|

Minda puasa

Setelah berlalu Ramadhan, kita tidak lagi dituntut meninggalkan makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Jadi kita kembali kepada kehidupan yang normal. Bahkan mula bermudah-mudah dengan adab-adab yang dipegang pada bulan Ramadhan. Kita sering mendengar Khatib melaung di atas mimbar, di mana taqwa kita selepas Ramadhan?

Ulamak mengatakan tujuan daripada ibadah puasa ialah taqwa. Tujuan ialah hasil yang tuai di penghujung satu-satu usaha. Perkara yang sama kalau diletak di awal dipanggil objektif, kalau di tengah dipanggil faedah dan kalau di hujung dipanggil tujuan. Natijah yang diharapkan daripada ibadah puasa ialah taqwa. Jadi taqwalah yang sepatutnya kekal.

Dalam keadaan kita kembali kepada kehidupan biasa, makan, minum, melakukan hubungan suami isteri dan sebagainya, bagaimana kesan puasa masih dapat dipertahankan?

Mudah bagi kita berdepan dengan perkara wajib atau haram. Bertaqwa bermakna melakukan yang diperintah dan meninggalkan yang dilarang. Yang dituntut daripada kita pada bulan puasa adalah berlainan di mana kita diarahkan meninggalkan perkara yang halal. Makan dan minum tidak haram pada zatnya tetapi yang mengharamkannya ialah niat puasa dan bulan Ramadhan.

Jadi niatlah yang menjadi kunci. Seorang yang berpuasa akan meng“set” mindanya untuk tidak berfikir soal makan dan minum dalam tempoh dia berpuasa.  Dengan kekuatan minda dia dapat berdepan dengan berbagai godaan yang mencabar niatnya. Puasa membentuk kekuatan minda pada seseorang untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu berdasarkan maslahah atau perintah tuhan.

Saya percaya memiliki minda yang kuat adalah rahsia kejayaan seorang pejuang. Dengan memiliki minda yang kuat seseorang dapat mendisiplinkan diri dengan disiplin orang-orang yang cemerlang di kalangan tokoh-tokoh besar. Minda yang menjadikan mereka mampu menggapai objektif yang besar dan dengan minda yang kuat juga akan mengeluarkan seseorang dapat mengatasi tabiat-tabiat “kebudakan”  dan “ketidak matangan” yang dia warisi semenjak kecil.

Saya melihat betapa ramai di kalangan kita yang melalui proses tarbiah yang panjang, menghabiskan banyak buku fikrah dan syllabus dakwah tetapi tidak dapat melepaskan diri dari sifat-sifat dan sikap-sikap kebodohan (keanak-anakan) serta ketidak matangan yang tidak sesuai dengan penampilan dirinya sebagai seorang tokoh, qudwah dan pendakwah. Sebabnya mereka tidak memiliki minda puasa yang memberikan ia kekuatan untuk melepaskan diri dari segala sikap dan tabiat yang tidak wajar atau tidak layak bagi seorang yang berstatus pemimpin.

Minda puasa ialah kuasa kesedaran yang mendisiplinkan seseorang untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu berdasakan maslahah dan syarak. Walaupun pada fizikalnya seseorang itu dilihat makan dan minum dan melakukan keperluan hidup yang biasa dilakukan tetapi pada hakikatnya segala yang dilakukan adalah dengan kekuatan niat dan kewarasan minda, bukan dengan kelolaan dan kegelojohan nafsu. Dia tahu bila dia perlu makan, kenapa dia perlu makan, banyak mana dia perlu makan… makan bukan untuk makan tetapi untuk memenuhi keperluan untuk melakukan kewajiban dan tanggungjawab. Dan begitulah seterusnya.

Biar pun hari-hari puasa telah berlalu, namun mindanya tetap dengan disiplin puasa.

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Perjalananku