|

Pelajar SBPI Selandar, Melaka johan Pertandingan Menulis Cerpen Islami KRIM

Adik Nur Natasha, johan Pertandingan Menulis Cerpen Islami

Shah Alam, 28 Ogos – Nur Natasha bt Mohamad Sain daripada SBPI Selandar, Melaka telah dinobatkan sebagai johan Pertandingan Menulis Cerpen Islami anjuran bersama Kelab Remaja ISMA (KRIM) dan Telaga Biru Sdn. Bhd.

Naib johan ialah Siti Nor Syuhada bt Ahmad Sanusi daripada SMK Jitra, Kedah manakala pemenang tempat ketiga pula ialah Tengku Fatimah Azzahra daripada SMKA Kuala Abang, Terengganu.

Semua pemenang termasuk pemenang saguhati telah diraikan dalam Majlis Anugerah Pemenang Cerpen Islami yang telah berlangsung di Kompleks PKNS, Shah Alam hari ini.

Hadiah disampaikan oleh Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Mejar Nadzri bin Musman (Pengerusi Kelab Remaja ISMA), En. Mohd Hazli Hasan (Ketua Unit Sains Sosial PPD Petaling Perdana) dan En. Faruq Zahran selaku wakil daripada Telaga Biru Sdn Bhd.

Ustaz Abdullah Zaik (tengah) bersama tetamu kehormat yang lain.

Dalam ucapannya, Mejar Nadzri mengingatkan para hadirin tentang keadaan remaja hari ini dan juga perlunya usaha yang serius dilaksanakan segera untuk membimbing mereka. Justeru itu, KRIM tampil untuk menyahut seruan itu dari segenap aspek untuk membawa remaja Islam di Malaysia kembali melakarkan kegemilangan agama dan bangsa.

Beliau turut melahirkan harapan agar Pertandingan Menulis Cerpen Islami menjadi  titik permulaan bagi para remaja muslim bersungguh-sungguh dalam mendidik peribadi dengan akhlak yang soleh dan mendalami hakikat seorang remaja muslim sebenar.

Mejar Nadzri juga merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta pertandingan samada yang berjaya atau tidak.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid daripada Kumpulan Sohwah dari Persatuan Belia Islam Nasional dan Kumpulan Daie yang dijemput khas daripada Akademi Ikatan Muslimin di Perak.

Untuk makluman, kebanyakan pemenang cerpen ini terdiri daripada  pelajar-pelajar  SMK Teknik Bukit Piatu, Melaka yang juga merupakan sekolah yang telah menghantar penyertaan paling ramai.