawahnya bercakaran dan berkelahi akibat kurang mengimani nilai AKHLAK MULIA.

Adakah kemenangan ISLAM itu akan dikurniakan ALLAH jika masih ada lumpur-lumpur kotoran dalam sikap-sikap seperti penghuni neraka?

Bersama kita muhasabah.

Oleh: Muhammad Aiman B. Zainal Bahrin

Sumber: Laman Web ISMA-Mesir Cawangan Iskandariah

1 Komen untuk entri “Membersihkan dakwah daripada kehodohan akhlak”

  1. Satu ingatan tulus ikhlas kepada para du’at. Apakah perbezaan pendapat lebih utama daripada kasih sayang, jalinan persaudaraan berlandaskan aqidah?