Sambutan Eidul Fitri ISMA Johor meriah
Johor Bahru, 26 September – Majlis Sambutan Eidul Fitri ISMA Johor 2010 telah berlangsung dengan meriah dan jayanya di Perkarangan Surau JPJ, Taman Daya, di sini. Majlis anjuran bersama ISMA Johor dan PEMBINA Johor ini telah dihadiri oleh ramai tetamu daripada kalangan ahli-ahli ISMA dan PEMBINA, penduduk setempat dan juga para pelajar dari beberapa pusat pengajian tinggi yang berdekatan.
Bertemakan ‘Memperkasa Jatidiri Di Aidilfitri’, majlis pada kali ini bermula seawal jam 2.00 petang sejurus selepas menunaikan solat fardhu Zuhur dan para tetamu yang datang terus disajikan dengan hidangan jamuan makan.
Pengarah Program Majlis Sambutan Eidul Fitri ini, saudara Azman Bakri dalam ucapannya merakamkan ribuan terima kasih kepada semua AJK yang bersama dalam menjayakan majlis pada tahun ini, dan beliau juga berharap program sebegini dapat mengukuhkan lagi ikatan ukhuwwah islamiyyah bukan sahaja di kalangan ahli ISMA dan PEMBINA bahkan juga di kalangan masyarakat setempat.
YDP ISMA Johor, Tuan Hj. Mohd Tahir dalam ucapannya pula melafazkan rasa syukur atas nikmat persaudaraan yang telah lama terjalin di kalangan ahli-ahli dan para tetamu yang hadir di samping berharap para tetamu yang hadir dapat menggunakan kesempatan yang ada dengan sebaiknya untuk beramah mesra dan bertanya khabar.
Beliau juga mengingatkan semua yang hadir agar terus bersama mendepani isu masyarakat terutamanya orang Melayu di Malaysia agar kembali bersatu dan bersepakat dalam segala hal yang disepakati dan berlapang dada dalam hal yang diperselisihkan. Hal ini demikian katanya, penting dalam memastikan survival umat Islam di Malaysia terus kukuh dan dipelihara.
Pada majlis kali ini juga, berlangsungnya acara penyampaian hadiah untuk para pemenang bagi Pertandingan Penulisan anjuran PEMBINA Johor yang disampaikan oleh Tuan Hj. Tahir. Pihak ISMA Johor juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemenang dan berharap semua karya yang dipertandingkan dapat diketengahkan untuk tatapan umum.
Sambil menikmati juadah yang disediakan, para tetamu juga dihidangkan dengan persembahan khas saudara Shoem yang menyampaikan beberapa buah lagu nasyid secara solo. Di samping itu, turut diadakan beberapa acara kelolaan NAZIM cawangan Johor khusus untuk anak-anak yang hadir pada majlis pada kali ini.
Majlis berakhir tepat jam 5.30 petang selepas hadirin menunaikan solat fardhu Asar secara berjemaah dan mendengar tazkirah ringkas yang disampaikan oleh saudara Mohd Fuad Zaki.
Sumber: Blog ISMA Johor


