Kunjungan hormat ISMA Eropah ke Jabatan Penuntut Malaysia, Ireland
DUBLIN, 29 Oktober – Detik bersejarah bagi ISMA Eropah amnya dan ISMA Ireland khususnya apabila satu lagi pertemuan bersejarah telah dilakarkan antara pihak Education Malaysia (Jabatan Penuntut Malaysia) cawangan Ireland dan ISMA Ireland telah dijalankan. Pertemuan yang dilangsungkan di Malaysian Hall ini melibatkan seorang pegawai Atase Pendidikan dari Education Malaysia (Jabatan Penuntut Malaysia) dengan 7 orang wakil daripada pihak ISMA Ireland.
Pertemuan dimulakan dengan sesi taaruf oleh kedua-dua pihak iaitu Encik Kamarolzaman bin Abdul Rahman, selaku pegawai Atase Pendidikan dari Jabatan Penuntut Malaysia cawangan Ireland dan wakil-wakil daripada ISMA Ireland iaitu Prof Dr Badrulhisham bin Abdul Aziz, Timbalan Naib Canselor (Akademi dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Pahang merangkap Anggota Majlis Syura ISMA, saudara Mohammad Faezuddin bin Shamsualharis, Ketua Perhubungan ISMA Ireland, saudara Muhammad Faiz bin Moideen, saudara Salam bin Abdul Manaf, saudara Mohd Ferdaus bin Mohd Tahar, saudari Nor Nasuha bt Mail dan saudari Norhayati bt Hasan.
Usai bertaaruf, perbincangan antara kedua-dua belah pihak dilangsungkan yang mana telah banyak membuka mata kedua-dua pihak mengenai isu-isu yang diperbincangkan. Antaranya isu kekurangan tenaga kerja professional Melayu terutama dalam bidang teknikal dan teknologi, kemerosotan bilangan pelajar Melayu dalam aliran sains berbanding aliran sastera dan peranan ISMA dalam memartabatkan jati diri Melayu dalam menghadapi cabaran-cabaran masa kini.
Seterusnya, perbincangan diteruskan lagi dengan sesi perkenalan kepada ISMA Eropah khususnya ISMA di Ireland kepada Encik Kamarolzaman oleh saudara Mohammad Faezuddin bin Shamsualharis. Sesi ini dimulakan dengan memperkenalkan struktur organisasi, misi dan visi ISMA Ireland. Sepanjang sesi ini, banyak soal jawab telah berlangsung antara kedua pihak dalam menyuarakan pendapat dan harapan masing-masing.
Prof Dr Badrulhisham menyatakan bahawa ISMA Eropah khususnya ISMA Ireland akan memberikan faedah kepada pelajar dan komuniti Melayu muslim di sini, terutamanya peluang kepada mereka untuk memilih mana-mana persatuan untuk mereka terlibat secara langsung atau tidak yang seterusnya akan memberikan kebaikan kepada diri mereka sendiri dan juga kepada masyarakat.
Di akhir pertemuan yang berlangsung selama 1 jam 30 minit ini, pihak Jabatan Penuntut Malaysia, Ireland dilihat amat positif dengan hasrat ISMA untuk mengembangkan sayapnya ke bumi Shamrock ini. Beliau juga mahu agar ISMA Ireland komited dengan misi dan visi yang telah ditentukan dan berharap agar dapat bekerjasama dengan persatuan-persatuan yang lain untuk mengurangkan jurang yang timbul agar slogan Melayu sepakat, Islam berdaulat dapat direalisasikan di bumi Ireland ini juga.
Pertemuan ini diakhiri dengan sesi bersalam-salaman antara kedua pihak dan Prof Dr Badrulhisham menyatakan keinginannya untuk mengadakan pertemuan seperti ini lagi di lain masa serta kesediaan pihak Encik Kamarulzaman untuk pertemuan itu. Semoga pertemuan ini adalah pencetus kepada kerjasama yang lebih erat antara kedua pihak dan pembakar semangat kepada ahli-ahli ISMA dalam terus melakar sejarah dalam perkembangan dakwah Islamiyah di benua Eropah ini.
Sumber: Laman Web ISMA Eropah


