Kunjungan hormat ISMA Eropah ke MSD, London.
LONDON, 27 Oktober – Tarikh keramat 27 Oktober 2010, bersamaan 19 Zulkaedah 1431 H menjadi tanggal yang bersejarah dan penting buat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Eropah. Satu lagi lembaran baru telah terlukis dalam kalam sejarah ISMA Eropah apabila buat pertama kalinya, satu pertemuan antara pihak Jabatan Penuntut Malaysia United Kingdom & Ireland di London dan ISMA telah dilangsungkan.
Pertemuan sepuluh mata yang berlangsung di Tingkat 1 Malaysian Hall melibatkan dua orang pegawai daripada Jabatan Penuntut Malaysia dan tiga orang wakil daripada ISMA.

Dari kiri: Prof Dr Badhrulhisham dan saudara Iqbal mewakili ISMA
Pada asalnya pertemuan ini akan dihadiri oleh Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia United Kingdom & Ireland, Prof Madya Dr Rosman bin Abdullah, namun beliau tidak dapat hadir kerana terdapat komitmen lain yang perlu dipenuhi. Oleh itu beliau telah mewakilkan Encik Khairulazam bin Annuar dan Ustaz Mohd Erfino bin Johari, kedua-duanya merupakan Atase Pendidikan di sini.
Dari kiri: Ustaz Erfino dan Encik Azam sedang tekun mendengar penerangan Prof Dr Badhrul
Pihak ISMA pula diwakili oleh Prof Dr Badhrulhisham bin Abdul Aziz, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Pahang merangkap Anggota Majlis Syura ISMA, saudara Muhamad Iqbal Hakim bin Mohd Tahir, Pengerusi ISMA Eropah dan saudara Muhammad Fazdhly bin Abdul Muttalib, ISMA London.
Perbincangan selama 45 minit antara pihak ISMA dengan Jabatan Penuntut Malaysia disifatkan oleh Encik Khairulazam sebagai ‘breaking the ice’. Banyak perkara yang dibincangkan secara terbuka antaranya hala tuju ISMA, perbezaan antara pendekatan ISMA dengan persatuan pelajar yang berasaskan Islam dan lain-lain lagi. Kedua-dua pihak saling bertukar pendapat dan menyuarakan pandangan masing-masing secara profesional dan terbuka.
Prof Dr Badhrulhisham menegaskan bahawa penubuhan ISMA Eropah akan memberikan faedah dan memberi fokus yang berkesan kepada para penuntut dan masyarakat Melayu Muslim di sini dari segi kecemerlangan akademik, pembinaan jati diri serta sahsiah.
Pihak Jabatan Penuntut Malaysia ternyata sangat positif dengan hasrat ISMA untuk mengembangkan sayapnya ke rantau Eropah. Pihak Jabatan Penuntut Malaysia juga meminta agar wakil ISMA Eropah menyediakan kertas kerja dan segala bahan yang diperlukan untuk tujuan semakan serta penilaian.
Mudah-mudahan pertemuan peringkat pertama ini tidak terbubar di sini sahaja, sebaliknya menjadi pencetus kepada gelombang baru kepada perkembangan dakwah Islamiyyah di Eropah secara khusus kepada komuniti Melayu Muslim di sini.
Sumber: Laman Web ISMA Eropah



