Khutbah Jumaat seru pembebasan Palestin menyentuh jutaan jiwa jemaah Haji
MEKAH: Sekitar dua juta orang jemaah Haji mendengar dengan penuh khusyuk khutbah 40 minit oleh Imam Abdul Rahman Al-Sudais yang begitu menyentuh jiwa pada hari Jumaat di Masjidil Haram di Mekah. Khutbah ini disiarkan secara langsung di stesen televisyen nasional dan banyak stesen televisyen Arab, Afrika dan Asia. Beberapa kali sewaktu khutbah, para jemaah menitiskan air mata apabila imam berbicara tentang kesusahan yang dihadapi Islam pada waktu-waktu kritikal ini.
Sambil menyerukan pembebasan Palestin, Al-Sudais menegaskan sekarang adalah masa untuk kelompok-kelompok di Palestin mengetepikan perbezaan antara mereka.
“Perbezaan ini hanya menambah penderitaan saudara-saudara kita di Palestin. Sekatan tidak berperikemanusiaan ini telah membuatkan hidup mereka sengsara. Sekarang adalah masa untuk negara-negara Muslim menyatukan barisan mereka dan membebaskan Palestin dari belenggu perhambaan yang tidak berperikemanusiaan ini,” katanya.
“Semua perbezaan di antara negara-negara serantau harus dan dapat diselesaikan dengan semangat Islam yang sebenarnya. Contoh terbaik dari kesatuan kita adalah jemaah ini di mana setiap muslim dari setiap sudut bersatu melalui kasih Nabi Muhammad (saw) dan Al-Quran. “
Al-Sudais menggambarkan Palestin sebagai masalah terbesar yang dihadapi umat Islam.
“Setiap hari membawa kesengsaraan baru bagi mereka,” katanya, sambil menangis. “Ya Allah, satukan semua umat Islam.”
Jemaah menjawab dengan gema “Amin.”
Imam Al-Sudais berkali-kali menekankan nilai kesatuan. “Perpecahan kita telah memberi peluang kepada musuh kita untuk menipu dan mengeksploitasi kita. Kita terpisah walaupun mempunyai jumlah yang ramai. Kesatuan adalah kunci untuk kesejahteraan kita semua. Mesej daripada Haji adalah kesatuan. Mari kita berdoa untuk penyatuan umat Islam di seluruh dunia . “
Beliau juga menekankan akan perlunya mempunyai harapan dan bersikap optimis dengan keimanan yang teguh kepada Allah pada setiap waktu kesulitan. Beliau memetik ayat Al-Quran: “Dan jangan pernah berputus harap pada rahmat Allah yang menenangkan: Sesungguhnya tidak ada yang putus asa dari rahmat Allah yang menenangkan kecuali mereka yang tidak beriman.”
“Ini adalah impian seumur hidup anda. Anda sentiasa ingin berada di sini. Anda sentiasa ingin melaksanakan tugas penting iaitu Haji. Nah, di sini anda berada di Tanah Suci. Anda beruntung. Ini semua kerana berkat dan rahmat Allah Yang Maha Kuasa. Saya mengucapkan tahniah kepada anda. Dari sini anda harus mengambil mesej yang paling penting dalam Islam dan ianya adalah tauhid (keesaan Allah). “
Merujuk kepada Iraq, beliau mengatakan kitaran perang tanpa henti telah menghancurkan bangsa Iraq . “Sekali lagi, ia berpunca daripada kurangnya kesatuan dan isu-isu kecil yang telah bertanggungjawab ke atas tragedi di Iraq,” katanya.
Al-Sudais berterima kasih kepada kepimpinan Saudi, yang dipimpin oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Abdullah, untuk projek-projek bersejarah bagi menyediakan kemudahan dan keselesaan bagi para jemaah sewaktuh melaksanakan ibadah Haji.
“Perkhidmatan keretapi bagi para jemaah yang beroperasi tahun ini adalah pencapaian yang luar biasa. Semoga Allah melindungi kepimpinan ini, dan semoga Dia mengurniakan mereka umur yang panjang,” katanya.
Metro Makkah kini bersedia untuk memberi perkhidmatan bagi jemaah Haji. Arab Saudi telah membelanjakan berbilion-bilion Riyal dalam pelbagai projek infrastruktur di Mekah, Mina dan Arafat. Kos projek tersebut tidak pernah dibebankan ke atas para jemaah.
Al-Sudais juga memberikan penghargaan yang tinggi untuk semua rakyat Saudi yang komited untuk memberikan perkhidmatan kepada jemaah Haji. “Anda layak diberi penghargaan kerana membantu para tetamu Allah. Allah telah menganugerahkan kehormatan kepada anda untuk membantu para jemaah, dan anda tidak mengecewakan para jemaah. Semoga Allah menyelamatkan anda sekalian. “
“Saya tidak pernah mengalami ketenangan seperti itu,” pesara pegawai tentera Nigeria Salisu Ali berkata tentang khutbah Al-Sudais. “Saya tidak boleh bercakap dalam bahasa Arab bahkan saya tidak mengertinya, tetapi ayat-ayat yang dipetik dari Al-Quran tidak asing bagi kita. Dan saya dapat memahami dalam konteks apa beliau merujuk kepada ayat-ayat tersebut. Saya tidak dapat menahan air mata kerana semua orang menangis. Syeikh menyentuh hati kita semua. ”
Seorang wanita Pakistan, Jahanara Begum Sarwat, mengatakan dia tidak pernah merasakan ketenangan seperti itu.
“Kita terus mendengar semua cerita-cerita buruk dan peristiwa menyedihkan,” katanya, “Namun, saat ini saya tidak merasa lemah sama sekali. Mengapa harus saya? Bilangan kita semua adalah ramai,” tambahnya sambil menunjuk kepada kerumunan jemaah. “Apakah mungkin bagi musuh-musuh kita untuk menghancurkan kita? Ini adalah kejatuhan seketika, anakku. Jangan hilang harapan.”
Setiap sudut Masjidil Haram sudah dipenuhi oleh jemaah seawal pukul 10:00 pagi walaupun masa untuk solat Jumaat dijadualkan pada pukul 12:05 tengahari. Cuaca yang panas tidak menghalang para jemaah dari menunaikan solat di jalanraya dan di lorong-lorong susur di sekitar masjid.
Jemaah berkurangan sejam selepas solat, dan di luar masjid merpati melayang melewati menara dan menghinggap ke bawah pada setiap ruang kosong yang terdapat di laman masjid yang sangat besar.
Kegelisahan tampak jelas di wajah ramai jemaah. Dengan hanya 24 jam yang tinggal sebelum para jemaah memulakan perjalanan ke lembah Mina di bahagian pertama dari perjalanan lima hari, fikiran para jemaah jelas terfokus pada ibadah yang dilaksanakan mereka dalam memenuhi kewajipan mereka.
“Kami memang sedikit gelisah. Berada di Makkah adalah pengalaman yang luar biasa,” kata Syed Abbas, warga India yang melaksanakan Haji buat pertama kali. “Ada begitu ramai orang di sini. Kami datang dari sebuah bandar kecil. Bahkan melakukan tawaf adalah tugas yang besar. “
Sumber: Arab News
Penterjemah:
Nurulhuda Abd Karim
Wartawan
Media ISMA



Allah akbar ! Jom bina generasi untuk membebaskan al Quds dan memertabatkan agama…!
subhanaAllah..
rindu nya baitullah n masjidil haram…
Subhanallah. Tahniah buat Media ISMA kerana berjaya menterjemahkan artikel ini dan memanjang-manjangkan manfaatnya buat orang lain. Usaha penterjemahan artikel sebegini perlu terus dilakukan. Suatu hari nanti, orang akan berkata, “Dengan melayari ismaweb.net, saya dapat mengahayati islam dari perspektif tempatan dan antarabangsa”. ^_^