Lebih 400 orang meriahkan Sambutan Aidilfitri ISMA Seremban
Ustaz Azizee menyampaikan ucapan
Seremban, 26 September – Lebih 400 orang hadirin memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri ISMA Seremban yang telah berlangsung di Iman Child Care (Iman CC), Taman Tuanku Jaafar di sini. Majlis ini dianjurkan bersama PEMBINA Negeri Sembilan dengan kerjasama Iman CC.
Mereka yang hadir terdiri daripada ahli-ahli ISMA dan PEMBINA, sukarelawan, penduduk setempat dan ibu bapa para pelajar di Iman CC. Turut memeriahkan majlis ialah tetamu-tetamu jemputan daripada NGO-NGO di Negeri Sembilan termasuk ABIM, PERKIM, IKRAM dan lain-lain lagi.
Dalam ucapannya, Ustaz Mohd Azizee Hassan selaku Yang Dipertua ISMA Seremban, menjelaskan bahawa ISMA berusaha untuk memainkan peranan dengan lebih serius ke arah mengesani masyarakat melalui pelbagai program yang diatur. Beliau juga mengajak ahli masyarakat agar bersama-sama melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti ISMA yang merangkumi semua lapisan masyarakat.
Majlis Sambutan Aidilfitri ISMA Seremban ini diserikan lagi dengan persembahan nasyid oleh ahli-ahli Kelab NAZIM Seremban, tazkirah oleh Ustaz Abdul Halim Abdullah iaitu Naib Presiden I ISMA dan penyampaian hadiah kepada anak-anak yang berjaya melalui bulan Ramadhan dengan cemerlang.
Sumber: Blog ISMA Negeri Sembilan


