Artikel Khas

Melayu jangan jadi semut

Bangsa kita akan mundur jika orang politik hanya fikir kuasa, harta

LEBIH separuh abad Melayu merdeka tetapi minda politik mereka masih ditakuk lama. Takuk separuh abad ke belakang. Kalau dulu mereka berkelahi kerana berebut kuasa dan harta, sanggup berperang sesama sendiri hingga berbunuhan, demikian juga zaman ini walaupun telah berlalu lebih separuh abad.

Pemuka-pemuka Melayu dulu berperang kerana kuasa dan harta. Mereka melebarkan pengaruh untuk mengumpul pengikut agar cita cita politik  mereka tercapai. Bangsa Melayu seolah semut mencari gula. Di mana dapat gula di situlah tempat mereka berkumpul tanpa melihat untung rugi masa depan mereka. Jauh untuk berfikir hala tuju dan matlamat hidup.

Politik mereka ibarat semut mencari gula. Di mana ada gula di situ tempat mereka berkumpul. Minda begini masih dipakai hingga sekarang. Sebab itu mereka mudah digula-gulakan oleh pemuka yang ada kepentingan.

Sudah tiba bangsa Melayu ditransfom minda mereka terutama dalam bidang politik negara. Bangsa Melayu jangan lagi jadi seumpama semut mencari gula. Di mana ada gula di situ tempat mereka memberi sokongan dan berkumpul. Natijahnya mereka mudah untuk digula-gulakan oleh pemuka pemuka yang tamakkan kuasa.

Bangsa Melayu  perlu insaf dan sedar, demi survival mereka  masa depan yang cemerlang perlu kepada perubahan minda, bangkit untuk bina kekuatan jati diri dan maruah. Mereka perlu berusaha membina kekuatan dalam semua bidang kehidupan  yang merangkumi kepimpinan yang berwibawa, kepimpinan yang jelas hala tuju bukannya kepimpinan yang menggulakan mereka.

Bangsa Melayu perlu kepada kepimpinan yang berjuang untuk mengangkat maruah dan martabat mereka. Jauh dari pertelingkahan sesama sendiri dan caci mencaci demi kuasa.

Rentak politik separuh abad kebelakang berkelahi sesama sendiri sehingga berbunuhan kerana berebut kuasa dan harta sudah tidak layak untuk dinobatkan sebagai pemimpin. Kita mahu pemimpin yang berakhlak dan amanah. Berkorban untuk agama, bangsa dan negara.

Sudah cukup sejarah silang, perebutan kuasa di kalangan pemuka pemuka dulu yang merugikan bangsa. Akhirnya negara tergadai kepada beberapa bangsa penjajah silih berganti. Jika suasana politik sekarang masih dengan minda lama, bangsa Melayu akan mundur setengah abad ke belakang.

Bangsa Melayu perlu melahirkan pemimpin mengikut acuan mereka. Pemimpin yang berakhlak dan amanah. Pemimpin yang menerajui wawasan yang jelas hala tuju dan matlamat. Jangan jadi semut hidup hanya mencari gula. Maka mereka mudah untuk digulakan. Semut mati kerana gula.

Ustaz Sharipudin Abdul Kadir
Ketua Perhubungan ISMA Kelantan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button