Presiden i-Medik kongsi pengalaman bersama mahasiswi perubatan Mesir
HAYYU ASYIR, 4 Oktober – Sempena kedatangan Prof Dr Azmi Md Nor, Presiden Ikatan Pengamal Perubatan Muslimin Malaysia (i-Medik) bersama isteri beliau Dr Rashidah Abdul Rahman, sebuah program Talk Show Kerjaya Perubatan telah diadakan bagi memberi peluang kepada mahasisiwi di bumi Anbiya’ ini untuk mendapat perkongsian pengalaman dari Prof Dr Azmi yang juga merupakan Pakar Perunding Pembedahan (Colorectal Surgery Consultant) di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.
Dr Azmi dalam perkongsiannya telah menekankan kepentingan meramaikan lagi doktor muslimah dalam bidang Sakit Puan. Beliau juga menceritakan betapa kurangnya tenaga pengajar bagi jurusan perubatan sama ada untuk subjek pre-clinical mahupun clinical sehingga kebanyakan universiti di Malaysia terpaksa mengimpot tenaga pengajar dari luar seperti Mesir dan Burma.
Beliau juga menasihatkan agar mahasiswi di Mesir mengambil peluang menuntut di bumi Musa ini untuk membina syakhsiah dan jatidiri, juga memantapkan kemahiran berbahasa Arab dan ilmu-ilmu agama.
Ketika sesi soal jawab, antara soalan yang diajukan berkenaan cara belajar, cara membahagikan masa belajar dengan program dan aktiviti di luar, pengajian setelah tamat MBBS juga soalan berkenaan i-Medik.
Para hadirin juga dapat mendengar perkongsian pengalaman Dr Rashidah yang telah lebih 20 tahun berkecimpung dalam kerjaya perubatan dan dalam masa yang sama menjalankan tanggungjawab sebagai pendakwah, isteri dan ibu kepada 9 orang anak.
Menurut seorang pelajar perubatan tahun 2 Ain Shams, program ini sangat bermanfaat dan penuh informasi. Beliau telah jelas tentang perjalanan kerjaya seorang doktor dan dapat merancang apa yang akan beliau lakukan setelah tamat 6 tahun setengah pengajian di Mesir.
Tetamu yang hadir seramai 105 orang, rata-ratanya dari kalangan pelajar perubatan dan pergigian dari pelbagai universiti di Mesir seperti Universiti Kaherah, Ain Shams, Al-Azhar dan Tanta.
Sumber: Laman Web ISMA Mesir


