Sirah Muzikal tarik 1200 hadirin
PUTRAJAYA, 10 Oktober – Bertemakan ‘Merentas Kegemilangan Ummah’, program kebudayaan Sirah Muzikal anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Selangor telah berlangsung dengan jayanya malam tadi bertempat di Auditorium Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya.
Program ini turut dihadiri Yang Berhormat Dato’ Senator Dr Mashitah Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta suami dan Ustaz Abdullah Zaik, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).
Persembahan sirah berbentuk muzikal ini menampilkan Kelab Teater International Islamic College (IIC), Nazrey Johani, Nowseeheart, Muadz dan Fareast.
Program yang jarang sekali diadakan seumpama ini merupakan program anjuran PEMBINA Selangor, dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Maahad Tahfiz Bayu Syahadah, Persatuan Belia Masjid Selangor dan Nasyeed.com.
Sejak dari jam 7.00 petang lagi, Auditorium Kementerian Dalam Negeri ini mula dipenuhi pengunjung yang datang dari pelbagai latar belakang dan rata-rata pengunjung yang hadir sangat teruja untuk menyaksikan persembahan yang cuba mengetengahkan sirah Rasulullah serta kegemilangan Islam dalam bentuk kesenian dan kebudayaan.
Majoriti pengunjung yang hadir merupakan golongan belia dan beliawanis yang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi institusi pengajian tinggi berhampiran.
Ketua PEMBINA Selangor, En. Mohd Fairul Nafazli Md Nazin ketika ditemui berkata, “Di antara harapan kami menganjurkan program-program sebegini adalah untuk mendekatkan generasi muda dan belia dengan sejarah kegemilangan umat Islam yang semakin dilupakan.
Generasi belia pada hari ini semakin hanyut dipengaruhi budaya-budaya negatif Barat kerana mereka tidak memiliki agenda untuk membangun umat Islam.” kata beliau lagi.
Ustaz Muhammad Ismail, ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia yang turut hadir bersama keluarga dalam program ini ketika ditemui mengucapkan tahniah kepada PEMBINA Selangor kerana berjaya meneroka satu pendekatan baru dalam menyampaikan mesej-mesej pembinaan jatidiri belia berdasarkan ajaran Islam dengan lebih berkesan.
“PEMBINA diharap dapat mengembangkan lagi medan-medan yang luas dengan pendekatan yang lebih kreatif dan berkesan serta mengasah potensi-potensi serta kemahiran yang ada di kalangan belia serta beliawanis Islam di Malaysia.” ujar beliau.
Sumber: Laman Web Rasmi PEMBINA



