|

Rumah Terbuka Aidilfitri ISMA Melaka meriah

MELAKA TENGAH, 26 September – Saban tahun, setiap kali hadirnya bulan Syawal, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Melaka serta Kelab Remaja ISMA (KRIM) pastinya tidak ketinggalan mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri bagi meraikan ahli serta masyarakat setempat.

Kali ini bertempat di Balai Raya Taman Angkasa Nuri dengan kerjasama JK Taman Angkasa Nuri, majlis yang bermula tepat jam 3.00 petang berlangsung kira-kira 3 jam dengan kehadiran mencecah lebih dari 400 orang. Rata-rata jemputan yang hadir terdiri dari beberapa NGO di Melaka serta masyarakat sekitarnya. Tidak ketinggalan juga para penuntut universiti dari seluruh Melaka.

Rumah Terbuka ISMA Melaka ini turut dimeriahkan dengan jemputan nasyid dari pelajar KUIM, kumpulan ‘Feel Harmony’ serta persembahan spontan dari kumpulan ‘Resolusi’ MMU. Pemberian duit raya oleh YDP, Ustaz Ahmad Zainal Abidin kepada kanak-kanak yang hadir juga mengisi salah satu agenda majlis selain pameran mengenai ISMA dan Aman Palestin dan sedikit jualan buku–buku ilmiah.

Menurut Mohd Khoushaini Mohd Naim, yang merupakan pengarah program kali ini, antara objektif utama penganjuran majlis ini adalah untuk bersama-sama meraikan Aidilfitri dengan masyarakat setempat serta NGO yang hadir selain menonjolkan imej ISMA dan PEMBINA sebagai NGO Islam yang prihatin dan mesra masyarakat.

Majlis ini dilihat dapat mencapai objektif yang digariskan selain dapat meningkatkan ukhuwwah di kalangan ahli ISMA Melaka sendiri. Semoga penganjuran ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan lebih baik dan penglibatan yang lebih menyeluruh.

Sumber: Laman Web ISMA Melaka

1 Komen untuk entri “Rumah Terbuka Aidilfitri ISMA Melaka meriah”