|

SAFI siswi Iskandariah menghangatkan tirai Syawal 2010

ISKANDARIAH,  8 Oktober – Detik-detik akhir bulan Syawal tetap dirasai kehangatannya dengan kemeriahan sambutan Aidilfitri ISMA-Mesir (SAFI 2010) anjuran Biro Wanita ISMA-Mesir cawangan Iskandariah.  Majlis yang bertemakan “Memperteguh Jati Diri Di Aidilfitri” dihadiri kira-kira 250 orang tetamu dari Kuliah Perubatan dan Pergigian Iskandariah dan tidak ketinggalan juga pelajar dari Kuliah Syariah Islamiyah Universiti Al-Azhar.

Sambutan Aidilfitri kali ini diadakan agak lewat memandangkan kebanyakan warga Iskandariah pulang berhari raya di Malaysia, namun ISMA-Mesir cawangan Iskandariah  tidak melepaskan peluang  di akhir Syawal untuk mengajak  masyarakat mahasiswi di sini  menghayati erti sebenar Aidilfitri.

Dalam ucapannya, Pengarah SAFI-Iskandariah 2010, saudari Nik Nabilah Nek Rakami menekankan konsep jati diri sebagai seorang Islam dalam menyambut Aidilfitri dan menyeru kepada semua agar meneruskan semangat Ramadhan pada hari-hari mendatang.

Sambil menikmati juadah raya, para tetamu disajikan dengan tayangan video-video menarik daripada Biro Media ISMA-Mesir. Video promosi aktiviti-aktiviti ISMA-Mesir turut ditayangkan bagi memperkenalkan  ISMA-Mesir sebagai sebuah salah sebuah persatuan pelajar  yang aktif mengadakan program-program menarik sepanjang tahun.

Seusai itu, majlis diserikan lagi dengan persembahan medley lagu-lagu raya oleh pelajar-pelajar jurusan Perubatan Iskandariah. Turutdiselang-selikan acara cabutan bertuah dan kuiz sempena dengan Aidilfitri. Pada acara kemuncak, majlis dimeriahkan dengan persembahan dikir barat dan lakonan yang mencuit hati.

Majlis berterusan sehingga ke Maghrib dengan kedatangan para tetamu yang tidak putus-putus. Semoga silaturrahim yang dibina dan diutuhkan lagi pada majlis SAFI 2010 kali ini bertambah erat dan berkekalan di antara sesama mahasiswi di Iskandariah.

Sumber: Laman ISMA-Mesir Cawangan Iskandariah