|

Forum ‘Mumtaz untuk Ummah’ meriahkan Hari Akademik

ABBASIAH, 23 Oktober Tercipta satu sejarah di mana buat kali pertamanya, ISMA-Mesir telah berjaya menganjurkan program Hari Akademik ISMA-Mesir. Hari Akademik ISMA-Mesir yang bertemakan ‘Mumtaz untuk Ummah’ ini telah dianjurkan khas untuk semua pelajar agama dan juga pelajar perubatan di Mesir.

Program yang berlangsung di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK) ini turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan jawatankuasa Pusat ISMA-Mesir  diketuai Pengerusi ISMA-MESIR, saudara Shuhaib Ar-Rumy bin Selamat.

Majlis dimulakan pada jam 2.00 petang dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh akhi Miqdad Abdul Fisol, diikuti ucapan ringkas oleh saudara Shuhaib. Dalam ucapannya, beliau memberikan  pengenalan ringkas ISMA-Mesir, I-MediK , dan Majlis Ulama ISMA (MUIS) selain turut mengumumkan barisan kepimpinan baru ISMA-Mesir bagi sesi 2010/2011.

Majlis disusuli dengan slot forum menampilkan 3 ahli panel yang terdiri pelajar cemerlang dalam bidang masing-masing  bagi membicara dan berkongsi tips-tips kecemerlangan akademik.

Ahli panel pertama, saudara Ahmad Syamil bin Mohd Esa merupakan pelajar tahun akhir jurusan Pengajian Islam, Universiti Al-Azhar cawangan Tanta sementara panel kedua, saudari Maryam bt Mohd Din pula merupakan pelajar tahun tiga jurusan Usuludin, Universiti Al-Azhar Kaherah. Mewakili pelajar perubatan, panel ketiga menampilkan saudari Tengku Nur Nabiha yang merupakan pelajar tahun 5 Universiti Kaherah.

Saudara Syamil mendefinisikan bahawa Mumtaz yang hakiki bukanlah mumtaz untuk diri semata mata, bahkan Mumtaz yang sebenar ialah Mumtaz untuk ummah sepertimana garis panduan hidup yang telah ditetapkan oleh Allah ke atas manusia.

Menyambung kupasan saudara Syamil, saudari Maryam menekankan tentang pentingnya peranan wanita dalam pembangunan dalam segenap aspek. Manakala saudari  Nabiha pula membuka minda peserta perubatan dengan menyediakan idea-idea bagaimanakah profesion medik mampu menyumbang ke dalam pembangunan islam secara berkesan.

Forum yang berlangsung hampir 2 jam diakhiri dengan sesi soal jawab.

Majlis kemudiannya ditangguhkan seketika untuk solat fardhu Asar dan Maghrib, sebelum diteruskan dengan slot pada sebelah malam yang menampilkan jemputan khas bagi meraikan pelajar-pelajar cemerlang dalam peperiksaan baru-baru ini.

Sumber: Laman Web ISMA Mesir