Puasa dulu baru raya!
Muslimin dan Muslimat sekalian,
Allah swt ketika memfardhukan puasa menyebut:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (183) سورة البقرة
“Difardhukan kepada kamu berpuasa, seperti mana difardhukan ke atas umat-umat terdahulu, (tujuannya) mudah-mudahan kamu bertakwa”.
Alhamdulillah, kita telah melalui bulan Ramadhan dengan mengerjakan ibadah puasa, terawih dan lain-lainnya sebagai bukti dan menambahkan lagi ketakwaan kita kepada Allah, justeru itu marilah kita terus memastikan tahap ketakwaan kita kepada Allah terus hangat, mantap dan mampu kita jelmakan dalam amalan dan perbuatan kita seharian. Jadikan takwa sebagai bekalan kita melayari hidup ini dan mudah-mudahan hembusan nafas terakhir kita tatkala meninggalkan alam ini juga diiringi dengan takwa. Allah swt juga berfirman:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ (102) سورة آل عمران
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam”.
الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد
Muslimin dan Muslimat sekalian,
Seorang anak bertanya kepada bapanya di pagi raya: “Ayah, mengapa orang Islam kena berpuasa dulu, lapar dulu… baru boleh sambut raya puasa… sedangkan agama lain, tak perlu puasa tapi boleh sambut krismas, tahun baru cina dan deepavali…”. Pertanyaan yang bunyinya keanak-anakan tapi belum tentu mampu dijawab, melainkan oleh ibu bapa yang memahami tabiat agama mereka.
Bagi ibu bapa yang memahami tabiat agama Islam atau sekurang-kurangnya tabiat hidup di dunia, pasti akan menjawab: “Wahai anakku, memang begitu cara orang Islam beraya, puasa dulu baru boleh menyambut Hari Raya puasa, kena pergi haji dan sembelih korban dulu baru ada raya haji dan raya korban. Begitu juga hidup ini anakku, kena susah dulu baru senang, kena berusaha dulu baru berjaya, kena berjuang dulu baru menang dan kena sanggup melakukan tuntutan agama baru boleh masuk syurga”.
الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,
Inilah tabiat hidup yang perlu difahami oleh setiap manusia. Terutama kita yang telah sebulan berpuasa, baru boleh menyambut hari raya… iaitu tiada kemenangan, kejayaan, pembangunan dan kesenangan melainkan terpaksa didahului dengan kesusahan, usaha dan pengorbanan.
Lihat sahaja generasi terdahulu, sanggup mengorbankan masa, harta dan nyawa kerana Allah dan demi memartabatkan agama Allah… akhirnya mereka mampu membina Tamaddun Islam yang hebat dan gagah, mampu bertahan di persada dunia ribuan tahun lamanya. Mereka mampu mentadbir empayar yang terbentang luas dari utara China hingga ke pertengahan benua Eropah dengan menjadikan Islam sepagai payung dan pancangnya. Semua ini mereka capai kerana kegigihan dan kesungguhan mereka.
Begitu juga, di hari di mana Rasulullah saw menolak tawaran bangsawan musyrikin Mekah untuk menabalkannya menjadi Raja Pertama Mekah dan menjadikannya manusia yang paling kaya dalam sejarah mereka dengan syarat hendaklah baginda meninggalkan kerja dakwahnya. Semenjak hari tersebut, para sahabat sudah memahami bahawa agama ini tidak akan mampu sampai ke mana-mana dengan mengharapkan belas kasihan musuh atau duduk goyang kaki di rumah dan tak buat apa-apa. Agama ini perlu ditegakkan dengan peluh dan darah, masa dan nyawa, tenaga dan harta. Agama ini memerlukan mereka yang kental jiwanya, tinggi iman dan takwanya.
Muslimin dan Muslimat sekalian,
Tapi yang amat menghairankan pada hari ini. Masih ada di kalangan umat Islam yang mengharapkan kesenangan dunia tapi malas berusaha dan inginkan masuk syurga tetapi enggan memenuhi tuntutan agama. Orang begini samalah seperti orang yang menyambut hari raya puasa tapi malas berpuasa… orang begini tidak akan sampai ke mana-mana. Ia akan hidup di titik mana ia bermula dan berada, tanpa pergerakan, tanpa perubahan. Orang begini umpama Mat Jenin yang sentiasa memasang angan-angan ingin memiliki istana indah tapi tidak pernah berusaha untuk mencuba merealisasikan impiannya. Hakikatnya, hanya mahligai yang dibina di alam khayalan mampu didiami oleh orang begini, sedang mahligai yang dibina di atas bumi cuma mampu dibina dengan kesungguhan dan usaha.
Suatu hari Saidina Umar al-Khattab terserempak dengan beberapa ahli sufi di dalam masjid. Mereka berdoa agar jadi kaya tapi tak pernah berusaha. Umar menegur mereka dengan katanya:
متى تظنون أن السماء تمطر ذهبا أو فضة؟ كلا…
“Semenjak bila kamu menyangka bahawa langit mampu menurunkan hujan emas dan perak? Sama sekali tidak mungkin…”
Ini kerana, emas dan perak cuma mampu diperolehi bagi sesiapa yang sanggup membelah gunung dan lurah untuk mengali khazanah bumi. Kesenangan hanya akan dicapai dengan usaha dan pengorbanan!
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,
Semua manusia inginkan kesenangan di hari tua, memiliki kehidupan yang sempurna dan keluarga yang bahagia. Tapi semua itu akan hanya tercipta bagi mereka yang menggunakan usia muda dengan bersungguh-sungguh dan memajukan diri sedaya upaya. Alam persekolahan dipergunakan untuk mencari ilmu berharga dan pencapaian akademik yang terbaik. Hanya mereka yang sanggup meninggalkan kegilaan usia remaja dan cuba membina diri dengan akal yang waras dan berusaha menjadikan impian menjadi satu kenyataan… pemuda begini akan menuai buah kejayaan di hari tua.
Adapun mereka yang tidak sanggup memerah keringat ketika tubuh sihat, usia masih muda dan tenaga masih kuat… malah dihabiskan dengan keseronokan yang membunuh masa atau dadah dan syabu yang membunuh akal yang sejahtera. Orang begini bakal menuai pohon kesengsaraan dan penghinaan di hari tuanya. Ini kerana mereka telah puas berhari raya tetapi tidak sanggup berpuasa.
Lihat sahaja abang dan kakak kamu yang kembali ke desa di hari mulia. Mungkin sebahagian besar mereka telah menghabiskan usia mereka di perantauan. Mereka sanggup berpisah dengan keluarga tercinta, memerah akal dan keringat demi mengejar cita-cita. Mereka juga sanggup menahan emosi dan perasaan hingga sanggup beraya di perantauan. Tapi semua itu mereka lalui dengan kesabaran. Hari ini, ada antara mereka yang kembali membawa kejayaan dan kegembiraan. Bukan hanya untuk diri mereka, malah ibu bapa dan keluarga boleh tumpang berbangga. Inilah anak muda yang sanggup berpuasa begitu lama sebelum berhari raya. Sanggup bersusah payah sebelum berjaya.
Muslimin dan Muslimat sekalian,
Mengapa puasa dulu baru raya? Kerana bekerja dulu baru dapat upahnya. Majikan yang bodoh sahaja yang akan memberikan upah tanpa kerja. Begitu juga syurga tidak murah harganya… tidak mungkin memasukinya hanya berbekalkan angan-angan kosong. Allah swt tatkala memfardhukan solat, puasa dan ibadah lainnya, dan dalam masa yang sama mengharamkan arak, judi, riba dan sebagainya… bertujuan untuk mengukur dan menilai siapa di antara mereka yang rajin dan siapa yang pemalas, siapa yang beriman dan siapa yang kafir, siapa yang bertakwa dan siapa yang fajir, siapa yang layak ke syurga atau menjadi penghuni neraka. Kedua-dua golongan ini, walaupun kadangkala nampak sama di dunia, sekata gerak gerinya, tapi tidak mungkin sama di alam akhirat, alam perhitungan dan pembalasan muktamad.
Firman Allah SWT:
أَمْ نَجْعَلُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَالْمُفْسِدِينَ فِي الْأَرْضِ أَمْ نَجْعَلُ الْمُتَّقِينَ كَالْفُجَّارِ (28) سورة ص
“Patutkah Kami jadikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh itu sama seperti orang-orang yang melakukan kerosakan di muka bumi? Atau patutkah Kami jadikan orang-orang yang bertaqwa sama seperti orang-orang yang berdosa?”
Firman Allah SWT lagi:
أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ اجْتَرَحُوا السَّيِّئَاتِ أَنْ نَجْعَلَهُمْ كَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَوَاءً مَحْيَاهُمْ وَمَمَاتُهُمْ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ (21) سورة الجاثية
“Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu.”
الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,
Hampir setiap hari kita mendengar berita, saudara seagama kita di Palestin, Iraq, Kashmir dan negara Islam yang lainnya dibunuh dan dianiaya, negara mereka dirampas, rumah mereka dimusnahkan dan kemerdekaan hidup mereka terbelenggu. Sedang kita yang menonton dan mendengar berita tersebut sekadar menggeleng kepala dan mengeluh sebagai tanda simpati. Kita antara jutaan umat Islam seluruh dunia yang merasai perasaan yang sama. Malangnya, kita tak mampu berbuat apa-apa, malahan kita memang tak buat apa-apapun!!!
Kita mengharapkan umat ini akan merdeka dan kembali menguasai pentas dunia, tapi kita tetap bakhil dengan harta dan tenaga untuk menjayakannya. Malah untuk menadah tangan berdoa agar Allah memenangkan saudara kita yang teraniaya pun… terasa berat dan tidak bermaya. Inilah bahananya apabila umat ini sudah terlupa formula kejayaan mereka iaitu puasa dulu baru boleh raya. Usaha dulu baru berjaya. Berkorban masa, harta dan nyawa dulu baru merdeka dan mulia.
Memang Islam yang kita anuti ini agama Allah, tapi Allah tidak akan memenangkan umat agama ini melainkan mereka terlebih dahulu berusaha memperjuangkannya. Umat Islam tidak mampu bergerak maju andainya mereka berterusan hidup mengemis simpati dan subsidi orang lain. Telah sekian lama Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan bertujuan untuk meningkatkan pencapaian ekonomi Bumiputera ke tahap 30%… ia cuma 30%!! Malah kerajaan memberikan subsidi, peluang dan bantuan kepada kaum bumiputera untuk maju dan bersaing dengan bangsa asing. Namun sayang seribu kali sayang… itupun mereka tak mampu mencapainya. Malah golongan terpelajar di kalangan bumiputeralah juga yang paling ramai menganggur, menanti kerja bertandang ke rumahnya, sedang ia tidak pernah melakukan apa-apa.
Muslimin dan Muslimat sekalian,
Itulah pengertian hariraya puasa bagi mereka yang berpuasa. Bahawa puasa dulu baru raya… mereka ini layak menyambut hari raya ini dengan penuh kegembiraan. Mereka ini pasti merasakan manisnya hari raya. Kerana lazatnya kemanisan hidup cuma dirasai oleh mereka yang pernah merasai kepahitannya. Nikmatnya kekayaan, cuma dikecapi oleh mereka yang sekian lama hidup dalam kemiskinan. Begitu juga hanya orang yang penat berusaha akan menghargai kejayaan yang tiba. Itulah tabiat hari raya, malah itulah tabiat hidup dan itulah janji Allah.
Oleh: Ustaz Sarip Adul
Yang Dipertua ISMA Sabah
Blog: Abu Syifa’


