|

Hari Keluarga ISMA-Mesir kawasan Madinah Nasr rapatkan ukhuwwah

MADINAH NASR, 8 Oktober – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Mesir kawasan Madinah Nasr telah mengadakan Hari Keluarga di Nadi Syabab, Hayy Sadis.

Program ini telah dihadiri kira-kira 60 orang peserta dari pelbagai latar belakang yang kebanyakan mereka tinggal di sekitar Madinah Nasr. Antara objektif program ini adalah untuk merapatkan ukhuwwah antara peserta terutamanya di kalangan mahasiswa yang baru tiba dari Malaysia dengan mahasiswa yang telah lama berada di Mesir.

Program bermula seawal 6.30 pagi dengan senaman pagi dan disusuli dengan sarapan dan permainan Taaruf Bergaya. Antara program yang menarik ialah Bola Sepak Ikat Kaki, War Game, Bola Beracun, Tom-Tom Bak dan Teka Siapa.

“Jika kita mempunyai satu matlamat yang sama, kita punya kekuatan yang besar. Kerana itu program ini disusun dengan tujuan untuk eratkan ukhuwwah. Islam tak akan tertegak tanpa ukhuwwah dan ukhuwwah ada pada pemuda-pemuda yang memperjuangkan agama ini. Kitalah pemuda-pemuda tersebut yang akan menyampaikan mesej-mesej agama kepada manusia.”

Demikian nasihat Saudara Mohd Irfan Mohd Salmi ketika pembukaan majlis. Beliau turut menganjurkan kepada semua peserta untuk saling berkenalan antara satu sama lain.

Program berakhir dengan sesi refleksi yang menuntut para peserta mengeluarkan istifadah daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Sumber: Laman Web ISMA Mesir