|

Melayu Baru: Persetujuan ke-2

Melihat perkembangan isu Ketuanan Melayu yang hebat dipersoalkan oleh pelbagai pihak semakin menyedihkan. Lebih menyedihkan lagi ialah yang mempersoalkan isu itu bukan saja di kalangan kaum bukan Melayu tetapi kini kaum Melayu sendiri yang semakin menjadi-jadi.

Mutakhir sekali kita dikhabarkan seorang MP muda Melayu yang mengajak sebuah NGO orang Melayu berdebat tentang hak orang Melayu yang dikatakan tidak wujud dalam perlembagaan. Keghairahan MP muda Melayu ini dilihat seolah-olah seperti kata pepatah “lebih sudu dari kuah”. Kaum lain yang beria-ia sangat tetapi kita sesama sendiri pula yang sudah berlebihan. Tak cukup dengan itu, diadakan juga forum-forum yang membidas tentang hak-hak orang Melayu.

Saya sedar kedua-dua pihak ada kepentingan masing-masing:-

- UMNO memperkatakan Ketuanan Melayu kerana semata-mata untuk menjaga kepentingan mereka kekal, bukan sangat untuk menolong orang Melayu.

- PR pulak melakukannya semata-mata ingin mengaut undi Cina, bukan kerana mereka yakin dengan pencairan hak Melayu secara total.

Ya, kita tidak setuju Ketuanan Melayu ala UMNO tetapi kita juga tidak setuju hak Melayu dicairkan kerana implikasinya sangat besar.

Persetujuan ke-2

Oleh itu kita mencadangkan kedua-dua pihak bersetuju untuk TIDAK melaungkan perjuangan Ketuanan Melayu dan TIDAK menyerang hak Melayu secara terbuka kerana:-

i. Ia akan melemahkan kemuliaan bangsa Melayu Muslim sehingga bangsa ini tidak akan ada lagi maruah di kaca mata bangsa lain.

ii. Membenarkan musuh menghina Melayu dan mentertawakan gelagat kita. Ia juga akan memudahkan mereka untuk merancang strategi melemahkan Melayu. Jika Melayu lemah bererti Islam juga akan lemah (dalam konteks Malaysia) kerana Melayu adalah kaum majoriti.

iii. Memberi ruang musuh untuk menyerang Islam secara terbuka dan berani kerana mereka tahu kita berpecah dan dengan itu tidak mampu untuk mempertahankan Islam.

“MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT”

Aminuddin Yahaya,
Setiausaha Agung,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog:
Suara Dari Gunung

4 Komen untuk entri “Melayu Baru: Persetujuan ke-2”

  1. Persetujuan kali ini bagi Mat berlegar sekitar 70% tepat dan 30% perlu deperbaiki. 70% yang tepat itu adalah ‘Tidakmenyerang Hak Melayu secara terbuka’. Manakala 30% yang perlu diperbaiki adalah ‘Tidak melaungkan perjuangan ketuanan Melayu’. Benar sekali kita tidak perlu menyerang Hak Melayu secara terbuka kerana ini tindakan yang kurang bijak. Janganlah kerana undi Cina, hak sendiri digadaikan. Orang Melayu telah berjuang sejak dahulu mempertahankan tanah airnya dan akhirnya bermurah hati memberi peluang kepada pendatang pada zaman penjajahan itu untuk sama-sama menjadi warganegara Malaysia. Maka sepatutnyalah orang Melayu Islam yang berhati mulia memberi peluang kepada pendatang pada masa tersebut mempunyai keistimewaan tertentu kerana tanpa kebaikan hati orang Melayu ketika itu, maka pendatang-pendatang pada zaman tersebut tidak akan merasai ni’mat seperti mana hari ini. Bukan sahaja bebas hidup berniaga, mendapat pendidikan dan mempelajari bahasa ibunda mereka, namun mendapat hak politik iaitu mengundi.

    Berterima kasihlah atas kebaikan dan jasa orang Melayu (mungkin juga kesilapan orang Melayu). Maka orang Melayu tidak perlu berasa hina dengan hak keistimewaan ini kerana ini sememangnya hak mereka. Cuba bayangkan sekiranya pada hari ini kita memberi hak kepada pendatang Bangladesh dan Nepal untuk mendapat pendidikan dan mengundi. Wajarkah 30 tahun akan datang pendatang ini meminta hak sama rata dengan kita iaitu perlu memartabatkan bahasa Nepal dan Urdu sebagai bahasa utama Malaysia? Perlukah borang banci penduduk pada masa akan datang diterjemahkan kepada bahasa Bangladesh dan Nepal? Perlukah pada waktu tersebut kita memberi hak yang sama rata kepada mereka? Perlukah tulisan-tulisan di papan tanda jalanraya turut ditulis dalam bahasa tersebut? Sedarlah Melayu-Islam, sememangnya kita berhak. Jangan Malu.

    30% yang perlu diperbaiki kerana tidak semua yang ‘melaungkan perjuangan Ketuanan Melayu’ adalah negatif. Laungan ini adalah baik ataupun buruk berdasarkan kepada kumpulan manusia yang melaungkannya. Jika terbukti kumpulan tersebut gagal memartabatkan Melayu-Islam dalam tempoh peluang yang diberi begitu lama oleh orang Melayu, maka tidak perlulah memPERGUNAKAN isu ini bagi meraih sokongan kerana telah lama laungan ini mereka GADAIKAN. Tidak salah jika hendak melaungkan ‘Ketuanan Melayu’ asalkan disusuli tindakan bijak, bukan sekadar bersemangat ketika berkumpul di stadium merdeka, bukan sekadar bersemangat ketika bersorak berama-ramai berpakaian Melayu dan berkeris taming sari, tetapi perlulah memahami apa itu ‘Ketuanan Melayu’ dan disusuli tindakan yang ikhlas. Kerana Ketuanan Melayu adalah Ketuanan Islam di Malaysia.

    Jika UMNO mahu terus melaungkan ‘Ketuanan Melayu’ buktikan dan rawatilah kerosakan-kerosakan yang telah berlaku. Jika berjaya, maka laungkanlah. Perbetulkan dahulu perkara-perkara asas ini jika mahu melaungkan ‘Ketuanan Melayu’:

    1) Nama Rasmi Parti dalam Bahasa Melayu
    2) Menjadikan target utama untuk membawa Melayu memahami Islam yang sebenar
    3) Hidupkan tuisan Jawi
    4) Pemimpin-pemimpin UMNO perlu guna Bahasa Melayu ketika menjawab soalan-soalan media dan dalam Majlis-Majlis Rasmi dalam negara tidak kira sama ada majlis-majlis tersebut adalah perhimpunan agung MIC ataupun MCA.
    5) Perbaiki Korupsi dan salah guna kuasa

    Laungkanlah Ketuanan Melayu dengan kesedaran Islam. Bukan Ketuanan Melayu Sekular, Ketuanan Melayu Kebudayaan Semata-mata. Tetapi Ketuanan Melayu yang benar-benar faham Islam.

  2. mads7007 says:

    ini hakikat yg perlu kita terima,,Melayu tunjang kebangkitan Islam di Malaysia.

  3. umaira says:

    melayu sepakat, ISlam berdaulat…
    melayu murtad…macam mane nak buat?

  4. Orang Pantai says:

    Umaira: Kalau dah sepakat, banyak benda boleh buat. Kalau tak sepakat, usahkan murtad, mengumpat pun tak dapat disekat.