Kempen Semarak 10 Akhir Ramadhan tarik lebih 100 peserta
Azib, NYDP ISMA DHL menyampaikan tazkirah subuh
BANGI, 31 Ogos – Lebih 100 ahli termasuk rakan-rakan Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Daerah Hulu Langat (ISMA DHL) dan Persatuan Belia Islam Nasional Cawangan Bangi (PEMBINA Bangi) menyertai Kempen Semarak 10 Akhir Ramadhan anjuran dua NGO tersebut di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.
Kempen dianjurkan untuk menggalakkan para ahli serta muslimin muslimat setempat agar betul-betul memanfaatkan 10 hari Ramadhan yang terakhir pada tahun ini dan berusaha bersungguh-sungguh mengejar malam Lailatul Qadar.
Kempen bermula dengan program iktikaf selepas solat tarawih dan diakhiri dengan sesi tazkirah Ramadhan oleh Saudara Mohd Noor Azib Asmangi, Naib Yang Dipertua ISMA DHL.
Dalam tazkirah beliau, beliau berpesan kepada para aktivis dakwah agar mempergunakan bulan Ramadhan ini sebagai sumber mengecas dan menguatkan rohani dalam menghadapi cabaran-cabaran yang akan ditempuhi dalam melakukan dakwah pada hari-hari yang mendatang.
Ditanya tentang sambutan kemerdekaan yang ke-53 tahun ini, Azib memberitahu bahawa ISMA DHL telah menghantar 10 wakil menyertai program Kempen Anti Zina anjuran Kerajaan Negeri Selangor sempena sambutan kemerdekaan ke-53 di Shah Alam pada malam yang sama.
“Kita dapati ratusan muda-mudi melepak membuang masa sehingga jam 3 pagi, tiada tujuan.
Apa yang menyedihkan ialah 99% dari mereka adalah anak bangsa kita yang beragama Islam”, kata beliau dalam emel kepada Media ISMA.
“Umat Islam mempunyai peranan yang sangat besar untuk membetulkan keadaan ini. Kita harus duduk semeja berbincang untuk mencari kesepakatan demi kepentingan agama agar hak-hak syariat dipertahankan”, tambah beliau.
“ISMA DHL mengajak seluruh masyarakat Islam menghayati hakikat kemerdekaan yang sebenar. Kita mahu agar umat Islam benar-benar bebas dari sebarang belenggu yang menghalang pelaksanaan syariat dan budaya hidup Islam”.
Sumber: Blog ISMA Daerah Hulu Langat


