Lebih 100 hadirin meriahkan iftar di Masjid Seremban Jaya
Seremban, 29 Ogos – Lebih 100 orang daripada kalangan ahli-ahli ISMA dan masyarakat setempat hadir bagi memeriahkan Majlis Iftar ISMA Bersama Masyarakat yang diadakan di Masjid Nurul Hidayah, Taman Seremban Jaya hari ini.
Program ini merupakan sebahagian daripada usaha ISMA untuk menyemarakkan penghayatan bulan Ramadhan di kalangan masyarakat di negeri ini, di samping menyuburkan ikatan ukhuwwah sesama umat Islam.
Turut hadir ialah Ustaz Abdul Halim Abdullah (Naib Presiden I ISMA merangkap Ketua Perhubungan ISMA Negeri Sembilan), Ustaz Mohd Azizee Hassan (YDP ISMA Seremban) dan ahli-ahli jawatankuasa ISMA Seremban yang lain.
Dalam ucapannya, Ustaz Azizee merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak masjid serta masyarakat setempat yang hadir atas penerimaan yang mesra dan kerjasama baik yang telah diberikan bagi menjayakan majlis iftar ini. Program kali ini juga diharap dapat menjadi titik tolak kepada penganjuran lebih banyak aktiviti ISMA di kawasan ini pada masa hadapan.
Majlis iftar ini turut diserikan dengan perkongsian pengalaman salah seorang ahli ISMA yang telah menyertai misi menghantar bantuan kemanusiaan Aman Palestin ke Gaza baru-baru ini.
Sumber: Blog ISMA Negeri Sembilan



