Warkah buat saudariku
Saudariku yang dicintai,
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh wa maghfiratuh wa ridhwanuh.
Semoga warkah ini menemuimu dalam kesihatan yang terbaik, dalam keadaan iman yang terbaik, dan dalam kasih sayang dan rahmat Allah yang tidak pernah bertepi.
Saudariku,
Ketahuilah pada asal penulisanku ini, ingin aku tujukan buat saudara-saudara kita di luar sana. Mahu meluahkan betapa marah, kesal, jelik! Saban hari dipaparkan kisah bayi-bayi yang dibuang, yang disalahkan adalah ibunya. Apa tidak berperikemanusiaan? Apa tidak kasihan dengan bayi yang tidak berdosa?
Aduh! Bagaimana ya, mahu dikhabarkan? Bayi itu tidak terjadi sendiri. Tidak seperti lahirnya Isa A.S. ke dunia. Bayi itu terjadi dengan adanya lelaki. Yang seharusnya membimbing kita, bukan? Yang sepatutnya tahu, bahawa hati kita-kita ini rapuh; bahawa akal kita-kita ini halus. Yang sesungguhnya perlu sedar; bahawa kita-kita ini kaum yang lemah. Sedang Allah juga berkata; lelaki itu qawwamun ke atas wanita (An-Nisa’: 34). Mengapalah perlu digoda? Mengapalah perlu diajak? Sedang mereka tahu kita lemah apabila dilayan, goyah, apabila ada yang memberi perhatian.
Sungguh, saudariku! Hanya amarah itu yang mahu aku hamburkan kepada lelaki-lelaki di luar sana. Namun, apalah yang aku tahu tentang mereka. Dunia mereka, dan dunia kita, sesungguhnya tidak sama. Fikiran mereka, dan fikiran kita, jelas berbeza. Lagi pula aku sedar, apalah guna menuding jari ke arah mereka. Ada empat lagi jari menuding ke arah diri sendiri. Aku. Dan anda juga, dan anda, dan anda. Kita semua. Wanita. Lagi pula, tak ada gunanya aku melayangkan warkah penuh merah amarah buat mereka yang belum tentu aku kenal siapa. Baik lagi aku melayangkan warkah ini, dengan hangat merahnya cinta untuk saudariku semua.
Saudariku,
Sebanyak mana cerita-cerita dikecewakan lelaki yang aku dengar, sebanyak itulah juga kisah-kisah indah kalian yang sedang asyik dilamun cinta yang tidak halal yang sampai ke telingaku. Sebanyak manapun aku mampu bersimpati dengan kalian; tetap perlu juga aku ingatkan; sedih itu, kecewa itu, rasa terhenyak dan disampahkan itu, di dalamnya ada saham dari kalian. Saudariku yang dikasihi, ingin aku ingatkan, Allah telah berfirman;
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya adalah Dia menjadikan untukmu pasangan dari jenismu sendiri agar kamu merasa tenteram terhadapnya. Dan di antara kalian Dia wujudkan rasa kasih dan sayang” Ar-Rum:21
Lantas setiap hari, kalian bertanya lagi dan lagi. Mengapakah tidak tenteram rasanya hati ini? Berpisah sebentar, cemburu datang menyapa. Terdiam sebentar, rasa bersalah pula menjelma. Telefon bimbit tidak berbunyi, risau pula itu dan ini. Aduhai saudariku, jikapun benar dia itu jodohmu di masa akan datang, apakah ada keindahan yang dapat dicapai daripada hidup yang gelisah sebegini?
Dan sebahagian kalian yang lain pula berkata; jika begitu apa gunanya pula lelaki? Bukankah lebih baik hidup tanpa mereka? Bukankah kita ini kaum hawa sudah maju, tidak lagi terikat dengan adat-adat kuno yang membebankan wanita. Sudah bebas berkerjaya, bersuara! Malah ramai antara kita gaji sahaja sudah jauh melangkau saudara-saudara lelaki kita. Apalah gunanya mereka?
Untuk kalian ini; marilah kita renungkan bersama asal kejadian diri kita ini;
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis air mani yang bercampur yang Kami (hendak mengujinya dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.” (Al-Insan:2)
Bukankah sudah jelas Allah nyatakan peranan lelaki itu sendiri? Tanpa ayahmu maka tiadalah kamu. Lagi pula Allah kurniakan kepada kita mata dan telinga, yang dengannya dapat kita mendengar dan melihat. Yang dengannya kita diuji; sama ada kita patuh atau ingkar. Maka apakah nilainya kita menafikan peranan lelaki? Sedang Allah sudah menunjukkan dengan sebegitu jelas sekali?
Saudariku,
Di sisi yang lain aku mendengar pula kisah mereka yang menanti dan terus ternanti-nanti. Kisah mereka yang yakin bahawa pernikahan itu bukan terhenti di tahap peribadi, malah sumbangan apa adanya untuk ummah ini! Yang tiap siangnya mengajak manusia kembali kepada Tuhan. Dan saban malamnya bersimpuh dalam taatnya kepada pemilik Alam ini. Meminta dan terus meminta. Mengharap dan terus berserah diri kepada Dia, yang menentukan hidup dan mati, bahagia dan celaka, jodoh dan pertemuan.
Maka dalam penantian itu juga tidak lekang daripada diuji. Dan setiap hari kebutuhan untuk bernikah itu semakin bertambah. Ada yang dikategorikan lagi sebagai terlalu mahal; dan tidak ramai yang berani membimbing. Ada lagi pula yang lamaran datang bertalu-talu menggugat keteguhan hati. Sedangkan semua yang datang itu tidak menepati ciri yang dikehendaki – yang mampu bersama-sama menyokong dan mendukung tujuan kehidupan ini. Yang mahukan pernikahan di atas jalan ini! Maka di situlah mereka ini; menanti, mencari, berdoa, berserah diri!
Dan juga mereka yang sekian lama berusaha membina syurga di dunia. Dan semakin hari semakin bertambah tanggungannya. Dari mendampingi seorang mujahid da’wah kini bertambah lima dan enam lagi mujahid kecil. Subhanallah! Jika dihitung logika akal, sudah pasti ramai yang berkata, “Sungguh, kami tidak mampu!“. Dan di sana tetap teguhlah para zawjaat dan ummahaat ini mengasuh dan mendidik tanpa lelah, tanpa jemu, malah dengan senyuman! Malah dengan kegembiraan!
Kepada mereka ini, maka Allah telahpun berkata kepada kalian;
“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah:153)
Bersabarlah. Dan teruslah berharap padanya. Teruslah mempersiapkan diri sehingga anda layak dipilih oleh Allah sebagai pendamping seorang yang benar-benar layak untuk anda; sepertimana Allah memilih Khadijah untuk Muhammad, Zulaikha untuk Yusuf, Hawa untuk Adam.
Saudariku yang dicintai,
Walau bagaimanapun keadaan kalian kini, hanya ada satu pesanan buat kalian, dan diriku sendiri. Dari seorang insan yang kita semua amat cintai;
An-Nu’man bin Basyir berkata, “Saya mendengar Rasulullah saw. bersabda, ‘Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal musyabbihat (syubhat / samar, tidak jelas halal-haramnya), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Barangsiapa yang menjaga hal-hal musyabbihat, maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya. Dan, barangsiapa yang terjerumus dalam syubhat, maka ia seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir ia terjerumus ke dalamnya. Ketahuilah bahwa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya tanah larangan Allah adalah hal-hal yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada sekerat daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila sekerat daging itu rusak, maka seluruh tubuh itu pun rusak. Ketahuilah, dia itu adalah hati.’” (Hadith Riwayat Bukhari)
Sesungguhnya saudariku, tinggalkanlah apa yang tidak suci bagimu. Tinggalkanlah apa yang belum halal bagimu. Tinggalkanlah apa yang belum menjadi hakmu. Sesungguhnya kita ini bukan siapa-siapa untuk meneka-neka perencanaan Allah yang lebih Mengetahui. Sesungguhnya kita ini tidak tahu apa-apa; hanya menghirup sedikit sahaja dari ilmu milikNya.
Maka saudariku, tinggalkanlah! Di kiri dan kananmu ada keluarga dan sahabat yang menuntut masamu. Di hadapanmu ada jambatan ilmu yang menuntut pemikiranmu. Di luar sana ada masyarakat, yang menantikan kasih sayangmu. Dan paling dekat denganmu ada Allah, yang sedia mencintaimu, mengampunimu dan berada dekat denganmu. Lebih dekat dari urat nadimu sendiri.
Wahai saudariku,
Tidak sekali-kali aku suruh engkau pergi, menyucikan diri sendiri-sendiri. Tapi ini adalah ajakan buatmu, sekiranya engkau mahu, marilah kita bersama-sama menyucikan diri. Kerana tiada yang lebih indah bagi seorang wanita itu; daripada mendapatkan redha TuhanNya, di atas redha seluruh makhluk di muka bumi ini.
Aku layangkan warkah ini bukan sekadar untuk melepaskan tanggungjawab amar ma’ruf dan nahi mungkar semata. Jauh sekali omongan kosong yang berniat melukakan hati kalian semuanya. Tapi warkah ini dilayangkan dengan penuh rasa cinta, dengan harapan yang tinggi untuk bersama melangkah untuk mencapai redhaNya. Dan akhirnya, semoga kita semua kekal sebagai hamba-hamba yang dicintai di SyurgaNya!
“Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.” (Riwayat Muslim)
Yang terus ingin mencintaimu keranaNya,
Saudarimu,
Natasha Ismail
Biro Dana & Kebajikan ISMA New Zealand
Sumber: Laman Web ISMA-New Zealand



izin share and copy